Wednesday, January 9, 2013

Nik Aziz Setuju Bukan Islam Guna Kalimah Allah

 08 Januari, 2013 16:51 PM

KOTA BAHARU, 8 Jan (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam.

Menurutnya langkah itu sebagai memberi ruang kepada orang bukan Islam mengenali ajaran agama Islam sebenarnya.

"Bagi (pendapat) saya, orang bukan Islam perlu diberi ruang menggunakan perkataan itu kerana ia merupakan gerakan dakwah untuk mendekatkan orang bukan Islam kepada agama Islam," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan anggota majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, Selasa.

Pendapat Nik Abdul Aziz itu sekali gus menimbulkan percanggahan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan ulama serta kalangan pemimpin PAS.

Ditanya mengenai pendirian PAS berhubung isu itu, Nik Abdul Aziz berkata ia akan diputuskan di peringkat Dewan Syura Ulama parti itu yang akan bermesyuarat di Kuala Lumpur Sabtu ini.

"Bagaimanapun, saya akan menerima apa sahaja keputusan parti dalam mesyuarat itu nanti," katanya.

Kontroversi penggunaan kalimah Allah itu dibangkitkan semula oleh Setiauasaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini dengan mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk Bible versi bahasa Melayu.

-- BERNAMA

(terimakasih sumber:  http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=920125)

No comments: