Sunday, December 14, 2008

Datuk Md Sirat Abu jawab soalan "cepu mas" pasal Datuk Seri Mohd Ali Rustam


Md Sirat jawab soalan 'cepu mas' pasal Ali Rustam

Oleh: ROSLAN BIAN (AgendaDaily)


Antara orang paling rapat dengan Ketua Menteri Melaka, tidak hairanlah Datuk Md Sirat Abu sering jadi rujukan pihak tertentu yang ingin dapat ‘back ground’ awal jika mereka ada urusan dengan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Keakraban beliau dengan Mohd Ali sehingga ada kawan-kawan sering mengusiknya, “Kalau bercakap dengan Md Sirat sama macam bercakap dengan Ali Rustam,”.

Malah beliau sendiri mengakui hubungannya dengan Naib Presiden UMNO itu ibarat ‘abang dan adik’.

Makanya bila Ketua Menteri itu menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir Mac depan, Md Sirat semakin penting kepada Mohd Ali.

Antara peranan beliau kini adalah membantu bosnya itu memberi jawapan kepada sebilangan perwakilan yang ingin tahu beberapa perkara yang dikaitkan dengan Mohd Ali termasuk cakap-cakap kononnya Ketua Menteri itu tidak pandai berbahasa Inggeris.

Persoalan lain, bagaimana Mohd Ali yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hendak jadi timbalan presiden UMNO ataupun timbalan perdana menteri yang lazimnya dipilih dari kalangan ahli parlimen.

Soalan-soalan ‘cepu mas’ ini diakui ahli parlimen Bukit Katil Melaka itu memang ditanya oleh perwakilan yang akan memilih timbalan presiden dan pemimpin lain pada Mac nanti.

Bagi Md Sirat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Katil, soalan-soalan begitu mudah dijawabnya kerana hubungan peribadinya dengan Mohd Ali lebih 30 tahun menyebabkan beliau ‘cukup masak’ dengan kewibawaan Ketua Bahagiannya itu.

Menangkis tohmahan tidak tahu berbahasa Inggeris, Md Sirat berkata, Mohd Ali adalah pemimpin belia peringkat antarabangsa dan jika tidak tahu berbahasa Inggeris, mustahil beliau dilantik Presiden World Youth Foundatian (WYF) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY).

Katanya, sebagai Presiden WYF selama 12 tahun dan berurusan dengan setiausaha serta ahli jawatan kuasa mewakili pelbagai negara, mustahil Mohd Ali tidak boleh bercakap Inggeris.

“Perkara itupun bukan pelik sangat. Ada pemimpin negara yang jadi pemimpin dunia bercakap bahasa ibunda mereka…tak semestinya berbahasa Inggeris,” ujar Md Sirat yang pernah menjadi Setiausaha Sulit Kanan dan Setiausaha Politik kepada Mohd Ali.

Malah ujar beliau, sejak mengenali dan bekerja disamping Mohd Ali, beliau dapati calon Timbalan Presiden UMNO itu mampu berbahasa Inggeris dengan baik.

Selain memimpin belia di peringkat antarabangsa, Mohd Ali juga adalah presiden Belia 4B Malaysia dan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Mengenai cakap-cakap Mohd Ali bukannya ahli parlimen yang biasanya dipilih Timbalan Presiden UMNO mahupun secara automatic Timbalan Perdana Menteri, Md Sirat menganggap itu bukan halangan atau perkara besar.

Katanya, jika perlu ramai pemimpin di Melaka sanggup memberi laluan bagi pilihan raya kecil membolehkan Mohd Ali dipilih sebagai ahli parlimen.

Malah, Md Sirat sendiri sanggup melepaskan kerusi parlimen Bukit Katil kepada Mohd Ali yang kini ADUN Bukit Baru bagi tujuan itu.

Bukanlah untuk ‘angkat bakul sendiri atau membodek boss’, beliau secara peribadi melihat Mohd Ali seorang pemimpin yang berfikiran ke depan.

Hubungan Ketua Menteri itu dengan banyak pihak tidak pernah putus walaupun sebelum ini Mohd Ali pernah berpindah ke Pusat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Kesihatan.

Md Sirat melihat Mohd Ali bukan pemimpin yang berkawan ketika musim pemilihan sahaja atau ketika hendak bertanding baru cari sokongan.

“Diapun bukan dari keluarga senang. Ketika jadi kerani TNB, wang gaji setiap bulan digunakan untuk beli kayu buat rumah..bila hari cuti beliau bertukang sendiri siapkan rumah,” ujar Md Sirat yang mula mengenali Mohd Ali sejak di tingkatan tiga.

Ketika ditanya, bagaimana beliau melayan sikap Mohd Ali yang dianggap sesetengah pihak ‘suka lepas cakap dan cepat melenting’, Md Sirat berkata, sesiapa sahaja ada sifat itu terutama jika pegawai tidak melaksanakan tugas dengan betul.

“Kalau kita buat betul apa yang dia suruh, tak ada masalah. Tak ada sebab beliau nak marah. Senang saja dengan dia, kalau kita silap, mengaku dan beritahu akan betulkan,” katanya.

Lagipun, Mohd Ali yang beliau kenal bukan seorang pendendam malah hanya ‘berleter’ sekejap sahaja jika ada perkara tidak betul tetapi esoknya, beliau baik semula.

Walaupun rapat, itu bukan jaminan Md Sirat terlepas daripada sasaran leteran dan tempat Mohd Ali lepas tension.

“Saya ada pengalaman dipanggil ke rumahnya jam 11 malam. Saya dah tahu. Saya diam saja bila dia bercakap dan selepas habis dia bercakap, saya minta diri,” katanya.

Ditanya mengenai sikap sesetengah pemimpin yang suka berjanji tapi sukar menunaikannya, Md Sirat menjelaskan bahawa Mohd Ali akan berterus terang jika ada perkara yang tidak boleh dibantu dan akan menolong andainya perkara itu memang boleh ditolong.

Satu yang pasti pasal Mohd Ali katanya, sikap selamba beliau dengan rakyat terutama di Melaka.

Maka jangan pelik, kalau ada emak dan bapa pengantin terperanjat tiba-tiba Ketua Menteri muncul ucap tahniah.

“Kalau dapat tahu memang dia pergi. Ada masanya sampai ke dapur dia berjumpa orang ramai,” kata Md Sirat.

Sebab itu, kalau perwakilan hendak cakap bukan-bukan pasal Moh Ali, eloklah jumpa Md Sirat dulu kerana beliau sudah jadi macam ‘campaign manager’ kepada Mohd Ali.
- 11/12/2008

No comments: