Friday, October 25, 2013

CEO didakwa rasuah projek RM2.7j

CEO didakwa rasuah projek RM2.7j


JOHOR BAHRU 24 Okt. - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat Johor Port, Mohamad Hanafiah Abu Mansor hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan rasuah membabitkan projek bernilai RM2.7 juta, empat tahun lalu.

Mohamad Hanafiah, 47, yang bertugas di JP Logistics Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Danga Bay di sini pada pertengahan Jun 2009 ketika masih memegang jawatan Naib Presiden Iskandar Investment Bhd. (IIB) dan CEO Medini Iskandar (M) Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa meminta suapan 10 peratus daripada harga projek 'Cadangan Pembinaan dan Penyiapan Jalan Logistik Alternatif Penduduk Kampung Sungai Pendas Untuk Pembangunan Medini Iskandar Malaysia' daripada seorang individu bernama Mohd. Zulkifli Arif.

Suapan itu kononnya untuk Mohd. Amin Suhaimi sebagai dorongan kerana membantu syarikat Segi Mulia Sdn. Bhd. mendapatkan kontrak pembinaan dan menyiapkan jalan alternatif di Kampung Pendas Laut yang bernilai RM2.7 juta daripada Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Hanafiah didakwa menerima rasuah RM25,000 daripada Mohd. Zulkifli bagi tujuan sama di kawasan letak kereta belakang pejabat Iskandar Investment Bhd., Danga Bay di sini antara pukul 3 dan 4 petang pada awal Januari 2010.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abdul Latiff menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohamad Hanafiah pula memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan ini kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah selain telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM semasa siasatan dijalankan.

Mohamad Haidar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 November ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131025/ma_01/CEO-didakwa-rasuah-projek-RM27j#ixzz2igZIUEjX
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131025/ma_01/CEO-didakwa-rasuah-projek-RM27j)

No comments: