Sunday, January 20, 2013

Henti cetak, edar Bible dalam bahasa Melayu


(sumber gambar dari google)


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) menggesa pihak berkenaan menghentikan pencetakan kitab Bible versi bahasa Melayu yang dilihat boleh mengelirukan dan memecah belahkan umat Islam.

Wakilnya, Aminuddin Yahaya yang merupakan Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia berkata, isu tersebut tidak akan wujud sekiranya semua pihak menghormati Perlembagaan negara ini yang melarang mana-mana agama menyebarkan dakyah kepada kaum Melayu.

"Larangan itu telah termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang berlaku sekarang kerana usaha mencetak dan mengimport kitab Bible tidak disekat.

"Ibarat lalat yang datang kerana adanya bangkai. Buang bangkai hilanglah lalat tersebut. Jadi pihak kami percaya jika langkah sedemikian diambil, isu salah guna kalimah Allah tidak timbul," katanya selepas membuat laporan berhubung isu kalimah Allah dibuat di Balai Polis Travers di sini hari ini.

Laporan polis tersebut dikemukakan terhadap sebuah firma guaman yang dipercayai telah menghina kedaulatan Sultan Selangor serta boleh menyebabkan perpecahan harmoni, perpaduan, rasa tidak puas hati dan prejudis terhadap terhadap agama.

Surat tersebut dipercayai menyifatkan kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyiarkan titah Tuanku Sultan Selangor berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible bahaya Melayu sebagai bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kementerian Dalam Negeri pada 8 April 2011.

Dalam pada itu, jelas Aminuddin, laporan itu dibuat supaya pihak polis menyiasat kandungan surat menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan rasa tidak puas hati penganut Islam dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencetuskan kontroversi kerana meminta kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu sehingga mengundang bantahan umat Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_12/Henti-cetak-edar-Bible-dalam-bahasa-Melayu#ixzz2ITXRnPhn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

(terima kasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_12/Henti-cetak-edar-Bible-dalam-bahasa-Melayu)

No comments: