Saturday, November 3, 2012

Jangan tertipu ejen hartanah haram - MIEA


i

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Kewujudan ejen hartanah haram yang diibaratkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ dibimbangi lebih mendedahkan orang ramai kepada aktiviti penipuan pembelian rumah yang menyebabkan mangsa akan mengalami kerugian besar.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Nixon Paul berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna berhubung perkara itu sepanjang dua tahun kebelakangan ini.
Beliau menasihati pembeli supaya menyiasat terlebih dahulu ejen dan syarikat ejen hartanah sebelum menggunakan khidmat mereka.

“Ejen hartanah yang sah mesti mendaftarkan syarikat mereka dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah dan sekiranya gagal berbuat demikian, mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30 Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah 1981.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, akhbar mendedahkan kegiatan lima ejen hartanah yang didakwa memperdaya 400 mangsa supaya membuat bayaran pendahuluan bagi unit rumah yang tidak wujud berharga antara RM150,000 dan RM280,000.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa kerajaan untuk segera menjalankan siasatan terhadap kes tersebut berikutan pembeli semakin takut untuk berurusan dengan ejen hartanah.
“Ejen-ejen hartanah yang berdaftar dan berkemahiran terasa tempias kes ini kerana ramai berasa was-was untuk berurusan dengan kami.

“Saya juga meminta para pembeli untuk menyiasat terlebih dahulu setiap ejen yang ditemui bagi mengelak sebarang risiko penipuan. Walaupun dijanjikan kadar bayaran yang lebih murah tetapi mengambil khidmat ejen tidak berdaftar adalah jalan tidak bijak," jelasnya.

Orang ramai yang ingin mengemukakan pertanyaan boleh menghubungi MIEA di talian 03-77277477 atau mengirim e-mel ke miea@po.jaring.my.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121102/dn_19/Jangan-tertipu-ejen-hartanah-haram----MIEA#ixzz2B798KWkv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: