Thursday, July 9, 2009

Muhyiddin cabar PAS buktikan parti itu lebih hebat bangunkan Islam Oleh: ROSLAN BIAN



Selepas PAS bertalu-talu melontarkan tohmahan kononnya UMNO bukan parti Melayu yang memperjuangan Islam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar PAS membuktikan parti itu lebih baik membangunkan Islam berbanding UMNO.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, pemimpin PAS kena buktikan apakah parti itu lebih berjaya melaksanakan pembangunan Islam termasuk kewujudan Tabung Haji, Takaful dan institusi Islam lain di negara ini yang dibuat oleh kerajaan sekarang.

“UMNO terbentuk lebih dulu daripada PAS. Dalam perlembangaan partipun, kita utamakan soal Islam dan pembangunan tetapi PAS kata hanya mereka yang perjuang Islam. Saya cabar mereka buktikan PAS lebih baik dalam soal membangunkan Islam di negara ini,” tegasnya dalam ceramah di Manek Urai Lama, Rabu malam.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, PAS hanya bercakap soal membangun bersama Islam tetapi itu hanya slogan parti sahaja sedangkan PAS tiada keupayaan berbuat demikian.

“Kalau PAS kata mereka buat lebih, kita buat 100 kali lebih baik daripada mereka,” tegasnya yang turut kecewa kerana pemimpin PAS berlagak mereka sahaja tahu soal agama sedangkan beliau sendiri anak guru agama tetapi tidak angkuh seperti ulama dalam PAS.

Beliau turut mempersoal tanggungjawab kerajaan negeri Kelantan yang gagal membangunkan negeri itu dan kemudian menyalahkan Pusat kerana tidak memberi bantuan.

“Jangan tolak masalah pada orang lain macam Pulau Pinang minta tolong kerajaan Pusat bantu ( isu tanah Kampung Buah Pala), ini tanggungjawab mereka. Jika tak boleh selesai, mereka bohonglah sebab dulu janji nak tolong rakyat sebab nak dapat undi,” katanya.


Menurut Muhyiddin, PAS hanya berani cakap soal agama tetapi tidak dapat membantu meningkatkan hasil rakyat atau pertanian.

Sebab itu mereka tak berani sentuh soal pembangunan tetapi hanya tahu cakap, jika sokong PAS masuk syurga..apa pula hukum jika kafirkan orang Islam yang lain,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di Manek Urai berfikir secara rasiona dan jangan takut buat keputusan untuk kebaikan dengan mengundi calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat pada 14 Julai nanti.

Muhyiddin juga menjelaskan bahawa beliau tidak memperkecilkan calon PAS yang menjadi peraih ikan kerana sebagai Menteri Pertanian dan Asas Tani dahulu ,beliau mengenali ramai nelayan, petani dan peladang .

“Saya cuma sebut calon PAS penjual ikan. Memang calon kita ilmu lebih tinggi..dalam Islampun, tidak sama orang yang berilmu dan tidak berilmu,” jelasnya.

Sebab itu katanya, pengundi di Manek Urai perlu memilih pemimpin yang boleh memimpin dan kawasan itu bukan sahaja boleh dijadikan anak angkat malah anak emas kerajaan Pusat kerana BN ada kemampuan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran turut menjelaskan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) antara lain supaya masa depan orang Melayu dalam bidang Sains dan Matematik tidak terkubur.-8/7/2009

(sumber;http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a)

1 comment:

http://www.luahfikiran.blogspot.com said...

Askm dan Salam Blogging. Bagus jugak kalau cabaran ini disambut oleh PAS. Kita ni keliru dengan pelbagai cop yang dilabelkan terhadap sesuatu parti. Tambahan pula, kalau cop itu dibuat oleh orang-orang agama.

Saya telah masukkan blog tuan ke dalam senarai MY BLOG LIST saya. (drpd: luahfikiran)