Thursday, December 18, 2008

Tun Dr. Mahathir; MELAYU MUDAH LUPA 21.06.2001


Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 21-06-2001
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Versi :
Penyampai : PM



"MELAYU MUDAH LUPA"



Alhamdulillah. Dalam lautan politik dan ekonomi
yang bergelora di rantau ini, Malaysia masih tenang
dan dapat mengatasi serangan bertubi-tubi terhadap
politik dan ekonominya, dari luar dan juga sahabat
mereka dari dalam.


CUBAAN ADAKAN REFORMASI

2. Tidak berapa lama dahulu ramai juga daripada
rakyat Malaysia yang teringin mengadakan apa yang
mereka namakan Reformasi, kononnya untuk membetulkan
keadaan di Malaysia. Mereka mendapat ilham daripada
apa yang berlaku di negara lain. Tanpa mengambil kira
situasi yang berlainan di negara berkenaan, mereka cuba
melaksanakan pendekatan yang tidak bertanggungjawab
untuk memaksa Kerajaan tunduk kepada kehendak mereka,
malah untuk mengguling Kerajaan pun.

3. Pemimpin mereka telah pergi ke negara asing untuk
mendapat bantuan supaya keganasan jalanan yang mereka
rancang dapat diadakan. Mereka tahu bahawa rakyat
Malaysia sendiri tidak berminat bertindak ganas walau
pun diupah. Sebab itu rakyat asing diperlukan.

4. Malang bagi perancang keganasan jalanan ini
kepimpinan negara asing berkenaan berpendapat
memadailah huru-hara berlaku di negaranya sahaja.
Mereka tidak ingin melihat huru-hara merebak ke
Malaysia. Mereka tidak pun nampak kebaikan daripada
huru-hara yang terdapat di negara mereka. Justeru itu,
mereka tidak menggalakkan sebarang bantuan kepada orang
yang merancang untuk mencetus huru-hara di Malaysia.
Alhamdulillah. Kita menghargai sikap dan pendirian
pemimpin asing ini.

5. Keadaan di Malaysia bukanlah terlalu baik, dan ini
perlu kita akui. Kerajaan juga mengakuinya. Tetapi
kita harus menghargai sebarang nikmat yang kita terima.
Kita harus bersyukur kepada Allah S.W.T. Ramai orang
asing yang memandang kita begitu bernasib baik dan
bertuah sehingga ramai yang sanggup bermati-matian
untuk berhijrah ke negara kita.

6. Negara lain mungkin memerlukan reformasi dan
pertukaran sistem politik dan Kerajaan. Apakah kerana
orang lain perlu mengadakan reformasi maka kita juga
perlu kepada reformasi? Sebenarnya perubahan yang baru
hendak dibuat di negara lain sudah pun berada di
Malaysia sejak kita mencapai kemerdekaan. Negara ini
tidak pernah ditadbir secara otokratik ataupun oleh
tentera. Hanya pada tahun 1969 sahaja kita terpaksa
mengadakan pemerintahan darurat. Tetapi dalam
jangkamasa yang singkat kita telah kembali kepada
sistem demokrasi dan mengadakan pilihanraya mengikut
jadual pada tahun 1974. Sejak merdeka kita telah
mengadakan 10 kali pilihanraya dalam jangkamasa 43
tahun. Rakyat Malaysia bebas memilih siapa sahaja dan
bukan hanya calon daripada parti Kerajaan seperti yang
berlaku di sesetengah negara lain. Parti lawan juga
dapat memenangi pilihanraya dan pernah mendirikan
Kerajaan di empat buah negeri. Dan ini telah berlaku
berkali-kali. Tidak ada tindakan undang-undang diambil
untuk menyekat wakil rakyat daripada parti pembangkang
mengambil tempat dalam dewan seperti yang berlaku di
negara lain.

7. Justeru itu, apa perlunya reformasi kepada sistem
pemerintahan demokratik kita? Apa perlunya demonstrasi
di jalan-jalan yang hanya merugikan peniaga, terutama
peniaga kecil yang kais pagi, makan pagi, kais petang,
makan petang?

8. Kononnya mereka ingin melihat pemerintahan
mengikut undang-undang - `the rule of law'. Apakah
untuk mendaulatkan pemerintahan mengikut undang-undang,
maka mereka perlu bertindak menyalahi undang-undang
dengan merusuh di jalan-jalan, menyekat perjalanan
kereta, memaksa kedai-kedai ditutup dan mengganggu
keamanan rakyat? Orang yang berhasrat mendaulatkan
undang-undang tidak harus mencabul undang-undang.
Mereka sepatutnya menggunakan proses undang-undang
untuk menghalang pencabulan undang-undang oleh mana-
mana pihak, termasuk Kerajaan. Kita tahu di Malaysia
tidak semua kes dimenangi oleh Kerajaan. Dan tidak
semua calon parti Kerajaan menang pilihanraya.
Demikian kadang-kadang, kerana ingin membuktikan
kebebasan, Kerajaan tidak mendapat keadilan, menjadi
mangsa. Jika Kerajaan berani membantah, tekanan ke
atasnya ditingkatkan. Ada pihak luar yang bersedia
untuk mengutuk Kerajaan jika tersilap sedikit. Pihak
tertentu tahu dan menjadi lebih berani. Keadilan pun
terpesong.


HASIL REFORMASI MENGECEWAKAN

9. Hari ini mereka dapat lihat bahawa hasil reformasi
yang mereka begitu kagumkan di negara berkenaan
tidaklah begitu menarik. Yang ternampak jelas ialah
pemerintahan mengikut undang-undang tidak dapat
diadakan kerana pihak yang ditugaskan untuk
menguatkuasakan undang-undang sudah tidak berwibawa
lagi. Rakyat tidak lagi selamat. Di tempat-tempat
tertentu rakyat merusuh, mengganas dan membunuh dengan
sewenang-wenangnya. Jauh daripada menikmati proses
demokrasi, yang ternampak sebagai hasil reformasi ialah
`mob-rule', pemerintahan tanpa undang-undang oleh
perusuh jalanan. Keadaan tidak menjadi lebih baik
daripada apa yang terdapat semasa pemerintahan
otokratik dahulu.

10. Yang anehnya ialah mereka yang ingin kepada
reformasi, pemerintahan mengikut undang-undang dan
begitu mendukung hak asasi manusia adalah orang yang
dahulu dengan senang hati menyertai Kerajaan.
Kenapakah mereka tidak mendakwa Kerajaan yang mereka
menyertai tidak demokratik dan mencabul hak asasi
semasa mereka berada dalam Kerajaan? Sebenarnya yang
mengecewakan mereka bukan sistem pemerintahan tetapi
kerana cita-cita besar mereka tidak tercapai. Mereka
suka membodek orang putih dan begitu gembira jika
dicampakkan gula-gula oleh `Mat Salleh'. Sebenarnya
mereka yang haprak ini tidak ada apa-apa pun selain
daripada yang kita anugerahkan kepada mereka.
Malangnya mereka tidak biasa dengan sedikit kuasa.
Apabila terdapat sahaja sedikit tempat, kepala mereka
menjadi besar, maka berkokoklah mereka mengikut rentak
tuan mereka.

11. Mereka yang cuba memperjuangkan reformasi sudah
tertipu dan diperalatkan oleh orang tertentu.
Sementara tidak ada sesuatu apa pun yang diperolehi
oleh mereka, orang yang memperalatkan mereka mendapat
keuntungan besar dengan berpura-pura bersimpati dengan
idola mereka. Sampai bilakah mereka akan terus bodoh?

12. Apabila budaya `mob-rule' sudah diterima oleh
negara kegemaran mereka, pemerintahan tidak dapat
membuat apa-apa untuk memulihkan ekonomi. Tiap suatu
yang dibuat ada sahaja yang tidak bersetuju. Mereka
merusuh dan rusuhan itu sendiri menyebabkan usaha
pemerintah gagal mencapai matlamatnya. Kata pepatah
Inggeris, "Those who live by the sword, shall die by
the sword". Mereka yang menjadi pemerintah melalui
rusuhan jalanan akan jatuh melalui rusuhan jalanan.

13. Pemerintahan menjadi lemah dan tidak dapat
bertindak dengan tegas. Tekanan ke atas pemerintah
boleh dibuat oleh siapa sahaja, termasuk orang asing.
Dengan itu bukan sahaja pemulihan ekonomi tidak dapat
dijayakan tetapi kebebasan yang begitu dibanggakan
dahulu pun hampir tidak ada lagi. Inilah hasil
daripada reformasi dan demonstrasi jalanan. Apakah
kita hendak melihat semua ini dibawa ke negara kita
oleh puak reformasi ini?


EKONOMI NEGARA KITA SENDIRI KUASAI

14. Ekonomi Malaysia sudah pulih walaupun belum
sepenuhnya. Ini bukanlah kerana pendekatan kita kurang
baik tetapi kerana kemerosotan ekonomi di negara lain.

15. Kita telah mengalami tekanan ekonomi sama seperti
yang dialami oleh negara-negara lain di Asia Timur.
Kita tidak dapat menentukan sama ada serangan serentak
ke atas matawang negara-negara Timur yang dahulu
dikenali sebagai ekonomi harimau, dirancang atau tidak.
Tetapi yang nyata ialah kerosakan yang teruk berlaku
kepada ekonomi negara-negara ini dan mereka tidak lagi
mungkin mencabar ekonomi Barat. Lebih daripada itu
kuasa asing mengambil peluang untuk menguasai urusan
ekonomi mereka melalui agensi antarabangsa seperti Dana
Wang Antarabangsa dan Bank Dunia.

16. Terpaksanya negara-negara yang diserang tunduk
kepada kuasa asing bukanlah semata-mata kerana
kegawatan ekonomi tetapi kerana rakyat bertindak secara
tidak bertanggungjawab. Kerana ada rakyat yang ingin
menjatuhkan pemerintah, kegawatan ekonomi yang
diusahakan oleh musuh asing digunakan sehingga
ketahanan ekonomi negara menjadi lemah. Dan akibatnya
kebebasan negara terhakis.

17. Jika Malaysia hari ini tetap bebas dan ekonominya
dikuasai sepenuhnya oleh kita sendiri, sebabnya ialah
kerana tidak ramai rakyat yang belot yang secara
langsung atau tidak langsung bersubahat dengan orang
asing. Kerana ini kita dapat memulihkan ekonomi negara
jauh lebih baik daripada negara-negara yang mendapat
pinjaman dan "bantuan" daripada pihak asing. Dunia
sekarang, termasuk pengkritik yang mencemuh kita,
terpaksa akui hakikat ini. Cuma ada segelintir orang
di Malaysia yang buta hati kerana benci dan tidak dapat
melihat kenyataan di depan mata.

18. Kita yakin dengan kestabilan dan ketenteraman yang
terdapat di Malaysia, pemulihan ekonomi negara akan
berjalan dengan baik. Pemulihan ekonomi negara juga
membuktikan pengurusan ekonomi dan wang di negara ini
memang baik. Mustahil kita akan dapat memulihkan
ekonomi jika benar kononnya Kerajaan membazir wang
negara dengan projek mega. Sebenarnya kedudukan
kewangan negara amat kukuh. Semasa kegawatan, duit
kita disedut ke luar negara kerana tawaran faedah yang
amat tinggi. Buat beberapa bulan bank-bank Malaysia
kekeringan modal. Tetapi Kerajaan berjaya menyekat
pengaliran Ringgit ke luar negeri dan memaksa ringgit
kita kembali ke tanahair. Sejak itu kedudukan kewangan
kita menjadi begitu kukuh, dan ekonomi dipulihkan
dengan cepat.

19. Sesungguhnya rakyat Malaysia amat bertuah. Yang
perlu lebih bersyukur dengan tuah ini ialah orang
Melayu. Tetapi ramai yang tidak tahu bersyukur yang
mengharapkan rezeki datang bergolek dengan sendirinya
tanpa sebarang usaha oleh mereka. Dalam pilihanraya
1999 ternampak jelas betapa ramai orang Melayu tidak
bersyukur dan cuba menjatuhkan Kerajaan yang
menyelamatkan negara dan orang Melayu sendiri. Yang
menghargai kebolehan Kerajaan Malaysia ialah bukan
Melayu.

20. Semasa kita berjuang untuk kemerdekaan kita
percaya bahawa dengan adanya kuasa di tangan kita maka
dapatlah kita pulihkan keadaan orang Melayu yang serba
daif. Mereka miskin, tidak berpelajaran dan
ketinggalan dalam semua bidang. Di negeri-negeri
mereka sendiri mereka menjadi kuli orang asing yang
mereka pertuankan.

21. Tetapi kuasa di tangan semata-mata tidak akan
menjayakan kita. Kuasa sebenarnya boleh merosakkan
kita. Dan hari ini kita lihat bagaimana kuasa kita
menjadikan ramai daripada kita begitu tidak
bertanggungjawab, begitu tamak sehingga matlamat yang
kita harapkan semasa berjuang untuk kemerdekaan
dilupakan.

22. Dalam bidang pelajaran umpamanya masalah kita
dahulu ialah kurang peluang dan kemampuan untuk belajar
hingga ke peringkat tinggi. Hari ini peluang bercambah
dan biasiswa untuk anak Melayu tidak sukar diperolehi.
Tetapi kita dapati ramai daripada anak-anak kita tidak
berminat untuk mengejar ilmu.

23. Dengan begitu banyak sekolah dan guru, dengan
peruntukan wang dan alatan yang lebih daripada
mencukupi, amatlah menyedihkan melihat anak Melayu
mendapat kelulusan yang begitu rendah sehingga tanpa
kuota khas bagi mereka mungkin ramai daripada mereka
tidak akan dapat memasuki universiti. Anak Melayu
tidak kurang pandai tetapi tanpa rajin belajar, yang
berotak geliga pun tidak akan dapat kelulusan yang
tinggi. Yang kita tahu ialah ramai anak Melayu yang
malas dan tidak berminat untuk belajar. Mereka lebih
suka melepak dan berfoya-foya. Mereka amat marah jika
kebenaran ini disebut. Sama ada disebut atau tidak
kebenaran tetap kebenaran.

24. Hari ini kita dapati lebih ramai penuntut wanita
Melayu yang diterima masuk ke universiti berbanding
dengan penuntut lelaki. Mereka pergi ke sekolah yang
sama tetapi sementara penuntut lelaki tidak serius
belajar, penuntut wanita lebih tekun belajar. Mereka
tidak merayau-rayau. Mereka lebih bertanggungjawab.
Alhamdulillah. Jika tidak kerana penuntut wanita,
jumlah penuntut Melayu di universiti akan tinggal hanya
separuh.

25. Tidak ada bukti yang penuntut wanita lebih pandai
daripada penuntut lelaki. Kebolehan mereka lebih
kurang sama. Tetapi prestasi kurang baik penuntut
lelaki ini sudah sampai kepada nisbah 20 lelaki
berbanding dengan 80 wanita. Jika kita terima bahawa
tidak ada perbezaan yang ketara di antara lelaki dan
wanita daripada segi kecerdasan otak, maka sudah tentu
jika penuntut lelaki berusaha dan tekun mengejar ilmu,
mereka juga boleh mencapai kejayaan cemerlang seperti
wanita. Kita kagum melihat sementara bilangan penuntut
lelaki Melayu tidak ramai dan kelulusan mereka tidak
baik, tetapi kepimpinan persatuan penuntut semuanya
dibolot oleh mereka. Bilakah anak lelaki Melayu akan
sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri mereka,
jika pun tidak kepada bangsa, agama dan tanahair?
Apakah mereka fikir masyarakat mesti dukung mereka
sepanjang masa?

26. Sebenarnya kecerdasan otak orang Melayu tidak
kurang daripada kaum-kaum lain. Yang menyebabkan kita
perlu mengadakan kuota untuk penuntut Melayu ke
universiti adalah juga kerana sikap kita berkenaan
dengan menuntut ilmu. Bukan Melayu menganggap menuntut
ilmu sebagai sesuatu yang mulia dan masyarakat
memandang tinggi mereka yang berilmu. Dengan itu ibu
bapa dan guru-guru mereka memberi perhatian yang serius
terhadap penerapan ilmu oleh anak-anak dan orang muda.
Bahkan mereka meneruskan tuntutan ilmu sepanjang hayat.


PENGUASAAN SEMUA ILMU PENTING

27. Orang Melayu tidak begitu menitikberatkan
penguasaan ilmu. Ibu bapa tidak mendesak anak supaya
belajar. Ada yang berpendapat bahawa oleh kerana kuota
disediakan untuk penuntut Melayu, kelulusan yang
sederhana pun mencukupi untuk ke universiti. Kerajaan
akan tentukan kemasukan penuntut Melayu ke dalam IPTA.
Ini adalah tanggungjawab Kerajaan. Mana-mana Kerajaan
pun akan membuat demikian. Ini adalah hak keistimewaan
orang Melayu yang terjamin sehingga akhir zaman.

28. Ada pula yang dipengaruhi oleh parti PAS bahawa
pelajaran yang harus dituntut oleh anak Melayu sebagai
orang Islam hanyalah pelajaran agama. Ilmu-ilmu lain
adalah sekular dan tidak penting. Jika dipelajari
sekali pun, masa yang lebih patut diberi kepada acara
dan kegiatan agama tambahan yang diwajibkan oleh orang
yang anti ilmu ini selain daripada fardu `ain dan
ibadat-ibadat yang wajib. Tidak menghadiri qiamulail
dan kuliah subuh dan aktiviti-aktiviti lain akan
menyebabkan penuntut berkenaan dicemuh kerana kononnya
mereka kurang Islam. Yang lebih menyedihkan ialah yang
diajar semasa kuliah-kuliah ini bukan ajaran Islam yang
sebenar, yang sudah tentu akan memberangsangkan
penuntut supaya mengejar ilmu dengan bersungguh-
sungguh. Yang disampaikan kepada penuntut ialah
politik menentang Kerajaan, dengan diselit berbagai-
bagai hadis dan firman yang ditafsir mengikut
kepentingan politik pihak ini. Biarlah anak Melayu
gagal asalkan mereka dapat diperalatkan oleh parti ini.

29. Sebenarnya usaha memesongkan anak Melayu daripada
menuntut ilmu bermula dari tadika yang diadakan oleh
PAS. Di peringkat ini kanak-kanak yang masih mentah
sudah pun diajar membenci UMNO, supaya mereka akan
menjadi penyokong PAS seumur hidup. Bagi PAS ilmu
tidak penting. Agama juga tidak penting. Yang penting
hanyalah kemenangan PAS dalam pilihanraya.

30. Apabila dijelaskan bahawa ilmu-ilmu lain tidak
kurang penting dalam Islam dan memang pun Islam
mewajibkan penguasaannya kerana ia berkaitan dengan
menjamin kesejahteraan dan keselamatan umat Islam,
membebaskan mereka daripada cengkaman musuh-musuh Islam
dan memang pun dituntut oleh agama Islam, seperti yang
terdapat dalam surah Al-Ghaasyiyah ayat 17 hingga 20,
yang bermaksud:

"(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari
akhirat), tidakkah mereka memperhatikan keadaan
unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan
langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan keadaan
gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan
keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?"

-- memerhati bagaimana sesuatu dicipta bermakna
mendapat sesuatu pengajaran daripadanya. Bagaimanapun,
pihak PAS dan penyokong mereka masih menuduh orang yang
merujuk kepada ayat ini sebagai sekular dan
mengutamakan dunia dan tidak akhirat. Walaupun
dijelaskan bahawa Islam mementingkan perimbangan di
antara dunia dengan akhirat, seperti dalam doa yang
dibacakan setiap hari dalam surah Al-Baqarah Ayat 201,
yang bermaksud:

"Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat"

pihak ini masih mendakwa tumpuan kepada ilmu lain
walaupun tanpa membelakangkan agama masih bermakna
mengenepikan akhirat, bermakna sekular. Ayat Quran pun
mereka tidak terima.

31. Seperti biasa polemik berkenaan dengan soal dunia
dan akhirat ini akan berpanjangan tanpa apa-apa
keputusan. Hasilnya ialah penuntut akan begitu keliru
dan akan ragu-ragu tentang perlunya menuntut ilmu yang
bukan khusus berkenaan agama. Ibu bapa juga demikian.
Dengan itu prestasi penuntut Melayu lelaki terutamanya
dalam ilmu-ilmu sains dan teknologi yang begitu penting
untuk menangkis percubaan untuk menjajah orang Islam
semula, terus berada di tahap yang rendah.

32. Orang Melayu perlu tentukan sama ada mereka
percaya ilmu-ilmu selain daripada yang khusus berkenaan
dengan agama Islam penting atau tidak bagi mereka
sebagai orang Islam dan bagi agama Islam itu sendiri.
Jika kita percaya ilmu-ilmu lain ini tidak penting
adalah lebih baik Kerajaan tidak memberi tempat kepada
penuntut Melayu di IPTA dalam bidang-bidang ini. Tidak
perlulah kita adakan kuota bagi penuntut Melayu dengan
menidakkan peluang bagi penuntut bukan Melayu.
Janganlah kita marah atau kecewa jika bilangan doktor,
jurutera, saintis, arkitek, akauntan, peguam, doktor
veterinar dan doktor gigi Melayu begitu berkurangan.
Janganlah kita marah apabila kita sakit tidak ada
doktor Melayu yang merawat kita.

33. Jika kita percaya bahawa ilmu-ilmu sains dan
teknologi, yang sedang berkembang pesat sekarang ini
amat penting bagi kita orang Melayu sebagai orang Islam
maka kita tidak harus bergantung kepada kuota sahaja.
Pelajar-pelajar Melayu di sekolah hendaklah betul-betul
bertekun mengejar ilmu-ilmu ini supaya kelulusan mereka
begitu tinggi sehingga kemasukan ke universiti melebihi
kuota untuk kita. Mereka tidak perlu membelakangkan
segala ibadat yang wajib semasa mengejar ilmu. Tetapi
janganlah menambah dan mewajibkan yang tidak wajib
sehingga tidak ada masa untuk ilmu yang dituntut.
Ingatlah ilmu-ilmu ini tidak kurang pentingnya kepada
agama Islam dan orang Islam. Anggaplah orang yang
mengganggu penuntut Melayu kerana kepentingan politik
mereka sebagai pengkhianat kepada agama Islam dan
bangsa Melayu.




JANGAN TERLEPAS ZAMAN I.T.

34. Kita sekarang sudah memasuki zaman teknologi
maklumat -- Information Age. Kita bersama dengan
negara-negara Islam lain telah terlepas dan tidak
terlibat dengan Revolusi Industri dan Zaman Industri.
Dengan itu kita jauh tertinggal di belakang daripada
segi menguasai ilmu yang menjadi pemangkin kepada
proses industrialisasi. Soalnya ialah apakah kita juga
akan terlepas dalam perkembangan zaman teknologi
maklumat yang akan menukar secara radikal cara hidup
manusia, termasuk juga kita orang Melayu di Malaysia?

35. Jika kita tidak hendak terlepas, tertinggal dan
menjadi mangsa perkembangan teknologi maklumat, kita
perlu secara serius dan bersungguh-sungguh mempelajari
ilmu yang baru ini. Untuk menguasai ilmu ini satu
daripada syaratnya ialah penguasaan bahasa Inggeris.

36. Penguasaan bahasa Inggeris tidak akan menjadikan
kita kurang Melayu atau kurang Islam. Sebenarnya
perkembangan bahasa Melayu bukan bergantung kepada
penolakan bahasa lain, tetapi melalui penguasaan bahasa
asing. Bahasa Melayu diperkayakan dengan penerapan
bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, bahasa Cina pun dan sudah
tentu bahasa Inggeris. Kenapa kita serapkan bahasa-
bahasa ini? Sebabnya ialah kerana bangsa-bangsa ini
adalah bangsa yang bertamadun tinggi, yang menjelajah
ke negara kita dan memiliki banyak ilmu.

37. Untuk mengembangkan bahasa Melayu, orang Melayu
sendiri mestilah menjadi bangsa yang berjaya, berilmu
dan di zaman ini memiliki daya beli atau `purchasing
power' yang tinggi (dengan perkataan harian Melayu
mesti `kaya'). Tidak ada bahasa bangsa yang mundur dan
miskin yang berkembang maju di dunia ini.

38. Maklumat di zaman maklumat ini tidak datang dari
punca orang Melayu. Sembilan puluh sembilan peratus
daripada maklumat yang kita perlukan akan datang
daripada bangsa-bangsa asing dalam Bahasa Inggeris.
Demikian juga teknologi untuk `hardware' dan `software'
diterokai dan diedarkan dalam bahasa Inggeris. Tidak
mungkin maklumat ini diterjemahkan kepada bahasa Melayu
untuk kita menggunakannya -- walaupun akan ada alat
penterjemahan yang canggih. Lagipun kita tidak boleh
tugaskan hanya beberapa kerat orang Melayu yang
terlatih dalam bidang I.T. untuk membuat penterjemahan
yang begitu banyak. Kita perlu tenaga mereka untuk
menangani maklumat dan teknologi yang bercambah yang
akan datang untuk kegunaan kita.

39. Adalah lebih praktikal bagi kita mempelajari
bahasa Inggeris yang sekarang sudah menjadi bahasa
antarabangsa. Tidak usahlah kita memberi alasan bahawa
kita sayang kepada bahasa kita, kita adalah nasionalis
bahasa dan kita hendak kembangkan bahasa kita.
Nasionalis yang sebenar ialah orang Melayu yang
menjayakan bangsanya dengan menguasai ilmu dan
memperolehi kejayaan sehingga ramai ingin belajar
bahasa bangsa yang berjaya ini. Di zaman teknologi
maklumat ini hanya mereka yang menguasai bahasa
Inggeris sahaja yang akan maju dan berjaya. Orang
Jepun, orang Peranchis dan orang China pun mengakui
hakikat ini dan sedang giat mempelajarinya.

40. Janganlah kerana pandangan yang sempit terhadap
bahasa Melayu maka orang Melayu sekali lagi terlepas
revolusi zaman maklumat, menjadi bangsa yang mundur,
dihina dan diperbodoh oleh orang lain. Janganlah orang
Melayu sekali lagi "beli di kedai Cina" kerana buta
maklumat. Percayalah kita akan dijajah semula jika
tidak menguasai bahasa ilmu ini. PAS yang akan
memutarbelitkan ucapan ini untuk memburukkan UMNO
adalah pengkhianat kepada bahasa, bangsa dan agama.


EKONOMI MELAYU SEBELUM MERDEKA

41. Seperti juga dengan bidang pelajaran tinggi,
keadaan orang Melayu dalam bidang ekonomi sebelum
merdeka tertinggal jauh berbanding dengan kaum-kaum
lain. Penjajah membolot 60 peratus daripada kekayaan
negara sementara yang baki dimiliki oleh bukan Melayu.
Mengikut perhitungan kasar yang dibuat, hanya satu
peratus sahaja daripada kekayaan ekonomi negara yang
berada di tangan orang Melayu di zaman penjajah. Di
bandar-bandar biasanya tidak ada kedai yang dimiliki
oleh orang Melayu. Semua perniagaan dimiliki dan
diusahakan oleh orang bukan Melayu. Pekerja, selain
daripada pemandu kereta dan `orderly' atau budak
pejabat, semuanya terdiri daripada bukan Melayu.

42. Di negeri-negeri yang tidak bersekutu di mana
Kerajaan tidak dikuasai sepenuhnya oleh Inggeris,
terdapat ramai juga pegawai pentadbiran dan kerani
Melayu. Mereka ini tinggal di bandar. Di negara
bersekutu iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri
Sembilan pegawai British mengepalai semua jabatan dan
ramai daripada pegawai rendah dan kerani terdiri
daripada orang India dan Ceylon.

43. Majoriti orang Melayu menjadi penanam padi atau
nelayan kecil dengan pendapatan yang amat rendah
sekali.

44. Jika kemerdekaan hendak dijadikan sesuatu yang
bermakna kepada orang Melayu, penyertaan mereka dalam
bidang ekonomi mestilah dipertingkatkan. Mereka perlu
diberi kesempatan berniaga dan meraih kekayaan yang
seimbang dengan kaum-kaum lain.

45. Pada mulanya Kerajaan Malaysia yang merdeka
memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar kerana
ramai daripada orang Melayu hanya tahu bercucuk tanam.
Tetapi ini hanya mengekalkan perpisahan orang Melayu
dari bandar dan tidak memberi mereka bahagian yang
berpatutan daripada kekayaan negara.


PELANCARAN DASAR EKONOMI BARU

46. Usaha untuk mengagihkan peluang untuk perniagaan
bagi Bumiputera tidak bermula secara bersungguh-sungguh
sehinggalah berlaku rusuhan kaum pada 1969. Apabila
Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk barulah terdapat
peluang yang berpatutan untuk orang Melayu menyertai
dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

47. Untuk maksud ini lesen, permit, kontrak Kerajaan,
kedai, kawasan hutan dan kawasan perniagaan, modal,
berbagai-bagai dana diadakan. Saham dari syarikat-
syarikat yang tersenarai dan syarikat baru diagihkan
kepada Bumiputera untuk menaikkan bahagian mereka dalam
perniagaan dan perusahaan. Latihan dan pelajaran
pengurusan diberi kepada yang berminat berniaga.
Kakitangan Kerajaan pun dibenarkan bersara lebih awal
dan kemudian diberi latihan dan peluang untuk menyertai
bidang perniagaan dan perusahaan.

48. Sepatutnya dengan bantuan Kerajaan yang begitu
besar, matlamat meningkatkan bahagian Bumiputera kepada
30 peratus daripada ekonomi negara tercapai. Malangnya
orang Melayu dan Bumiputera lain tidak mempunyai budaya
perniagaan. Walaupun ada yang berjaya sehingga dapat
memiliki perniagaan dan perusahaan yang agak besar,
tetapi majoriti daripada orang Melayu gagal mengekal
dan membesarkan perniagaan mereka. Segala bantuan dan
peluang gagal menjayakan matlamat sepenuhnya DEB.

49. Satu kelemahan yang ada pada peniaga Melayu ialah
mereka tidak sabar untuk menjadi kaya. Dengan itu
mereka menjual apa sahaja peluang dan peruntukan yang
diberi kepada mereka. Saham, lesen, permit, kontrak
dan lain-lain yang dikhaskan kepada mereka dijual terus
kepada orang lain untuk mendapat keuntungan serta-
merta. Selepas itu mereka memohon lagi. Dengan itu
perniagaan yang disertai oleh Bumiputera hanyalah
penjualan keistimewaan mereka. Selagi ini berlaku,
tidak mungkin Bumiputera mendapat bahagian mereka dalam
ekonomi.

50. Untuk saham yang diagih kepada Bumiputera terus
kekal di tangan mereka Kerajaan terpaksa menubuhkan
saham-saham amanah dan pelbagai agensi Bumiputera.
Alhamdulillah melalui cara ini bukan sahaja saham-saham
kekal di tangan Bumiputera dan menyumbang kepada
peratusan ekonomi yang dikhaskan bagi mereka, tetapi
lebih ramai Bumiputera dapat memiliki saham dalam
syarikat-syarikat besar. Daripada 12 juta Bumiputera,
tujuh juta lebih memiliki saham dalam syarikat besar
melalui saham amanah. Jelaslah bahawa tuduhan yang DEB
menguntungkan beberapa kroni Kerajaan sahaja adalah
tidak benar. Jika kita hendak memperkayakan kroni
adalah mudah bagi kita mengagihkan semua saham kepada
mereka sahaja dan tidak kepada tujuh juta Bumiputera
lain.

51. Tetapi cara ini tidak memberi peluang kepada
Bumiputera melibatkan diri secara langsung dalam
pengurusan perniagaan. Mereka akan hanya menjadi
`sleeping partner' sahaja yang jahil dalam pengurusan
perniagaan. Lagipun banyak daripada syarikat yang
pemilik terbesar ialah PNB tidak cergas kerana PNB juga
tidak dapat mengambil bahagian secara langsung dalam
pengurusan kebanyakan syarikat yang disertainya. Ini
bermakna sampai bila-bila pun orang Melayu akan jahil
dalam bidang perniagaan. Ini tidak akan menepati DEB.

52. Oleh sebab itu Kerajaan telah mengenalpasti tokoh-
tokoh perniagaan Bumiputera yang telah mencapai
kejayaan dalam pengurusan syarikat sendirian atau awam.
Bilangan mereka tidaklah ramai. Mereka ini diberi
peluang untuk membeli jumlah saham yang lebih besar
atau diberi projek-projek Kerajaan yang hendak
diswastakan. Sesiapa sahaja yang berbakat diberi
peluang.

53. Umumnya mereka ini berjaya dalam mengendali dan
menguruskan perniagaan yang besar ini. Kejayaan mereka
ini tidak disenangi oleh orang asing dan oleh beberapa
kerat orang Melayu sendiri. Tuduhan dibuat oleh media
asing bahawa semua mereka yang diberi peluang adalah
kroni Kerajaan, tanpa mengambilkira siapa mereka. Ini
bermakna tidak akan ada sesiapa pun daripada Bumiputera
yang boleh diberi peluang tanpa dituduh menjadi kroni
Kerajaan. Jika Kerajaan tidak hendak dituduh maka
individu Bumiputera tidak boleh diberi peluang sama
sekali dalam bidang korporat. Jika kita puas hati
melihat tidak adanya Bumiputera di peringkat perniagaan
besar dalam negara, tidak perlulah Kerajaan mendedahkan
diri kepada bermacam fitnah dan tohmahan dengan memberi
peluang kepada tokoh perniagaan Melayu. Jualkan sahaja
segala-galanya kepada orang asing dan mereka tidak lagi
akan tuduh Kerajaan mengamal kronisme. Atau jangan ada
penswastaan dan teruskan dengan pemilikan oleh
Kerajaan. Sila tanya pekerja telekom sama ada mereka
sanggup kembali menjadi pekerja Kerajaan dan dibayar
gaji Kerajaan. Lagipun kita tahu semua syarikat milik
Kerajaan tidak pernah maju.

54. DEB dan bermacam-macam usaha lain telah dibuat
oleh Kerajaan untuk mendapat penyertaan yang bermakna
oleh orang Melayu. Malangnya setelah mencuba lebih
dari 30 tahun kita tidak juga mencapai 30 peratus
daripada ekonomi/kekayaan negara bagi Bumiputera.
Desakan akan dibuat untuk Kerajaan berusaha lagi,
mengadakan pelbagai rancangan, menubuhkan berbagai-
bagai dana lagi untuk tujuan itu dan ini. Mungkin juga
kita akan mengadakan kongres ekonomi Bumiputera berkali-
kali untuk membuat berbagai-bagai resolusi bagi
Kerajaan melaksanakannya. Desakan akan dibuat untuk
Kerajaan mengambil tindakan terhadap resolusi-resolusi
yang dirumuskan.


PENCAPAIAN MELAYU MASIH RENDAH

55. Setelah 43 tahun berusaha, setelah berbilion
ringgit diperuntukkan, setelah beberapa bank dan
pelbagai dana ditubuhkan, hari ini pencapaian orang
Melayu dalam bidang perniagaan dan perusahaan masih
rendah. Kita masih berniaga di gerai tepi jalan dan
belum pun masuk ke kedai batu. Bandar-bandar baru di
Malaysia tidak mencerminkan penduduk berbilang kaum di
Malaysia. Di bandar-bandar lama kebanyakan warga kota
Melayu hanya terdiri daripada setinggan.

56. Apakah ini disebabkan Kerajaan tidak berusaha?
Kaum yang tidak diberi bantuan oleh Kerajaan jelas
berjaya. Kenapakah orang Melayu yang diberi bermacam-
macam bantuan tidak berjaya?

57. Selagi orang Melayu tidak mahu mengaku bahawa
kelemahan yang sebenar berada pada diri mereka sendiri,
selagi mereka tidak sanggup membetulkan kesalahan
mereka, selama itulah mereka akan gagal dalam bidang
perniagaan dan perusahaan. Apa dianya kelemahan ini
tidak perlu saya sebutkan di sini. Hanya yang saya
ingin perkatakan ialah mereka yang ingin kaya cepat
akan miskin cepat. Dalam dunia dan di akhirat juga
tidak ada yang mudah, tidak ada yang percuma. Hanya
mereka yang rajin, tekun, sabar dan jujur sahaja yang
akan berjaya baik dalam bidang ekonomi ataupun dalam
apa juga bidang.


MELAYU DI ZAMAN PENJAJAH

58. Penubuhan UMNO sebagai parti politik pada tahun
1946 menandakan tamatnya hampir 450 tahun bangsa Melayu
dan negeri-negeri Melayu dijajah. Sebelum ini siapa
sahaja boleh menjajah orang Melayu. Mereka tunduk
kepada sesiapa sahaja. Portugis, Belanda, British,
Jepun dan Siam pun semuanya diterima dan dihormati oleh
orang Melayu sebagai tuan kepada mereka.

59. Orang Melayu di zaman penjajah tidak bermaruah dan
tidak bersemangat. Mereka anggap diri mereka sebagai
manusia kelas dua dan mereka sedia menyerah apa sahaja
kepada orang lain yang mereka percaya lebih
berkebolehan daripada mereka. Pentadbiran negara,
perniagaan dan perusahaan, kerja biasa pun semuanya
diserah kepada orang asing.

60. Dengan itu pada satu masa awal abad ke-20 jumlah
orang asing di negeri-negeri Melayu melebihi jumlah
orang Melayu. Jika tidak kerana resesi dunia yang
teruk pada tahun tiga puluhan, hari ini orang Melayu
mungkin menjadi kaum minoriti di Malaysia seperti di
Singapura. Tetapi resesi 1930 telah menyebabkan ramai
daripada orang Cina dan India balik ke negara mereka.
Dengan itu jumlah orang Melayu melebihi sedikit
daripada orang mendatang. Dengan itu yang menuntut
kemerdekaan dan menerajui Kerajaan Malaysia yang
merdeka ialah orang Melayu. Kita nyaris menjadi Melayu
Singapura.

61. Inilah kesan daripada menyerah segala kerja dan
urusan kepada orang lain. Inilah kesan daripada sikap
tidak sanggup membuat kerja yang berat sedikit, yang
susah sedikit, yang berbeza sedikit daripada kerja
biasa -- iaitu menanam padi dan menangkap ikan. Orang
Melayu tidak sanggup dan tidak mahu bekerja dalam kebun
getah atau lombong bijih, atau belajar berniaga selain
daripada membuka gerai di tepi jalan atau menghampar
tikar di pasar dan duduk di tengah-tengah barangan yang
hendak dijual. Perniagaan mereka tidak membesar dan
peniaga Melayu biasanya tidak pindah ke kedai yang
lebih sempurna, lebih besar. Rezeki secupak orang
Melayu tidak pernah jadi segantang. Kais pagi makan
pagi, kais petang makan petang. Tidak ada esok bagi
perniagaan orang Melayu.

62. Sesungguhnya keadaan ekonomi orang Melayu di zaman
penjajah British amat buruk dan memalukan. Tetapi di
zaman Jepun orang Melayu masih ingin mengalu-alukan
kembalinya penjajah British.

63. Alangkah terkejutnya orang Melayu apabila mereka
diberitahu British berhasrat menjadikan negeri-negeri
Melayu sebagai milik mereka terus dan tidak lagi negeri
Melayu yang dilindungi British. Buat kali pertama
selama hampir 450 tahun mereka dijajah, orang Melayu
berhadapan dengan kehilangan secara langsung negeri-
negeri kerdil mereka, tanahair mereka. Mereka tidak
lagi akan mempunyai taraf sebagai anak watan Bumiputera
dalam sebuah negara mereka sendiri. Mereka akan
menjadi satu daripada kaum yang setaraf dengan kaum
mendatang. Lebih buruk lagi sementara mereka boleh
memiliki kewarganegaraan Malayan Union sahaja, kaum
pendatang boleh memiliki kewarganegaraan dua negara --
Malayan Union dan negara asal daripada mana mereka
datang. Dalam Malayan Union ciptaan British, orang
Melayu akan menjadi secara rasmi warganegara kelas dua.

64. Di zaman British politik dilarang bagi rakyat
biasa. Politik hanya untuk raja-raja dengan pembesar
mereka dan British. Dengan mudahnya British
mengambilalih semua kegiatan pentadbiran yang penting.
Raja-raja berkuasa secara terhad hanya dalam
pentadbiran agama Islam dan adat-istiadat Melayu.

65. Alhamdulillah kuasa yang sedikit ini telah
menyelamatkan orang Melayu daripada nasib yang menimpa
penduduk tanah jajahan Barat yang lain. Dalam
perjanjian dengan British yang berkuatkuasa selagi ada
matahari, bulan dan bintang di langit, syarat yang
penting ialah perkembangan agama Kristian di kalangan
orang Melayu tidak dibenarkan. Dengan itu
terselamatlah agama orang Melayu. Jika tidak, apa yang
berlaku di Maluku akan terjadi di Malaysia hari ini.

66. Kerana politik ditegah di kalangan orang Melayu,
dan tidak ada jawatan atau pangkat dalam pentadbiran
yang dipertandingkan, tidak ada perebutan tempat oleh
orang Melayu. Tokoh-tokoh agama memang ada dan mereka
mendirikan sekolah-sekolah agama pondok di utara
Semenanjung. Mereka juga tidak berpolitik dan mereka
menerima pemerintahan British seperti orang Melayu
lain. Dengan itu tidak ada persaingan antara orang
yang terpelajar dalam bidang agama dengan orang
daripada sekolah Melayu atau sekolah Inggeris.
Perpecahan kerana agama tidak berlaku. Alhamdulillah.

67. Apabila gerakan menentang Malayan Union berlaku,
tidak ada masalah bagi orang Melayu lulusan sekolah
agama, sekolah Melayu dan sekolah Inggeris bekerjasama
rapat untuk menentangnya. Semua orang Melayu menyertai
UMNO dan semua sama-sama menyokong perjuangan orang
Melayu melawan penjajah.

68. Berhadapan dengan bahaya negeri-negeri mereka
dirampas oleh British, raja-raja Melayu juga menyertai
secara tidak langsung gerakan menentang British.
Dahulu raja-raja Melayu dan pembesar jajahan sering
bertelingkah kerana perebutan tempat dan takhta.
Perebutan ini memberi peluang kepada penjajah memihak
kepada pihak tertentu untuk mengembangkan lagi pengaruh
mereka. Tetapi setelah British berkuasa pewaris kepada
takhta dan pembesar ditentukan oleh British dan
perebutan tidak berlaku lagi.


PERPADUAN KUATKAN MELAYU

69. Dalam keadaan orang Melayu tertekan dan daif,
dalam keadaan politik Melayu terhad dan tidak ada orang
agama atau orang lain yang memecahbelahkan orang
Melayu, dalam keadaan raja dan rakyat berhadapan dengan
bahaya yang sama, seruan kepada perpaduan menarik
`response' yang menggalakkan. Tidak ada sesuatu yang
lebih berkesan menyatupadukan orang Melayu daripada
percubaan merampas negeri-negeri mereka oleh penjajah.
Walaupun mereka serba daif, tidak mempunyai kewangan,
tidak berpelajaran dan berilmu, tidak mempunyai
senjata, namun perpaduan yang kukuh telah menyelamatkan
mereka.

70. British, satu kuasa besar dunia, yang baru menang
perang, yang begitu pintar dan cekap, terpaksa tunduk
kepada Melayu yang bersatu dalam sebuah parti politik
yang baru sahaja ditubuhkan oleh mereka. UMNO,
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, di bawah pimpinan
seorang anak Johor telah menyatupadukan semua orang
Melayu dan pertubuhan-pertubuhan mereka daripada semua
lapisan dalam satu pertubuhan politik, iaitu UMNO.
Pemimpin-pemimpin UMNO sahaja yang diberi mandat untuk
memprotes dan menuntut balik hak orang Melayu ke atas
negeri-negeri mereka.

71. Sebenarnya ini adalah kali pertama dalam sejarah
orang Melayu sejak sebelum kesultanan Melayu Melaka
yang orang Melayu sedar akan Kemelayuan mereka dan
bersatu sebagai orang Melayu. Sebelum ini mereka
menganggap diri mereka sebagai rakyat negeri masing-
masing dan kesetiaan mereka adalah kepada raja-raja
negeri mereka. Nasib yang malang yang menimpa sesuatu
negeri Melayu tidak mengundang simpati dan pertolongan
daripada orang Melayu negeri lain.

72. Terbahagi kepada negeri-negeri yang kecil, mereka
amat lemah dan mudah diperkosa oleh sesiapa sahaja.
Sebab itu satu demi satu daripada negeri-negeri ini
menerima naungan atau ditakluk oleh bangsa-bangsa
asing. Sejak kejatuhan kesultanan Melaka, di waktu
mana hampir semua negeri Melayu dan orang Melayu
menerima naungan Sultan Melaka; sejak itu negeri-negeri
Melayu terpaksa mencari penaung dari negara-negara
Barat dan negara jiran seperti Siam. Sejak kesultanan
Melaka tidak ada suatu masa yang negeri-negeri Melayu
betul-betul bebas dan merdeka, dan tidak pernah orang
Melayu bersatu kerana Kemelayuan mereka.

73. Kejayaan UMNO yang tercemerlang sekali ialah
penyatuan orang Melayu daripada semua negeri Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu. Penyatuan ini memberi
kekuatan kepada bangsa Melayu yang tidak pernah dirasai
oleh orang Melayu selama 450 tahun.


PELAJARI SEJARAH

74. Kata George Santayana, seorang ahli fikir Barat,
"Mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera
dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali".

75. Apakah orang Melayu mendapat pelajaran daripada
sejarah mereka, terutama sejarah 450 tahun mereka
dijajah; lebih tepat lagi sejarah mereka dijajah oleh
British? Apakah mereka belajar daripada sejarah
politik mereka, daripada sejarah ekonomi mereka,
daripada sejarah agama mereka dan sejarah keilmuan
mereka?

76. Orang Melayu nampaknya tidak banyak mempelajari
daripada sejarah mereka. Melayu mudah lupa sejarah
mereka. Sebaliknya mereka amat gemar mewarnakan
sejarah mereka dengan cerita dongeng untuk ego mereka,
untuk menyedapkan hati dan berbangga dengan cerita-
cerita dongeng yang mereka cipta.

77. Demikian mereka suka menyebut ungkapan Hang Tuah
yang kononnya berkata, "Tak akan Melayu hilang di
dunia".

78. Sehingga hari ini benarlah kita tidak hilang.
Tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini.
Selama 450 tahun mereka hidup di negeri mereka sendiri
sebagai hamba bangsa-bangsa asing. Sekarang mereka
sudah bebas dan dapat memerintah diri sendiri. Tetapi
apakah mereka sudah menjadi bangsa yang berjaya dan
bermaruah.


KEBIJAKSANAAN PEMIMPIN UMNO

79. Orang Melayu boleh dikatakan bijak juga dalam
mentadbirkan sebuah negara yang penduduknya terdiri
daripada pelbagai kaum dan suku kaum. Umum mengetahui
bahawa negara berbilang kaum biasanya diancam oleh
permusuhan antara kaum yang kerapkali diikuti dengan
peperangan yang tidak berhenti-henti. Jika tidak ada
peperangan pun perhubungan antara kaum biasanya tegang.

80. Di Malaysia bukan sahaja terdapat kaum yang
berlainan tetapi perbezaan ini ditokok-tambah dengan
kelainan bahasa, budaya dan agama. Sesungguhnya
campuran ini amat mudah meletup.

81. Tetapi pemimpin-pemimpin Melayu UMNO di waktu
perjuangan untuk kemerdekaan telah menjalin satu sistem
kerjasama antara kaum yang amat bijak dan istimewa.
Sementara identiti kaum dikekalkan, kerjasama dalam
satu parti campuran dicipta yang tidak membelakangkan
kedudukan orang Melayu sebagai Bumiputera anak watan.
Kejayaan sistem ciptaan Melayu UMNO ini lebih
mengkagumkan kerana ianya dibentuk semasa pengganas
yang majoritinya daripada keturunan Cina sedang
melakukan serangan terhadap Kerajaan dengan tujuan
mendirikan sebuah republik yang akan dikuasai oleh
orang berketurunan Cina. Bahawa majoriti orang Cina
sanggup menyokong sebuah parti campuran kepimpinan
Melayu yang begitu keras menentang pengganas Cina
adalah bukti kemampuan kepimpinan orang Melayu UMNO
menangani masalah perkauman yang tebal di Malaysia;
menanganinya dengan tidak menggadai hak bangsa Melayu.
Tidak ada negara berbilang kaum yang lain yang berjaya
mengatasi masalah perkauman seperti Malaysia di bawah
pimpinan orang Melayu UMNO.

82. Inilah bukti kebijaksanaan orang Melayu dan
pemimpin-pemimpin mereka, iaitu pemimpin UMNO yang
menggunakan akal fikiran dan tidak nafsu dalam
pengurusan negara yang baru sahaja merdeka. Walaupun
ada saranan supaya orang Melayu merebut semua kuasa dan
menidakkan hak penduduk bukan Melayu, yang mana ini
sudah tentu akan memaksa orang Cina terutamanya
menyokong perebutan kuasa oleh pengganas Cina, tetapi
kepimpinan Melayu menolak desakan ini. Dengan itu
akhirnya pengganas di bawah kepimpinan orang
berketurunan Cina ditewaskan. Jika pada masa itu kita
mempunyai pemimpin Melayu yang tamak yang cuba merebut
semua untuk kita, hari ini Malaysia bukan sahaja tidak
aman tetapi tetap mundur seperti kebanyakan negara
membangun yang lain. Mungkin rusuhan berlaku sepanjang
masa.

83. Demikian kebijaksanaan kepimpinan Melayu UMNO
dalam politik dan pentadbiran. Dalam bidang
pembangunan ekonomi negara juga prestasi pemerintahan
yang diterajui Melayu UMNO jauh lebih baik daripada
yang dijangka. Pertumbuhan ekonomi di Malaysia
meningkat sepanjang masa, sehingga ia menjadi satu
daripada ekonomi ajaib di Timur Asia.


KELEMAHAN MELAYU

84. Tetapi pencapaian orang Melayu sendiri tidak boleh
dibanggakan. Ingatan mereka terlalu pendek. Selepas
hanya dua generasi, pengajaran daripada sejarah lama
dan baru sudah dilupakan atau tidak dapat difahami.
Bagi generasi yang membesar atau dilahirkan selepas
merdeka, kemerdekaan tidak mempunyai makna yang sama
seperti kepada mereka yang dilahirkan dan membesar di
zaman penjajah. Dan mereka tidak juga dapat
mempercayai tentang kemungkinan mereka dijajah semula.
Sekali merdeka, kononnya selama-lamanya merdeka, kata
mereka. Amatlah sukar bagi mereka menerima konsep
seperti neo-kolonialisme. Apakah orang putih yang
memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan,
pemerintahan mengikut undang-undang, demokrasi; apakah
orang ini berniat untuk menjajah mereka semula? Ini
semua adalah helah Kerajaan UMNO untuk menakutkan orang
Melayu supaya memberi sokongan kepada parti UMNO.
Generasi muda tidak boleh ditipu dan ditakutkan.
Kemerdekaan, kebebasan dan keselamatan orang Melayu
adalah terjamin. Mana-mana Kerajaan di Malaysia pun
akan menjamin keselamatan dan keselesaan hidup orang
Melayu.

85. Dengan ini percubaan tidak dibuat untuk mengubah
sikap dan mengatasi kelemahan-kelemahan yang dahulu
telah menyebabkan negeri-negeri Melayu dijajah,
dibanjiri oleh orang asing sehingga orang Melayu
menjadi minoriti. Orang Melayu masih mudah bersengketa
dan berpecah. Orang Melayu masih tidak sanggup
mengejar ilmu, tidak sanggup bekerja kuat, tidak mahu
belajar pengurusan perniagaan dan menghadapi risiko
perniagaan. Orang Melayu masih mencari jalan yang
mudah untuk cepat kaya. Dan ini termasuk menerima
sogokan.

86. Oleh itu di hari ini orang Melayu masih lemah
setelah 43 tahun bebas dan berkuasa di negeri sendiri.
Tanpa Kerajaan yang memihak dan membantu mereka dalam
semua segi, mereka akan jatuh tersungkur. Tanpa
diskriminasi positif oleh Kerajaan hanya 20 peratus
daripada kemasukan ke universiti akan terdiri daripada
anak-anak Melayu. Dan mereka ini pun akan lulus dengan
pangkat yang rendah, jika mereka lulus. Tanpa Kerajaan
yang prihatin terhadap nasib orang Melayu Naib Canselor
dan profesor, dan pensyarah akan terdiri daripada orang
lain dan bukan dimonopoli oleh orang Melayu seperti
sekarang.

87. Dalam Kerajaan pegawai tinggi dan pegawai
profesional bukan Melayu akan menjadi majoriti yang
terbesar. Kebanyakan Ketua Setiausaha Kementerian-
Kementerian akan terdiri daripada bukan Melayu.
Keadaan di mana hampir semua pejabat dipenuhi oleh
pegawai dan kakitangan Melayu akan berubah. Mungkin
juga orang yang hanya tahu bahasa Melayu akan
menghadapi masalah semasa berurusan dengan Kerajaan.

88. Dalam bidang ekonomi perniagaan orang Melayu akan
terhad kepada gerai-gerai yang berbumbung plastik biru
di tepi-tepi jalan. Tidak akan ada kedai batu Melayu
dalam bandar. Sudah tentu tidak akan ada bangunan
pencakar langit milik ahli korporat Melayu, bahkan oleh
dana-dana kepentingan Melayu.

89. Kerajaan yang tidak bersimpati dengan orang Melayu
akan menswastakan semua perniagaan awam dan jabatan-
jabatan kepada orang asing atau rakyat bukan Melayu.
Di bawah mereka entiti yang diswastakan ini akan
berkembang maju dan menjadi gergasi korporat. Mungkin
ada beberapa kerat orang Melayu sahaja yang akan
dilihat antara ramai pegawai lain.


MELAYU SUDAH LUPA PERJUANGAN

90. Sukar bagi kita menggambarkan keadaan seperti ini.
Setelah merdeka 43 tahun sukar bagi orang Melayu hari
ini memikir akan keadaan semasa kita dijajah dahulu.
Yang kita tahu ialah hari ini kita merdeka, hari ini
kita mempunyai Kerajaan yang dikuasai oleh kita, hari
ini Kerajaan melindungi kita. Takkanlah Malaysia boleh
mengadakan Kerajaan yang mengabaikan kepentingan
Melayu. Apa juga yang dibuat oleh orang Melayu mereka
tetap selamat. Jika mereka berpecah, berperang sesama
sendiri pun mereka akan selamat. Bahawa mereka masih
lemah dalam semua bidang, lemah daripada segi ekonomi,
tidak berilmu, kurang cerdik, mudah disogok, menjadi
penagih dadah, menghidap penyakit aids dan lain-lain;
semua ini tidak mengapa kerana mereka tetap selamat,
tetap akan mendapat perlindungan daripada Kerajaan
Malaysia.

91. Yang ternampak oleh orang Melayu ialah politik
demokrasi memberi jalan yang mudah untuk mendapat
sesuatu bagi diri sendiri. Sedikit sahaja usaha yang
perlu dibuat tetapi keuntungan yang akan didapati amat
besar. Dalam parti pemerintah dan parti-parti Melayu
lain, yang diutamakan ialah perebutan tempat.
Keupayaan memberi khidmat atau menyumbang kepada
kebaikan, kepada pembangunan orang Melayu dan negara
Malaysia tidak penting.

92. Perebutan inilah yang membawa kepada keruntuhan
akhlak sehingga kawan yang menolong kita pun sanggup
kita caci, sanggup kita jatuhkan. Rasuah sanggup
dihulur, agama sanggup diputarbelitkan dan bangsa
dipecahbelahkan. Tidak ada langsung penghargaan kepada
jasa dan bakti. Kita cantas, kita kebas, kita buat apa
sahaja untuk mencapai cita-cita besar kita.

93. Parti yang begitu berjasa kepada bangsa, agama dan
tanahair, bahkan kepada kita sendiri sanggup kita buruk
dan lemahkan dalam usaha kita untuk mendapat sesuatu
bagi diri kita. Perpaduan dalam parti, dan perpaduan
orang Melayu sendiri sanggup kita tolak dan sanggup
kita pecahkan.

94. Orang Melayu sudah lupa. Mereka sudah lupa
bagaimana dahulu mereka dijajah dan dihina kerana
mereka berpecah, tidak bersatupadu. Mereka sudah lupa
akan kekuatan dan kejayaan mereka apabila mereka
bersatu dan melawan British dan mencapai kemerdekaan.

95. Mereka sudah lupa akan tujuan sebenar perjuangan
politik mereka. Apakah perlu bahasa Melayu sahaja
dijadikan bahasa rasmi? Apakah taraf agama lain tidak
boleh disamakan dengan taraf agama Islam? Apakah perlu
ada perbezaan di antara Bumiputera dengan bukan
Bumiputera? Semua ini dilupakan. Dalam keghairahan
untuk mendapat undi daripada pihak tertentu semua
kepentingan Melayu yang diperjuangkan ini dijadikan
tajuk untuk tawar-menawar. Bagi undi dan kami sanggup
gugur apa sahaja yang dianggap hak orang Melayu.

96. Apakah perasaan orang Melayu terhadap penderhakaan
kepada kepentingan Melayu oleh parti Melayu tertentu
ini? Apakah mereka akan menyokong juga parti yang
secara terang-terang menolak hak keistimewaan orang
Melayu? Jawabnya "Ya", mereka akan terus menyokong.
Penyokong parti yang sanggup menggadai hak orang Melayu
akan meyakinkan diri mereka bahawa pendirian pemimpin
parti mereka hanyalah tipu helah untuk mendapat
sokongan bukan Melayu. Kononnya pemimpin mereka begitu
kuat pegangan kepada agama Islam dan tidak mungkin
membenarkan hak orang Melayu Islam tergadai. Apabila
sudah berjaya maka pemimpin dan parti mereka akan
teruskan agenda Islam mereka dan menipu orang bukan
Islam. Oleh itu penyokong mereka akan teruskan
sokongan mereka secara fanatik.

97. Cuba hitung. Hari ini 72 daripada wakil rakyat
Melayu adalah daripada parti Kerajaan dan 32 daripada
parti lawan. Jika hanya 21 kerusi lagi dimenangi oleh
parti lawan mereka akan dapat 53 dan UMNO dapat 51.
Untuk mendapat 21 kerusi lagi tidak susah. Dalam
kawasan yang mana UMNO menang sedikit sahaja, 200-300
undi daripada kaum lain akan memberi kemenangan kepada
parti lawan. Oleh itu membelakangkan kepentingan
Melayu untuk mendapat sokongan bukan Melayu memang
bijak.

98. Tetapi untuk memerintah perlu ada sekurang-
kurangnya 97 kerusi. Oleh itu jual-beli, tawar-menawar
mesti diteruskan. Apakah yang hendak dijual jika tidak
kepentingan Melayu? Kerajaan yang akan didirikan
dengan parti-parti tertentu tetap lemah kerana siapa
sahaja boleh menjatuhkannya. Jika parti yang berkongsi
menarik diri, Kerajaan campuran PAS akan jatuh.

99. Apakah Kerajaan yang lemah seperti ini boleh
memerintah dengan tegas? Apakah Kerajaan seperti ini
boleh melindungi orang Melayu yang masih lemah? Sama-
samalah kita renungkan.


DEMOKRASI ADA CACATNYA

100. Demokrasi adalah satu sistem politik yang terpaksa
diterima pakai oleh seluruh dunia sekarang. Demokrat
liberal Barat yang dikatakan percaya kepada kebebasan
telah bersumpah tidak akan membenarkan sistem-sistem
lain digunakan oleh mana-mana negara di dunia.
Kebebasan hanyalah untuk memilih demokrasi. Inilah
demokrasi dan kebebasan yang dimaksudkan oleh demokrat
liberal Barat.

101. Kita akui demokrasi baik. Ia memberi hak kepada
rakyat memilih orang yang terbaik untuk memerintah
negara mereka. Tentulah majoriti rakyat tidak akan
menganiaya diri mereka dengan memilih penyangak untuk
mendirikan Kerajaan.

102. Tetapi kita sudah lihat bagaimana rakyat beberapa
negara demokratik memilih orang yang tidak begitu
lurus, tidak berkemampuan untuk mendirikan Kerajaan dan
memerintah negara.

103. Rakyat mudah dipengaruhi. Jika rakyat begitu kuat
pegangan kepada agama, agama boleh dijual,
diputarbelitkan supaya majoriti rakyat tertipu dan
menyokong parti yang salah. Rakyat takut neraka. Oleh
itu beritahu mereka jika mereka ingin ke syurga
sokonglah parti yang mempunyai nama Islam walaupun ia
jelas mempermainkan Islam, bahkan menghina Tuhan. Jika
rakyat takut menjadi kafir, kata pada mereka, walaupun
kamu mengucap dua kalimah syahadat, kamu masih kafir
jika tidak menyertai parti `Islam', tidak mengundi
parti Islam ini.

104. Hari ini orang Melayu sudah dibiasakan dengan
rasuah, dengan sogokan. Mereka meyakinkan diri mereka
bahawa perbuatan mereka seorang tidak akan menukar
keputusan pilihanraya. Tetapi yang berfikiran demikian
bukan seorang sahaja. Beratus dan beribu akan berfikir
demikian. Dengan itu bangsa, agama dan negara boleh
dijual kepada sesiapa yang menghulur wang dan lain-
lain. Siapa yang menghulur lebih banyak akan menang.
Jelaslah demokrasi tidak menjamin Kerajaan yang dipilih
oleh majoriti rakyat tetap Kerajaan yang baik.
Penyangak, ulama songsang, pengamal rasuah dan kaki
maksiat juga boleh jadi pemimpin negara. Lihatlah
negara-negara yang mempunyai penyangak sebagai
pemimpin. Hancur negara dibuatnya, tetapi masih ramai
yang menyokong dan tidak mudah untuk menyingkirkannya.

105. Penolakan perpaduan oleh orang Melayu, kecacatan
dalam sistem demokrasi, putarbelit oleh ahli politik
yang rakus yang sanggup jual apa sahaja termasuk agama,
perasaan kebencian yang tidak berasas dan keruntuhan
moral orang Melayu sendiri, kehilangan semangat
kebangsaan -- semua ini boleh menyebabkan kuasa politik
Melayu menjadi luntur dan terlepas daripada tangan
mereka.

106. Apakah kita percaya apabila kita lemah orang lain
akan memelihara kita, melindungi hak kita? Apakah mana-
mana Kerajaan pun akan memberi layanan yang sama
seperti yang kita dapati sekarang ini? Apakah kita
berasa bangga apabila bangsa Melayu yang tak akan
hilang di dunia ini terpaksa diberi lindungan seperti
orang Red Indian di Amerika, disimpan dalam kawasan
rizab, dan dijadikan produk pelancongan?

107. Kemungkinan-kemungkinan ini semuanya cerita
dongeng untuk menakutkan orang Melayu supaya menyokong
Kerajaan. Orang asing tidak seburuk yang digambarkan.
Tidakkah mereka menunjuk simpati dan sokongan mereka
apabila Kerajaan melakukan kezaliman? Mereka, orang
asing, berperikemanusiaan. Mereka mendokong hak asasi
manusia. Mereka prihatin dan ingin melihat manusia
bebas. Mereka tidak akan menganiaya kita.

108. Apakah kita tidak lihat apa yang sedang berlaku di
sekeliling kita. Kononnya untuk mendisiplinkan
Kerajaan, penyangak matawang dilepaskan untuk
menjatuhkan nilai matawang, merosakkan ekonomi dan
memiskinkan negara yang sedang pesat membangun.
Berjuta pekerja menganggur, merusuh di jalan raya,
membakar kereta dan bangunan, merogol dan membunuh.
Pemerintah dijatuhkan kerana kononnya akan diganti
dengan pemerintah yang lebih adil dan demokratik.
Apakah kita tidak percaya semua ini mungkin berlaku
kepada kita apabila kita lemah dan kita memberi
kesempatan kepada bekas-bekas penjajah? Apakah benar
mereka ikhlas dan tidak akan menganiayakan kita? Sudah
lupakah kita sejarah penjajah kita dahulu, kesan
perpecahan di kalangan kita, kesan menyerah
pemerintahan kepada orang lain, kesan menyerah semua
pekerjaan dan perniagaan kepada orang lain.

109. Hanya yang buta dan yang pekak, atau yang celik
tetapi tidak mahu lihat, atau yang suka menipu diri
sahaja yang akan berkata semua yang diperkatakan ini
adalah percubaan untuk menakutkan orang Melayu dan ahli
UMNO supaya tidak menggunakan rasuah dan politik untuk
kepentingan diri.


ORANG ASING BENCI MALAYSIA

110. Bangsa asing yang dahulu menjajah kita, yang tidak
pernah menolong kita; bangsa asing ini tidak ada niat
baik kepada kita. Ya, benar hari ini mereka mengecam
Kerajaan Malaysia dan kepimpinannya kerana kononnya
tidak berlaku adil kepada pihak tertentu, kerana tidak
demokratik, kerana mengamalkan kapitalisme kroni dan
lain-lain. Mereka nampak begitu simpati dengan puak
yang kononnya ingin reformasi dan keadilan.

111. Ini adalah helah mereka sahaja. Kenapa mereka
tidak menyelamatkan orang Islam Bosnia dan Kosovar
daripada penjenayah Serb, kenapa biar sehingga 200,000
orang dibunuh, ramai dicederakan, dirogol sebelum
bertindak? Kenapa tidak pertahankan orang Palestin
daripada serangan Israel, yang membunuh kanak-kanak;
kenapa sekat makanan dan ubat bagi rakyat Iraq sehingga
ramai kanak-kanak lahir cacat dan ramai mati kelaparan
dan kurang rawatan?

112. Orang Islam di mana-mana sahaja ditindas. Apakah
mungkin di Malaysia mereka ini begitu bersimpati dengan
pembangkang, dengan sebuah parti yang kononnya berjuang
untuk mendirikan negara Islam? Islam bagi mereka
adalah sinonim dengan pengganas.

113. Jawapannya "Tidak". Tidak mungkin mereka
hendakkan Kerajaan oleh orang yang mereka cap sebagai
pengganas. Mereka hanya ingin menjatuhkan Kerajaan
Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan yang
sanggup mengkritik mereka apabila mereka mengganas,
Kerajaan yang menolak nasihat mereka untuk menyerah
pengurusan ekonomi negara kepada agen mereka, IMF dan
Bank Dunia.

114. Mereka benci kepada Malaysia terutama kepimpinan
yang ada sekarang, benci yang tidak terhingga, benci
dan sakit hati yang amat sangat. Mereka lebih benci
kerana Malaysia mampu menangkis serangan ekonomi dan
kewangan yang dilancar oleh mereka, dan berjaya tanpa
pertolongan sesiapa, berjaya dengan pendekatan sendiri,
dengan duit ringgit sendiri. Mereka benci kerana
setelah meramal Malaysia dan Kerajaannya akan jatuh
tersungkur, hari ini amat jelas bahawa bencana yang
mereka ramal tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya
Malaysia dapat pulih ekonominya sehingga pada tahun
2000 tumbuh dengan pesat semula, lebih pesat dari
negara-negara yang menerima `pertolongan' mereka.

115. Mereka benci kepada Kerajaan Malaysia kerana
mendedah niat jahat mereka apabila memperkenalkan
konsep globalisasi dan dunia tanpa sempadan.
Malaysialah yang mula mencabar dan menentang konsep ini
yang bertujuan menakluk dunia dengan kekuatan ekonomi,
dengan manipulasi wang dan dengan syarikat-syarikat
gergasi yang lebih besar dan lebih kaya daripada
kebanyakan negara di dunia. Hanya haprak yang suka
menjunjung orang putih sahaja yang tidak mengakui semua
ini.

116. Ya, memang Malaysia dibenci amat sangat, dibenci
dengan tidak terhingga, dibenci kerana bukan sahaja
kita negara membangun yang dianggap besar kepala tetapi
negara ini dipimpin oleh orang Islam dan negara ini
adalah negara Islam -- negara `terrorist', negara
pengganas. Media merekalah yang amat benci sekali
kerana segala-gala yang mereka ramal tidak berlaku.
Mereka meramal perkauman akan menghalang pembangunan
Malaysia setelah kita merdeka. Tetapi kita berjaya
menangani perkauman dengan cara kita sendiri. Apabila
berlaku peristiwa 1969 mereka begitu gembira kerana
ramalan mereka ternampak telah menjadi kenyataan.
Tetapi dalam masa yang pendek kita kembali tenang dan
kita cipta `affirmative action' yang berjaya
mengendurkan ketegangan antara kaum dan memulihkan
ekonomi negara.

117. Kita bukan sahaja pulih tetapi kita menjadi satu
daripada harimau ekonomi Asia. Proses industrialisasi
kita berjalan dengan lancar. Daripada negara pertanian
yang bergantung hanya kepada getah dan timah kita
berjaya menjadi negara industri pembuatan dan pedagang
yang ke-17 terbesar di dunia.

118. Mereka serang Ringgit kita dan media mereka
menanti-nanti kita mengemis kepada IMF dan Bank Dunia.
Kita tidak mengemis. Kita pulih negara kita dengan
usaha kita sendiri, dengan wang kita sendiri. Maka
bertambah marahlah mereka. Dan ada tanda-tanda yang
mereka sedang berusaha lagi untuk meruntuhkan ekonomi
negara kita melalui laporan dan tulisan mereka supaya
pelabur asing menolak Malaysia, pelancong tidak datang
ke Malaysia, supaya pasaran saham kita jatuh, hutang
tidak berbayar meningkat, bank dan syarikat menjadi
tenat. Kita memerhati percubaan mereka ini dan kita
menyediakan strategi pertahanan kita.

119. Orang asing dan media mereka tidak ada niat baik
terhadap kita. Mereka bukan ingin tukar Kerajaan ini
dengan Kerajaan yang lebih adil dan demokratik. Yang
mereka ingin melihat ialah negara kita ini mengalami
nasib buruk seperti yang berlaku kepada negara-negara
tertentu, di mana Kerajaan tidak mampu menstabilkan
negara, menjamin keselamatan dan memulihkan ekonomi.
Mereka hanya ingin melihat kerosakan dan masalah yang
menimpa negara lain menimpa negara kita juga. Mereka
ingin kita menjadi `client state' boneka mereka.

120. Mereka bukan sayang kepada parti lawan dan ingin
melihat mereka mengambilalih Kerajaan Malaysia. Mereka
hanya menggunakan parti lawan sebagai alat untuk
menjayakan niat buruk mereka. Jika ada orang tertentu
untuk ditonjolkan sebagai obor untuk mengumpul rakyat
dan mempengaruhi dunia tentang keburukan Kerajaan yang
mereka tidak suka maka nasib buruk orang itu akan
dijaja di seluruh dunia. Kononnya layanan terhadap
orang tertentu ini menunjuk betapa tidak adilnya negara
tertentu, betapa tidak demokratik dan tidak
berperikemanusiaan. Tetapi apabila beribu-ribu orang
di Palestin, Bosnia, Kosovo dibunuh dengan kejam mereka
tidak memburukkan Israel atau Serbia. Di negara mereka
sendiri ketidakadilan yang ketara berlaku kerana
sentimen perkauman kulit putih dan mahkamah mereka
selalunya berat sebelah. Ini tidak pula menarik
tuduhan oleh media mereka bahawa mereka tidak adil.

121. Mereka mendakwa tunjuk perasaan dan demonstrasi
adalah hak asasi manusia dan demokratik. Tetapi
apabila ini berlaku di negara mereka sendiri, mereka
pukul, mereka tembak dan mereka tangkap pejuang-pejuang
yang mengamalkan hak-hak ini. Cakap tak serupa bikin.
Dua kali lima sahaja. Katakan orang kita yang lebih.


JANGAN BENAR DITIPU

122. Orang Melayu jangan benar diri ditipu oleh orang
asing. Jangan menjadi alat orang asing untuk
merosakkan negara sendiri. Jangan mengkhianati bangsa
dan agama. Jangan menderhaka. Jangan lupa sejarah
penindasan kita oleh penjajah dahulu.

123. Kita akui negara kita dan Kerajaan yang ada ini
tidak bebas daripada kesalahan, daripada kecacatan.
Sebagai bangsa yang bebas dan berdaulat kita harus
selesaikan masalah kita dengan usaha kita sendiri.
Proses demokrasi walaupun tidak boleh menjamin semua
hasilnya baik, tetapi masih boleh diguna untuk
mengatasi masalah-masalah sesama kita dan dalam negara
kita. Jangan cepat lari untuk mencari pertolongan
daripada `sherif' bangsa lain.

124. Orang Melayu perlu berfikiran waras. Jangan benar
nafsu mempengaruhi dan mengatasi akal fikiran. Jangan
benar perasaan benci semata-mata menguasai pendirian
kita. Jangan gemar dengan fitnah, kerana al-Quran
jelas meletakkan fitnah sebagai lebih bahaya daripada
membunuh, seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 191, yang
bermaksud:

"Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada
pembunuhan"

Mereka yang melemparkan fitnah melakukan keburukan yang
besar, lebih besar daripada keburukan membunuh. Mereka
yang menolong menyebarkan fitnah, mereka juga bersalah.
Takutlah kepada Tuhan, kepada Allah S.W.T. Jangan
melempar fitnah, jangan menyebar fitnah dan jangan
mempercayai fitnah. Demikian surah Al-Hujuraat ayat 6
dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang
kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara yang tidak diingini - dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan
kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"

125. Buatlah penilaian yang baik terhadap apa-apa tuduhan.
Bukankah hampir semua daripada tuduhan yang dilempar
terhadap Kerajaan tidak berasas. Rancangan Perairan Muda
dikatakan menyeksa tanah, Jambatan Pulau Pinang membazir,
Dasar Ekonomi Baru hanya menguntungkan beberapa kroni
Kerajaan sahaja, kereta Proton tidak mungkin berjaya,
penswastaan tidak menolong membangunkan negara, kawalan
pengaliran modal tidak mungkin memulihkan ekonomi negara
dan seribu satu lagi tuduhan, yang semuanya didapati tidak
berasas. Demikian juga dakwaan kononnya Dr Mahathir buang
suara ahli bawahan dalam bakul sampah, tidak percaya agama
dan menggunakan perkhidmatan bomoh, tidak sembahyang subuh
-- semuanya fitnah belaka.

126. Sila dapatkan bukti dan butiran yang jelas berkenaan
dengan tuduhan dan dakwaan ini dan berkenaan projek-projek
ini dan projek-projek lain dan dasar Kerajaan. Tidakkah
DEB memberi peluang pelajaran tinggi kepada ratusan ribu
anak Melayu termasuk anak orang PAS sehingga mereka hari
ini berpendapatan berkali ganda lebih daripada ibu bapa
dan keluarga asal mereka? Bukankah Proton satu perusahaan
yang berjaya sehingga tiga per empat daripada kereta di
jalanraya adalah Proton, dan mereka yang dahulu tidak
mungkin memiliki kereta sekarang ke sana, ke sini dengan
kereta Proton? Bukankah dunia hari ini terpaksa mengakui
bahawa kawalan modal ala Malaysia mampu memulihkan ekonomi
negara?

127. Kenapakah orang asing sanggup bermati-matian untuk
datang ke Malaysia? Apakah kalau negara mereka lebih
baik, lebih banyak peluang kerja, mereka akan datang ke
sini?

128. Apakah Malaysia bukan negara Islam? Berapa banyakkah
negara yang 40 peratus penduduknya menganuti pelbagai
agama lain, tetapi Islam dapat dijadikan agama rasmi?
Apakah ukuran yang dikehendaki sebelum negara ini boleh
diakui sebagai negara Islam? Sila sebut dengan jelas dan
terang. Apakah hanya setelah hukum hudud dilaksanakan
baru pihak ini akan menerima Kerajaan ini bukan Kerajaan
kafir, bukan sekular. Jika PAS berhasrat mengadakan
Kerajaan Islam, apakah PAS mahu menolak parti-parti DAP
dan Keadilan yang bukan Melayu dan bukan Islam yang
sekarang menjadi rakan politik PAS?


PAS SANGGUP TIPU

129. PAS tidak mahu tipu orang Cina, kata pemimpin PAS.
Tetapi PAS sanggup tipu orang Melayu dengan mendakwa masuk
PAS masuk Islam, undi PAS masuk syurga, sembahyang imam
UMNO tidak sah, sembelihan orang UMNO haram dan bermacam
lagi. Sekarang beritahu apakah jenis Kerajaan yang tidak
mengikut sistem Kerajaan UMNO yang dikatakan kafir yang
hendak didirikan oleh PAS. Apakah Kerajaan itu demokratik
jika segala-galanya mesti dirujuk kepada Dewan Ulama yang
tidak dipilih oleh rakyat. Apakah PAS bercadang untuk
melaksanakan hukum hudud ke atas orang bukan Islam?
Apakah PAS akan menghapuskan Mahkamah Sivil dan hanya
mengadakan Mahkamah Syariah sahaja untuk semua jenayah,
termasuk kes liwat dan rogol? PAS harus terangkan secara
jelas dan terperinci jenis Kerajaan yang dianggap oleh PAS
tidak kafir dan tidak sekular yang PAS ingin jadikan
sistem pemerintahan negara kita Malaysia. PAS sekarang
pandai tulis sepanduk dalam bahasa Cina. Oleh itu,
sediakanlah perlembagaan negara yang dirancang oleh PAS
dalam bahasa Cina, jika PAS tidak berhajat menipu orang
Cina seperti PAS menipu orang Melayu. Beritahu secara
bertulis jenis Kerajaan yang akan didirikan oleh PAS
kepada sahabat karib PAS dalam DAP dan Suqui.

130. PAS sudah janji ladang babi bagi orang Cina di
Terengganu dan tanah simpanan Melayu di Kelantan untuk
sekolah Cina. Sila beri maklumat berkenaan dengan dua
janji ini. Kenapakah sementara orang Melayu dari negeri
lain tidak boleh memiliki tanah di Kelantan, manakala
orang Cina hendak diberi milik tanah?


SEBAGAI NEGARA ISLAM MALAYSIA DIIKTIRAF

131. Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam dan
banyaklah kerajaan negara Islam lain yang menganggap
Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik untuk
mereka. Negara Islam dan institusi Islam memberi pelbagai
anugerah kepada Malaysia kerana kagum dengan kemajuannya
dan kemajuan agama Islam di Malaysia. Lebih seratus
negara Islam dan bukan Islam menghantar penuntut mereka ke
Universiti Islam Malaysia. Tetapi di Malaysia ada orang
Islam yang mendakwa Malaysia bukan negara Islam dan
pemerintahannya pemerintahan kafir dan sekular.

132. Kita ingin tentukan yang mana satu dari negara-negara
yang dunia akui adalah negara Islam yang PAS terima
sebagai Islam. Jika pelaksanaan hukum hudud menjadi
kriteria untuk PAS akui sebagai negara Islam sila
tunjukkan negara mana yang melaksanakan hukum hudud di
zaman ini. Setakat yang kita dapat sahkan tidak ada satu
pun negara yang menguatkuasakan hukum hudud, iaitu
daripada cara pembicaraan sehingga ke pelaksanaan hukuman.
Ini bukan bermakna mereka menolak hukum agama tetapi
kerana masyarakat sekarang berbeza dengan masyarakat Islam
di zaman Nabi. Tidak ada yang bebas daripada dosa besar
yang sanggup memberi keterangan sebagai saksi. Namun
jenayah tetap berlaku dan penghakiman terpaksa dibuat.
Apakah ini bertentangan dengan agama Islam? Sila
jelaskan.


KEJAYAAN KITA DIAKUI

133. Kita sudah merdeka 43 tahun dan dunia akui kejayaan
dan kemajuan kita. Pendapatan per kapita meningkat
daripada 300 Dolar Amerika setahun sebelum merdeka kepada
4000 Dolar Amerika setahun sekarang. Seluruh negara,
bukan sahaja bandar, mempunyai bekalan elektrik dan air,
mempunyai masjid, klinik, hospital dan sekolah, jalan
raya, lebuh raya, jalan kampung bertar. Bukan sahaja
semua rakyat mendapat upah bekerja tetapi dua juta orang
asing menumpang peluang pekerjaan di negara ini. Tidak
ada kekurangan makanan atau pakaian. Yang termiskin pun
diberi rumah yang selesa.

134. Perhitungkan nikmat yang banyak yang kita terima di
negara yang bertuah ini. Dan fikirkan bagaimana semua ini
diadakan. Ia tidak datang bergolek, tidak datang
melayang. Ia diusahakan oleh Kerajaan. Kerajaan pilihan
rakyat, Kerajaan yang diterajui oleh UMNO, yang tetap
memelihara dan melindungi hak orang Melayu di samping
mengambilkira hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Kita
tidak rampas hak orang kaya untuk diberi kepada rakyat
yang miskin. Kita besarkan kek ekonomi negara dan
daripada yang besar ini kita agihkan secara saksama kepada
semua kaum.

135. Hanya yang kita tidak senang hati ialah pencapaian
orang Melayu sendiri. Mereka terlalu leka, terlalu yakin
akan ada pihak yang akan menyelamat mereka, akan menolong
mereka. Ramai daripada mereka yakin Kerajaan mana pun
akan melayan semua kehendak mereka. Mereka yakin kuasa
politik mereka akan kekal dan menentukan mereka terus
berkuasa selama-lamanya.


MELAYU BOLEH

136. Justeru itu, apa perlunya mereka berusaha, mereka
rajin dan kuat bekerja, mereka menguasai segala ilmu dan
kecekapan supaya mereka tidak lagi perlu bergantung kepada
kuota, kepada bantuan, kepada pilih kasih, kepada hak
istimewa orang Melayu. Bodohlah jika kita boleh dapat
dengan mudah, dengan percuma tetapi kita pilih untuk
bersusah payah membuat sendiri, membeli dengan duit
sendiri.

137. Kita tidak pun perlu berterima kasih kepada orang
yang menolong kita, yang memberi sesuatu kepada kita,
kerana apa yang kita dapat memang pun kita punya. Kita
sebenarnya berhak menggigit tangan yang memberi kerana ada
tok guru kita yang telah mengajar kita supaya jangan
berterima kasih.

138. Orang Melayu bukan bodoh, bukan tidak cerdik, tidak
cerdas otak. Mereka adalah sama dengan bangsa-bangsa
lain. Apa bangsa lain boleh buat, orang Melayu boleh
buat. Tetapi kalau kita tidak sanggup buat maka mustahil
hasilnya akan menjelma dengan sendirinya.

139. Kita perlu berusaha, kita perlu rajin dan kuat
bekerja, kuat menuntut ilmu dan segala kecekapan, kuat
berpegang kepada nilai-nilai yang mulia, menolak segala
kemungkaran dan mengamal yang makruf dan lain-lain yang
boleh meningkatkan prestasi kita. Kita boleh. Orang
Melayu boleh. Allah mengurniakan kepada kita apa yang
dikurniakan kepada orang lain, kepada bangsa-bangsa yang
maju di dunia. Allah S.W.T. telah tentukan apabila
manusia membuat sesuatu berulang kali ia tetap menjadi
cekap, menjadi pandai. Lebih daripada itu entah
bagaimana, zuriat kita mewarisi kepandaian dan kecekapan
itu. Jika bangsa Melayu sanggup bertekun, rajin dan tidak
mudah bosan dengan mempelajari dan membuat sesuatu, insya-
Allah mereka akan menguasai apa yang dituntut akhirnya,
untuk dunia dan untuk akhirat juga.


UBAH SIKAP UNTUK SELAMAT

140. Tetapi permulaan mestilah dibuat. Permulaannya
bermula dengan mengikis kepercayaan bahawa kita tetap akan
selamat kerana Kerajaan mana pun akan menolong kita. Cuba
fikir akan kemungkinan kita tidak akan dilindungi dan kita
perlu berdikari, berdiri atas kaki sendiri. Orang yang
selalu terlentang di atas tikar tidak mungkin berdiri
kerana kakinya lemah dan kepalanya pening. Jika kita
ingin berdikari, berdirilah atas kaki sendiri, jangan
bergantung kepada orang lain, jangan meminta-minta.
Seboleh-bolehnya jangan terima bantuan. Jika terima
bayarlah harganya atau balas balik. Ini lebih mulia
daripada selalu meminta-minta. Sudah tentu ini lebih
mulia daripada sikap tidak bersyukur dengan pertolongan.

141. Orang Melayu yang tidak bergantung kepada hak
istimewa mereka, yang tekun berusaha, yang sabar, dan
tidak ingin cepat kaya melainkan dengan usaha sendiri,
dengan cara yang halal, akan menjadi orang Melayu yang
mampu bertahan dan berjaya. Masyarakat Melayu yang
dipenuhi dengan Melayu seperti ini akan lebih selamat dan
dapat bersaing dengan jayanya dengan sesiapa dalam apa
juga keadaan.

142. Tak lama lagi, apabila globalisasi menjadi kenyataan
orang Melayu tidak lagi dapat bersembunyi di belakang hak
istimewa mereka, di belakang DEB, di belakang sempadan
negara mereka. Apabila benteng negara kita dirobohkan
oleh bangsa asing dengan globalisasi mereka, segala dasar
mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai
anak bumi Malaysia, akan dicabar. Demokrasi, hak sama
rata, meritokrasi, hak asasi manusia; semua ini akan
diguna untuk membelasah hak istimewa orang Melayu. Akan
ada orang Melayu sendiri yang akan menjadi pengkhianat dan
menyokong serangan orang asing ke atas orang Melayu.
Mungkin orang ini berasa malu tetapi lebih mungkin mereka
hendak bermuka-muka untuk dipuji oleh Tuan mereka. Ramai
orang Melayu yang akan jadi kaki bodek orang asing, yang
ingin dipuji kerana mereka kononnya begitu progresif dan
`worldly'. Mereka lebih teruk daripada orang asing ini.
Hari ini pun kita boleh kesan haprak ini.

143. Kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, kita
dapat kekalkan hak kita jika kita tidak mempunyai kekuatan
berdikari, tidak dapat hidup melainkan disuap oleh orang
lain. Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam
sejarah sahaja. Tak akan Melayu hilang di dunia.
Demikian kata Hang Tuah. Kata-kata keramat ini boleh kita
ulangi, boleh kita bincang, boleh kita jadikan tajuk
seminar. Tetapi jika orang Melayu masih tidak sanggup
bekerja kuat, tidak sanggup mengejar ilmu dan kecekapan
sezaman, kita masih boleh hilang atau kembali menjadi
hamba orang seperti di zaman penjajah. Dan kemungkinan
ini, menjadi lebih jelas dan nyata kerana orang Melayu
sudah berpecah, sudah menolak perpaduan kerana ramai sudah
menjadi terlalu tamak sehingga bangsa dan agama juga tidak
lagi penting seperti perebutan kuasa oleh parti dan oleh
orang tertentu.

144. Wahai bangsa Melayu, sudah lupakah kamu?

Sumber : Pejabat Perdana Menteri

No comments: