Tuesday, December 16, 2008

Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Utamakan sikap setia


Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Ketua Penerangan UMNO;Utamakan sikap setia

(Petikan dari Mingguan Malaysia 12102008)

Apabila menyebut nama Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, ramai pemimpin dan ahli UMNO mengaitkan beliau dengan kesetiaan. Ini kerana dalam apa keadaan sekalipun sama ada berada dalam kerajaan atau tidak mempunyai jawatan dalam parti, bekas Menteri Besar Selangor sentiasa setia berbakti.

Pelantikan beliau sebagai Senator dan kemudian dilantik menteri dianggap balasan terhadap kesetiaan yang ditunjukkan, apatah lagi Muhammad merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan Selangor negeri termaju di Malaysia.

Kini Muhammad berusaha melangkah setapak lagi dalam karier politik apabila menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Walaupun berhadapan dengan pandangan sinis bahawa era beliau sudah berlalu namun Muhammad menganggap usia bukanlah penghalang bagi terus menabur bakti kepada parti dan kerajaan.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan ROZILAN SALLEH, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO menanam tekad untuk menjadi orang nombor dua yang terbaik jika terpilih.

‘‘Saya mahu mengetengahkan nilai kesetiaan ini kerana ia menjadi satu punca di dalam parti sekarang di semua peringkat menghadapi masalah berikutan nilai kesetiaan itu sudah kurang,’’ katanya.

Bagi Muhammad, apa pun perancangan yang hendak dilakukan jika hubungan antara pemimpin nombor satu dan nombor dua tidak mantap ia akan mewujudkan pelbagai masalah termasuklah mengugat kestabilan politik. Oleh itu kata beliau hubungan antara Presiden dan Timbalan Presiden bukan sahaja perlu kukuh tetapi juga rapat. Ia hanya boleh dilakukan jika seseorang Timbalan Presiden tersebut mempunyai semangat kesetiaan yang tinggi.

MINGGUAN: Keputusan Tan Sri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dikatakan mengejutkan banyak pihak, apa yang mendorong Tan Sri untuk menawarkan diri?

MUHAMMAD: Saya lihat UMNO perlu ditingkatkan dari segi elemen-elemen kekeluargaan dan kesetiaan serta elemen yang yang suatu ketika dahulu mengukuhkan parti. Saya ini jenis setia kepada pemimpin dan parti sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad hinggalah di zaman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kita lihat sebelum ini apabila Presiden dan Timbalan Presiden menunjukkan kekuatan yang lebih kurang sama ia akhirnya akan mewujudkan pertelagahan dalam parti. Ada masanya apabila Presiden dan Timbalan Presiden rapat dan kuat kelebihan ini digunakan untuk menstabilkan politik parti. Apabila parti politik stabil maka komponen Barisan Nasional (BN) pun terasa aura kekuatan tersebut dan ia digunakan untuk meningkatkan kemajuan bangsa dan membangunkan rakyat dalam bidang infrastruktur, ertinya kita dapat memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara serta memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

Saya mempunyai pengalaman selama 11 tahun menjadi Menteri Besar Selangor. Apabila politik benar-benar stabil ia menggembirakan semua lapisan masyarakat. Kita boleh pergi ke luar negara untuk menggalakkan pelaburan dan menumpukan kepada perkembangan ekonomi, pelajaran dan infrastruktur. Tetapi kalau hubungan antara pemimpin nombor satu dan nombor dua dalam parti tidak mantap, maka ia akan berpanjangan dan mengusut keadaan. Ini adalah fundamental. Kalau pemimpin nombor satu tidak percaya kepada timbalannya sudah pastilah beliau tidak boleh menumpukan perhatian kepada tugasnya.

Ini kerana separuh masanya akan ditumpukan kepada soal sama ada timbalannya akan menikamnya dari belakang atau tidak. Oleh itu saya ingin menjadi pemimpin nombor dua yang baik. Sebab itu sama ada saya berada di luar atau dalam kerajaan, kesetiaan saya kepada parti adalah nombor satu.

Apa juga tugas yang diberikan saya akan laksanakan termasuklah juga diberi tanggungjawab untuk mengepalai jentera pilihan raya kecil di mana-mana juga, walhal sebelum itu saya seronok menjadi Menteri Besar membawa masuk pelaburan sehingga berjaya meletakkan Selangor mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara.

Di bawah kepimpinan saya juga, Selangor berjaya mencapai negeri maju iaitu 15 tahun lebih awal daripada negara. Kita berupaya melakukan semua itu kerana kita mempunyai kemampuan dan kestabilan politik. Jadi ini penting dalam menyuburkan kekuatan parti. Usaha menyuburkan parti adalah satu kandungan untuk mewujudkan kestabilan dan kestabilan. Inilah yang akan menjadi senjata bagi membolehkan kita menumpukan perhatian dalam bidang ekonomi dan memperkasa bangsa.

Melalui cara itu juga sudah pasti kita akan memperolehi sokongan daripada semua kaum. Tetapi kalau berlaku sebaliknya konsentrasi ini tidak akan ada dan tidak akan berlaku kegiatan-kegiatan lain kerana kita hanya tumpu soal pertelagahan. Kalau ia berlaku di peringkat negeri, negara, bahagian dan cawangan maka inilah yang menyebabkan apabila kita bertanding dalam pilihan raya kita akan kalah. Oleh itu menstabilkan politik ini menjadi kunci kepada kedamaian dan pembangunan negara. Ini mesti datang daripada kunci tersebut dan saya ingin menyumbang kepada kewujudan kunci ini.

Walaupun sebelum ini saya sudah mengumumkan bertanding Naib Presiden tetapi saya berubah fikiran apabila mendapati ada kekosongan di peringkat Timbalan Presiden. Bagi saya apa pun keputusannya terserah kepada akar umbi untuk menentukan siapakah yang mereka mahu. Saya sudah berada di peringkat kepimpinan UMNO sejak tahun 1993, saya bukannya orang baru. Saya tahu apa hasrat parti.

MINGGUAN; Apa yang tersirat di sebalik Tan Sri bercakap soal hubungan antara Presiden dan Timbalan Presiden ini?

MUHAMMAD: Sebab saya hendak memberitahu bahawa saya ingin menjadi orang nombor dua yang baik kepada Presiden saya. Inilah perangai saya sejak tahun 1980. Walaupun berada di luar parti selama 11 tahun saya setia, saya tidak ada kerenah. Saya tidak bertanding pada tahun 2004, saya tidak meragam. Pada tahun 2008, saya dikatakan akan bertanding dalam pilihan raya umum tetapi akhirnya nama saya tidak disenaraikan, tidak mengapa. Saya mahu mengetengahkan soal setia ini kerana ia menjadi satu punca di dalam parti sekarang di semua peringkat menghadapi masalah berikutan nilai kesetiaan itu sudah kurang.

MINGGUAN; Adakah pandangan Tan Sri ini berasaskan kepada tanggapan bahawa ada di kalangan calon yang menawarkan diri ini boleh menjadi timbalan yang tidak setia?

MUHAMMAD: Saya tidak berkata begitu kerana apa yang saya ingin lakukan ialah memupuk nilai setia di dalam perjuangan saya. Ini pegangan saya. Kalau UMNO berkehendak karakter timbalan kepada Presiden, saya berada dalam karakter itu bagi membawa nilai kesetiaan supaya Presiden boleh menumpukan perhatian kepada tugasnya. Saya tidak mahu menamakan siapa yang terlibat di masa lalu tetapi kita sudah nampak apabila ‘dua singa besar berada di gunung yang sama’ ia boleh membawa bencana. Saya akan bawa karakter mengukuhkan parti.

MINGGUAN; Tidakkah Tan Sri merasakan era Tan Sri untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam politik sudah berlalu?

MUHAMMAD: Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih kurang umur saya. John Mccain berusia 72 tahun tetapi rakyat Amerika Syarikat (AS) menerimanya sebagai calon Presiden. Barack Obama berusia 47 tahun tetapi calon Naib Presidennya, Joseph Biden berusia lebih 60 tahun. Jadi kita mengikut AS, saya adalah Biden of Malaysia. Justeru faktor umur ini yang dikatakan sesuai atau tidak adalah pandangan pihak tertentu tetapi saya telah membuat kerja.

Dulu saya diberi tanggungjawab menjaga negeri, saya melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin. Berbanding negeri-negeri lain, Selangor ketika itu adalah antara yang terbaik. Saya tidak tahu sama ada anda ingat atau tidak atau anda terlalu muda untuk mengingatinya. Tetapi saya cukup muda untuk mengingati semua itu.

Selepas itu saya berehat dan saya berada di luar tetapi menjalankan kerja untuk parti. Sudah berbelas-belas pilihan raya kecil saya terlibat. Antara pilihan raya kecil tersebut ialah Batu Talam, Kuala Berang, Indera Kayangan, Pendang, Kuala Kedah, Gaya dan baru-baru ini di Permatang Pauh. Semuanya kita mencapai kejayaan cemerlang kecuali di Permatang Pauh.

Saya adalah seorang yang bertanggungjawab menyelia jentera parti. Ertinya, saya cukup muda untuk melakukan itu semua. Akhirnya apabila Abdullah melihat saya boleh membuat kerja, beliau meletakkan saya sebagai Pengerusi RISDA, melantik saya sebagai Senator dan Ketua Penerangan UMNO dan terkini sebagai menteri. Semua itu menggembirakan saya kerana pemimpin utama menganggap saya boleh membuat kerja.

Malah ketika menjalankan tugas sebagai menteri sekarang, saya tidur di kawasan Orang Asli dan meredah di hutan belantara di Sabah dan tidur di sana. Jadi sebagai Menteri Luar Bandar dan Wilayah saya harus ke kampung-kampung untuk meninjau kehidupan rakyat dan infrastruktur di kawasan-kawasan berkenaan. Saya seronok. Umur adalah angka ada yang berusia 30 tahun sudah kelihatan tua dan meninggal dunia.

MINGGUAN; Tan Sri berkata usia bukanlah penghalang bagi seseorang pemimpin tetapi faktanya di pilihan raya akan datang generasi muda akan menjadi faktor penentu oleh itu bagaimana Tan Sri melihat cara untuk menarik mereka kepada UMNO?

MUHAMMAD: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Nik Mat bukannya muda, begitu juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mereka lebih tua daripada saya, begitu juga Lim Kit Siang. Jadi kenapakah perlu orang mempersoalkan mengenai usia. Apa yang penting bukannya usia tetapi bagaimana kita mendampingi mereka dengan menyediakan langkah-langkah yang boleh menggembirakan generasi muda.

Tetapi apa pun kita hendak lakukan parti mesti mantap dahulu. Ibarat sebuah kereta, kalau tayarnya sudah berjalan tidak sama macam mana hendak bergerak. Atas sebab itu saya tekankan bahawa politik mesti mantap barulah kita boleh mengetengahkan isu-isu lain. Isu berkaitan dengan belia kita ketengahkan, kita cari pakar-pakar yang pandai mengenai belia.

Kita juga boleh panggil pakar-pakar motivasi bagi golongan ini dalam soal pengurusan. Begitu juga dalam soal memimpin mereka. Itu semua saya ada pengalaman ketika menjadi Menteri Besar Selangor dahulu, saya sudah lakukannya sebelum ini. Apa yang penting kepimpinan parti kita boleh mengetemukan antara pemikir, pengendali dan pelaksana.

MINGGUAN; Bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden yang sudah tentu bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri, selain faktor kesetiaan diambil kira, orang juga akan melihat kepada track record perkhidmatan.

MUHAMMAD: Soal kesetiaan ini bukan sekadar diambil kira, ia adalah faktor kritikal nombor satu. Ini kerana kalau kita melihat sejarah masa lalu itulah yang menjadi puncanya parti berpecah. Ia bukan satu faktor yang kecil. Kita kalah kerana kadang-kadang ketua bahagian tidak dipilih bertanding dalam pilihan raya sedangkan timbalan bertanding, ketua bahagian melakukan sabotaj. Ini semua terjadi kerana tidak ada kesetiaan.

Dalam parti kesetiaan ini sudah menjadi satu perkara yang orang selalu ambil kesempatan. Dulu macam manapun seseorang pemimpin itu bertengkar bila pilihan raya dia setia menyokong parti tetapi hari ini dia boleh sabotaj parti.

Oleh itu elemen kesetiaan ini sudah sampai ke tahap yang ke bawah yang boleh membahayakan parti. Jadi saya ingin membawa satu pendekatan yang kita remehkan tetapi sebenarnya penting.

MINGGUAN; Adakah dari segi perkhidmatan dalam kerajaan, kedudukan Tan Sri yang dilantik ke dalam Senator sebelum dibawa masuk ke Kabinet akan menjejaskan peluang Tan Sri?

MUHAMMAD: Walaupun saya Senator tetapi saya Ahli Parlimen. Istilah Ahli Parlimen ialah terdiri daripada mereka yang menjadi Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Seorang menteri boleh daripada Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Saya sudah bertanding empat kali dalam pilihan raya, saya mempunyai pengalaman yang luas dan saya pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan ketika zaman kepimpinan Dr. Mahathir.

Saya juga pernah menjadi Ketua Bahagian di Hulu Selangor dan juga dilantik oleh Majlis Tertinggi sebagai Ketua UMNO bahagian Hulu Langat. Saya juga jadi Ketua UMNO Bahagian Batu ketika zaman Allahyarham Azman Attar. Ertinya dalam masa yang sama saya menjadi tiga ketua bahagian dan dua pengerusi perhubungan yang jarang berlaku kepada orang lain. Jadi saya banyak pengalaman. Bukanlah bermakna apabila saya dilantik sebagai Senator kemampuan saya dipersoalkan. Apa salahnya menjadi Senator?

MINGGUAN; Bagaimana Tan Sri melihat cabaran yang menanti seorang Timbalan Presiden, apakah Tan Sri mampu mengendalikannya kalau dipilih?

MUHAMMAD: Saya sanggup memikul segala tanggungjawab yang diberikan. Saya mahu memiliki satu pasukan yang baik. Saya sanggup menjadi orang nombor dua yang mantap dengan orang nombor satu. Saya fikir ini kunci. Kalau nombor satu dan nombor dua mempunyai hubungan yang renggang macam mana kita hendak memantapkan parti. Saya bersedia menjadi orang nombor dua yang memantapkan parti dan Presiden. Siapa juga yang menjadi Presiden akan selesa dengan saya. Sebab track record yang lalu menunjukkan saya seorang yang setia.

MINGGUAN; Salah satu cabaran yang menanti ialah menarik semula sokongan bukan Melayu kepada BN, apa pandangan Tan Sri?

MUHAMMAD: Apa pun bagi saya yang penting ialah parti kena mantap. Apabila parti mantap dan nilai-nilai murni untuk memantapkan parti menjadi amalan di peringkat Majlis Tertinggi dan semua peringkat, kemudian barulah kita boleh menumpukan perhatian kepada hala tuju dan menggerakkan ekonomi.

Ini sudah saya lakukan di zaman lalu dengan berjumpa dengan dewan-dewan perniagaan Melayu, Cina dan India. Kita menjalinkan hubungan perniagaan dengan mereka dan menyediakan apa yang mereka mahu. Melalui cara itu mereka seronok kerana didekati dan tidak dipinggirkan atau dianiaya.

Apabila kita sudah mantapkan parti dan menggerakkan ekonomi maka seluruh ekonomi akan menjadi mantap dan ini akan mendorong golongan pedagang sama ada Cina atau India menyokong kita. Saya sudah buktikan perkara ini.

Apabila kaum-kaum berkenaan gembira ia membolehkan kita mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya dengan majoriti besar. Sebenarnya apa yang mereka mahu ialah senang mencari makan termasuklah anak-anak mereka mendapat peluang pekerjaan.

Selepas itu kita wujudkan agenda-agenda untuk membantu kaum-kaum yang ketinggalan sama ada Melayu, Cina atau India. Sebenarnya apa yang berlaku dalam UMNO sekarang turut tidak disenangi oleh kaum-kaum lain, mereka sebenarnya mahu melihat UMNO aman dan tidak bergolak. Justeru UMNO harus menunjukkan bahawa ia mampu menjadi aman, saya mahu menyumbang untuk mengamankan parti.

MINGGUAN; Pemilihan kali ini dianggap cukup penting kepada UMNO, apa pesanan Tan Sri bagi memastikan ahli-ahli UMNO membuat keputusan yang betul dalam memilih barisan kepimpinan?

MUHAMMAD: Ada empat perkara iaitu pertama, saya setia kepada parti dan pemimpin,

kedua dengan kesetiaan ini ia bertujuan mewujudkan kestabilan politik bagi mencapai

perkara ketiga itu menggerakkan semula ekonomi.

Perkara keempat ialah bangsa Melayu hendaklah diperkasakan.

Inilah empat perkara, kesetiaan kepada parti dan pemimpin, menstabilkan politik, menggerakkan ekonomi dan memperkasakan bangsa. Keempat-empat perkara itu saya fikir patut dilakukan oleh UMNO untuk masa depan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

No comments: