Beberapa ahli PAS mengadakan bantahan secara aman di hadapan pejabat Karpal di Jalan Green Hall, Georgetown, semalam. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin
Beberapa ahli PAS mengadakan bantahan secara aman di hadapan pejabat Karpal di Jalan Green Hall, Georgetown, semalam. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin
Georgetown: Hampir 20 ahli PAS Pulau Pinang semalam, mengadakan bantahan di hadapan pejabat guaman Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana mencampuri hal dalaman PAS berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. 

Kumpulan itu yang berhimpun kira-kira sejam turut memijak bendera DAP sambil melaungkan takbir. 
Mereka meluahkan perasaan marah dengan tindakan Karpal mendesak Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang meminta Majlis Syura Ulama PAS mematuhi keputusan Mesyuarat Majlis Presiden pembangkang pada 8 Januari lalu. 


Bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, berkata pihaknya mengecam dan membantah perbuatan Karpal yang dianggap sebagai melampau apabila mendesak Hadi mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama PAS. 

Desak hormat keputusan 

Beliau yang juga ahli seumur hidup parti itu berkata, Karpal sepatutnya menghormati keputusan Majlis Syura Ulama yang selaras dengan tuntutan syariat dan tidak boleh dipertikaikan sesiapa pun. 

Katanya, dia dan rakan-rakan adalah ahli PAS dan bukan mewakili parti politik lain sama ada Barisan Nasional (BN) atau badan bukan kerajaan (NGO). 
“Kebanyakan anggota PAS di Pulau Pinang sebenarnya kecewa dengan kepemimpinan PAS negeri yang hanya berdiam diri dengan kenyataan Karpal itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan secara aman di hadapan pejabat Karpal di Jalan Green Hall, di sini, semalam. 

Hadir sama, Pengerusi Tetap PAS Kawasan Tanjong, Zaidi Abu Bakar. 

Mereka turut membawa sepanduk dan kain rentang yang tertera ‘Kalau Hang Nak Lawan Ulama Kami Langkah Mayat Kami Dulu’, ‘Orang Melayu Jangan Undi Karpal’, ‘PAS Wajib Keluar PR’, ‘Kami Pertahankan Majlis Syura Ulama’ dan ‘Karpal+Azmin Tidak Hormat Dasar PAS’. 

Mohamed Hafiz yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang berkata, dia juga kesal kerana Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim kerana tetap berdiam diri dalam isu berkenaan. 

Pemimpin bersekongkol 

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin Melayu Islam itu seperti bersekongkol serta takut mengeluarkan pendapat terhadap Karpal dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. 

“Mengapa perlu takut untuk bersuara demi menjaga hati pakatan pembangkang berbanding menjaga kesucian kalimah Allah. 

“Jika takut bersuara. Sudah tiba masanya PAS tinggalkan pakatan dan jangan jadi pengecut,” katanya.