Monday, December 1, 2008

Pemimpin MCA Pertikai konsep "Ketuanan Melayu"


ARKIB : 29/11/2008
Ketuanan Melayu tidak lagi relevan - Mei Fun

(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm)

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun turut menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan hari ini atas alasan semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara.

Sambil menyokong kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai perkara itu semalam, beliau berkata, di tanah air ini semua rakyat adalah tuan tanah Malaysia.

''Oleh itu kita sama-sama bangunkan negara,'' katanya selepas mempengerusikan dialog antara Exco Wanita MCA dengan 19 ahli bahagian Wanita, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Miri di sini hari ini.

Ditanya apakah pandangan Soi Lek itu selari dengan semangat UMNO yang menjadi ahli komponen dalam Barisan Nasional (BN), Mei Fun berkata:

''Kita tidak dapat memberi arahan supaya semua orang bersetuju dengan pandangan mereka.

''Biar mereka mempunyai pandangan yang tidak sama tetapi apa yang penting ada semangat kerjasama antara satu sama lain.

''Apa yang disuarakan oleh Soi Lek itu selaras dengan konsep kongsi kuasa dalam BN,'' katanya.

Mei Fun berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Soi Lek yang berpendapat konsep ketuanan Melayu tidak relevan hari ini dan telah ditolak rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Soi Lek berkata, konsep itu mungkin sesuai apabila ia dirangka sebelum kemerdekaan negara tetapi tidak lagi hari ini berikutan rakyat memberi isyarat jelas menerusi pilihan raya umum lalu.

Soi Lek memberitahu demikian ketika menyampaikan syarahan di Subang Jaya, kelmarin.

ARKIB : 29/11/2008
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Selepas pilihan raya umum lalu, makin ramai pemimpin bukan Melayu bersuara mempersoalkan konsep ketuanan Melayu.

Terbaru, Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek mendakwa konsep tersebut tidak lagi relevan dan ditolak semua kaum.

Setahu Awang, majoriti orang Melayu (kecuali golongan liberal dan yang mempunyai muslihat politik seperti PKR), masih berpegang kepada konsep tersebut.

Ketuanan atau kedaulatan Melayu sebenarnya lebih bersifat gagasan bagi menggerakkan pencapaian orang Melayu sebagai kaum teras.

Ia bukan bermaksud tuan dan hamba seperti yang dinyatakan Soi Lek. Kalau Melayu tuan, keadaannya mungkin sama dengan pendekatan Zimbabwe yang merampas harta kaum minoriti.

Maka tiada sebab untuk bukan Melayu bimbang. Sejarah membuktikan Melayu amat bertolak ansur sehingga sanggup berkongsi kerakyatan dan menjadi pelindung kepada kaum lain sejak dahulu lagi.

Jika konsep tersebut mahu dicabar, banyak perkara juga boleh dipersoalkan. Apakah relevannya negara mempunyai aliran pendidikan berbeza berdasarkan kaum?

Hari ini juga, realitinya, kaum Cina menguasai kekayaan dan ramai orang Melayu masih miskin. Siapa lebih tuan, jadi mengapa perlu bimbang?

Awang – Sedih Melayu dikhianati.

No comments: