Sunday, October 23, 2011

Berikan ikan aku makan sehari... oleh DATO' SALLEH MAJID


1.0 BELANJAWAN 2012 kali ini memberikan habuan kepada pelbagai golongan. Tiada siapa yang boleh merungut mengatakan mereka tertinggal dalam menerima habuan.

2.0 Daripada murid sekolah kepada pemandu teksi semuanya menerima bantuan dan habuan.

3.0 Pegawai kerajaan menerima bonus dan yang berpendapatan bawah RM3,000 seisi rumah dapat bayaran sekali gus RM500.

4.0 Persoalan yang banyak dibangkitkan oleh ahli ekonomi tempatan dan asing ialah apakah kita mampu mencapai sasaran pertumbuhan 5.5 - 6 peratus (%) dan mengurangkan defisit daripada 5.4% kepada 4.7%.

5.0 Pandangan mungkin berbeza antara satu sama lain. Secara amnya kita semua tahu yang ekonomi dunia tengah tenat.

6.0 Presiden Bank Dunia sendiri mengatakan kita telah menempuh zon berbahaya ekonomi dunia. Rakan dagangan kita negara Eropah dan Amerika Syarikat masih lagi bergelut dengan masalah ekonomi masing-masing, cahaya di hujung terowong belum nampak lagi.

7.0 Jadi bagi kita yang bergantung kepada eksport terpaksa menerima yang eksport kita akan berkurangan dan terpaksa bergantung kepada permintaan domestik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kita bertahan.

8.0 Walau bagaimana pun hutang isi rumah kita telah mencapai 74% dan hutang negara adalah 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

9.0 Pertumbuhan disebut-sebut oleh MIER ialah 4.7% dan RHB Research ramal sampai lebih rendah lagi iaitu 3.7%.

10.0 CIMB Investment juga meramalkan 3.8%, Maybank Investment 3.5-4% dan Bank of America Global Research setakat 4.2%.

Jadi siapa punya ramalan hendak kita gunakan?

11.0 Apa yang jelas ialah kita akan melalui suatu suasana yang tidak menentu yang walaupun kita berharap kepada sektor swasta untuk menyumbang ke arah program transformasi ekonomi, komitmen sektor swasta mungkin berkurangan kerana tidak berani meminjam berlebihan.

12.0 Ada juga pihak yang mengatakan belanjawan ini adalah belanjawan sebelum pilihan raya. Rasanya kalau Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada tahun ini, ia boleh mendatangkan mudarat, memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

12.0 Kalau harga minyak tidak menentu pendapatan Petronas akan terjejas dan sumbangan kepada kerajaan akan terjejas juga.

13.0 Berita baik yang menggembirakan tentulah peneroka Felda yang bakal mendapat durian runtuh selepas Felda Global Ventures dan Holdings disenaraikan di Bursa Malaysia pertengahan tahun hadapan.

Kita berharap pihak lain akan menerima layanan peluang sama adil.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

(sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm)

No comments: