Tuesday, January 29, 2013

Tiga soalan isu kalimah oleh Belalang Jalan Riong:


(gambar hiasan)

Bila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sidang akhbar bahawa pakatan pembangkang kekal dengan pendirian membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, beberapa persoalan bermain di minda Belalang. Belalang hendak kemukakan tiga persoalan saja. Pertama, bagaimana Anwar boleh bercakap bagi pihak ketiga-tiga parti pembangkang, sedangkan PAS menerusi Majlis Syura parti itu, menentang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam itu, termasuk digunakan dalam Bible. 

Keputusan Majlis Syura itu sudah dimaklumkan lebih awal dan sepatutnya Anwar perlu merujuk kepada PAS sebelum mengeluarkan kenyataan yang bercanggah. Ini menunjukkan ada jurang antara Anwar dan pemimpin PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga pengerusi majlis itu, ketika mempertahankan keputusannya berkata, jika ketua pembangkang itu setuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, ‘Itu dia punya pasal’. Belalang bukan nak melaga-lagakan kedua-dua pemimpin itu, tetapi dalam soal agama, setiap umat Islam perlu bercakap benar.

 Belalang yakin PAS sanggup keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya DAP dan PKR tidak bersetuju dengan pendirian parti itu. Pada PAS tentulah kepentingan agama itu lebih besar daripada kepentingan parti pembangkang. 

Keduanya, Anwar memilih untuk menjawab isu itu dalam sidang akhbar dengan menjemput semua media untuk membuat liputan. Ini menunjukkan beliau membuat kenyataan itu dalam keadaan sedar, malah mempersoalkan wartawan yang bertanya soalan itu. Tak tahulah pula Belalang, jika ketua pembangkang itu diarah oleh DAP, supaya menyatakan pendiriannya berhubung isu kalimah Allah itu. 

Ketiga, Belalang nak ingatkan implikasi kepada umat Islam berhubung kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mengatakan orang Islam yang meredakan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh jatuh syirik. 

Perbuatan itu boleh dianggap kufur. Belalang rasa eloklah semua umat Islam fikirkan kenyataan Dr Haron itu baik-baik. Janganlah disebabkan kerana undi atau hendak menyokong pembangkang, mereka lupa kepada hukum agama pula.

(terima kasih sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BelalangJalanRiong_PRU-13danundiCina/Article/)

No comments: