Tuesday, June 22, 2010

Perang lawan pembangkang. Mampukah UMNO?


Perang lawan pembangkang. Mampukah UMNO?
Share
Today 22.06.2010 at 1:43pm

1.0 Saya sebenarnya amat teruja apabila mendengar Naib Presiden UMNO, DS Hishamuddin mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap pembangkang. Seharusnya ini yang patut dilakukan oleh UMNO bagi mengekalkan kekuatan parti tanpa memberi ruang kepada pihak pembangkang menyebarkan dakyah sempit mereka.

2.0 Pada zaman Tun Lah, pintu untuk pembangkang menghentam kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO dibuka seluas-luasnya di atas nama kebebasan bersuara. Hasilnya, Barisan Nasional tumbang 5 negeri pada PRU12.

3.0 Peralihan kepimpinan negara dan juga teraju parti kepada DS Najib juga masih terumbang ambing dek kerana terlalu tebal daki dan kotoran tinggalan zaman gelap Tun Lah yang terpaksa disental keluar. Begitu juga dengan saki baki anasir-anasir dedalu yang diangkat kedalam pimpinan parti pada masa itu yang masih belum dapat dihapuskan hingga kini.

4.0 UMNO kini terpaksa bergelut akibat salah percaturan politik kepimpinan sendiri dan inilah sebenarnya punca kepada semua permasalahan yang timbul berkaitan isu kelemahan UMNO. Selagi semua permasalahan ini tak diselesaikan, selagi itulah UMNO akan hilang "magik" yang pernah ada pada parti keramat ini sewaktu legasi Tun Mahathir dan juga pimpinan-pimpinan negarawan terdahulu.

5.0 Sebelum DS Hishamuddin mengisytiharkan perang, perlu diteliti dan diperhalusi dulu perang jenis apakah yang sedang wujud sekarang. Jangan membuta tuli masuk ke medan perang tanpa pengetahuan menyeluruh tentang situasi sebenar yang ada. Ini hanya akan menyebabkan kita tumbang sebelum sempat melawan.

6.0 Zaman ini adalah zaman teknologi. Jika 10 tahun dulu UMNO dan kerajaan Barisan Nasional boleh berbangga dengan penguasaan media cetak dan juga media elektronik yang ada, kini siapa boleh nafikan penguasaan pembangkang didalam medium siber?

7.0 Baru-baru ini DS Rais Yatim telah menyatakan bahawa terdapat 2 juta blogger dalam negara bagi membuktikan kerajaan mengamalkan kebebasan media. Tetapi harus diteliti juga, dari 2 juta bloggers yang ada, berapa banyakkah yang menggunakan medium blognya sebagai medan berpolitik? Tahukah DS Rais bahawa hampir 99.9% bloggers dari jumlah 2 juta tersebut hanya menghasilkan blog peribadi bertujuan suka-suka dan bukan untuk berpolitik?

8.0 Jangan terkejut jika saya menyatakan bahawa terdapat hanya 0.1% sahaja bloggers yang menghasilkan blog untuk berpolitik dan jumlah ini makin berkurangan jika hendak dikira mereka yang aktif dan juga meng"update blog setiap hari. Jika hendak dibuat perbandingan, bloggers politik pro pembangkang adalah melebihi bloggers pro kerajaan yang ada. Jumlah perbandingannya kini hampir mencecah tiga kali ganda.

9.0 Begitu juga dengan pejuang maya dalam forum-forum menyokong kerajaan. Sepatutnya UMNO dan kerajaan perlukan lebih ramai cybertroopers untuk berhujah di forum-forum dan juga memastikan penghasilan artikel-artikel berita yang up to date bagi menangani serta membenam dakyah pembangkang. Jumlah yang ada sekarang adalah amat jauh dari mencukupi.

10.0 Saya pernah menghadiri satu bengkel kerja yang menganalisis senario jentera kerajaan dan juga UMNO di dalam ruang maya. Apa yang saya dapat lihat, sejak dari tahun 1998 lagi UMNO sudah ketinggalan dari segi gerakan psikologi alam siber. Dari analisis yang dibuat, kini hanya terdapat lebih kurang 4 Portal maya dan berita aktif yang menyokong kerajaan termasuklah myKMU ini. Ini jauh berbeza dengan berbelas portal-portal pro pembangkang termasuklah Malaysia Today milik Raja Petra. Adakah ini difikirkan mencukupi bagi UMNO dan kerajaan untuk berperang dengan pembangkang?

11.0 Begitu juga kehadiran ramai kumpulan bloggers pembangkang yang aktif melaporkan segala hal-hal kerajaan dan UMNO yang boleh mereka putarbelitkan. Saban hari mereka memainkan sentimen bencikan kerajaan dan UMNO. Secara teori, ini tak mampu ditangkis sepenuhnya oleh bloggers pro kerajaan yang jumlahnya yang ada tak sampai pun satu pertiga dari kumpulan mereka ini. Namun realitinya adalah sebaliknya tetapi adakah kumpulan bloggers pro kerajaan ini mampu bertahan tanpa sokongan dari parti dan kerajaan sendiri?

12.0 Saya akui, banyak pihak dari UMNO cuba untuk mewujudkan kumpulan jentera maya masing-masing yang terdiri dari Bloggers dan juga Facebookers. Namun usaha mereka hanya umpama hangat-hangat taik ayam sahaja dan sering terbabas dari matlamat sebenar. Ini kerana, untuk berperang didalam ruang maya ini, komitmen dan juga minat amat penting. Jika hanya ada komitmen tetapi tiada minat, selalunya kerja tak akan jalan dan begitulah juga sebaliknya.

13.0 Saya sendiri adalah seorang bloggers politik dan saya akui bukan senang untuk menjadi seorang bloggers politik yang aktif bagi meng"update artikel untuk dimuatkan ke dalam blog setiap hari. Jika tiada komitmen dan minat, mustahil ia dapat dilakukan dengan sempurna.

14.0 Seorang sahabat yang saya anggap sebagai abang pernah berkata kepada saya bahawa blog dan juga medium siber sebenarnya langsung tak menyumbangkan apa-apa kepada sokongan rakyat terhadap parti. Saya hanya tersenyum dan mengangguk lemah sebab tak mahu menyanggah pendapatnya ketika itu kerana rasa hormat saya padanya. Tetapi adakah pendapatnya betul?

15.0 Cuba kita kaji semula, mengapa pada awal zaman reformasi 98 hingga ke hari ini, pembangkang lebih banyak menggunakan ruang maya bagi menyampaikan kempen mereka selain dari cara konvensional berceramah seperti yang diamalkan oleh PAS?

16.0 Dan jangan nafikan keberkesanan usaha mereka ini didalam menarik sokongan generasi muda terutamanya pelajar-pelajar institut pengajian awam dan swasta negara. Sebagai perbandingan, cuba lihat Portal Malaysiakini yang lebih popular dan dipercayai dari semua media pro kerajaan sedia ada. Apakah portal Malaysiakini itu cenderung kepada UMNO dan kerajaan?

17.0 Generasi anak-anak muda di zaman awal reformasi 98 inilah yang kini menjadi pendokong kuat pembangkang. Dan sejak dari zaman itu, generasi muda yang di anggap sebagai pengundi pelapis negara sering terpesong memilih pembangkang hanya kerana termakan hasutan serta dakyah yang mereka timbulkan di ruang maya.

18.0 Generasi muda lebih dekat dengan teknologi dan mereka terdedah kepada segala bentuk kecanggihan letusan maklumat kerana ini merupakan zaman mereka. Jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan zaman muda kebanyakan pemimpin kerajaan yang hanya ada media cetak, TV dan juga Radio sahaja. Malah, masih wujud sehingga hari ini pemimpin-pemimpin parti yang tak tahu bagaimana hendak menghidupkan komputer pun.

19.0 Saya pernah berhadapan dengan Ketua Penerangan Bahagian yang tak tahu langsung bagaimana untuk mendaftarkan akaun email nya didalam internet sewaktu saya terlibat didalam bengkel jentera siber anjuran UMNO Pusat. Ini membuktikan bahawa ada ahli UMNO yang masih mengambil mudah tentang trend teknologi perang terkini dan lebih malang lagi, ramai diantara pemimpin-pemimpin UMNO masih menafikan keberkesanan senjata baru ini.

20.0 Saya tak nafikan keupayaan cara kempen seperti ceramah, turun menemui rakyat dan juga memberi "hadiah" sewaktu pilihanraya dapat menarik undi buat parti dan kerajaan. Tetapi mampukah pemimpin UMNO dan kerajaan memastikan seluruh rakyat khususnya generasi muda hadir mendengar ceramah mereka? Mahukah kumpulan ini keluar menemui pemimpin sewaktu kunjungan ke kawasan-kawasan mereka dan juga bolehkah parti dan kerajaan menjamin undi dari kumpulan generasi baru ini memihak kepada mereka setelah "hadiah" dihulurkan?

21.0 Jika pembangkang berperang menggunakan teknologi siber dan memenuhi ruang maya, apa salahnya jika UMNO dan kerajaan mengambil pendekatan yang sama mengasimilasi semua pejuang maya pro kerajaan yang sedia ada baik dari kumpulan portal-portal berita seperti myKMU ini dan juga para bloggers serta para Facebookers yang selama ini hanya umpama hantu tak bertuan bergentayangan diruang maya.

22.0 Pada masa yang sama, gunalah tanpa was-was keupayaan serta kemahiran para pejuang-pejuang maya pro kerajaan ini untuk menghasilkan lebih ramai lagi jentera di dalam usaha memerangi pembangkang. Tak salah jika menggunakan semua alternatif yang ada jika itu merupakan tuntutan keperluan masa kini.

23.0 Jika mahu berperang, gunalah semua senjata dan peluru yang ada bagi menjamin kemenangan. Jangan pula di pihak lawan telah bertukar menggunakan kereta kebal dan bersenjatakan M16, tetapi di pihak UMNO dan kerajaan masih berkeras mahu menggunakan kereta lembu serta senapang berlaras satu peninggalan tok nenek moyang dahulu.

24.0 Jika cara ortodoks begini yang dipertaruhkan, jangankan bermimpi untuk menang perang...., belum sempat lagi hendak mengisi peluru, sudah pasti dah tumbang.

Contributed by che_wan on Tuesday, June 22 @ 07:45:33 MYT
sumber www.mykmu.net

(sumber;http://www.facebook.com/home.php?#!/notes/ir-gullit/perang-lawan-pembangkang-mampukah-umno/10150210788265361)

No comments: