Saturday, February 11, 2012

Tujuh Prinsip Ulung Dalam Akta Perlindungan Data Peribadi :Datuk Seri Dr Rais Yatim

Tujuh Prinsip Ulung Dalam Akta Perlindungan Data Peribadi

KUALA LUMPUR -- Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) yang diwartakan pada Jun 2010 mengandungi tujuh prinsip ulung yang wajib dipatuhi bagi menjaga keutuhan data peribadi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.


Beliau berkata, dengan berkuatkuasanya akta itu, satu jabatan baru di bawah kementerian telah diwujudkan iaitu Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam transaksi komersial oleh pengguna data supaya tidak disalahguna oleh pihak-pihak yang berkepentingan.


"Data peribadi mempunyai pengertian seperti butiran akaun bank, kad pengenalan, jenis darah dan sejarah kesihatan selain akaun kredit yang wujud atau apa-apa juga butiran komunikasi yang ada pada seseorang itu yang boleh dianggap sebagai data peribadi. "


Jika pihak lain menyimpan data peribadi itu tanpa kebenaran atau tanpa mengikut tujuh prinsip yang ada di bawah akta itu, maka beliau melakukan satu kesalahan, dan boleh didenda sehingga RM30,000 dan penjara setahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan JPDP dan Seminar Kesedaran Perlindungan Data Peribadi 2012 di sini Khamis.


Seramai 400 orang hadir pada seminar yang julung kali diadakan bagi meningkatkan kesedaran, mengumpul maklumat balas daripada segi pendekatan rangka kerja kawal selia yang akan diwujudkan untuk tujuan pelaksanaan dasar dan perundangan berkaitan dengan aspek data peribadi.


Turut hadir kedua-dua timbalan menterinya Datuk Joseph Salang, Datuk Maglin Dennis De Cruz dan Ketua Pengarah JPDP Abu Hassan Ismail.


Rais berkata, tujuh prinsip tersebut ialah seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya; mesti mematuhi prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan; prinsip penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya dataperibadi itu hendak dizahirkan.


Prinsip keselamatan - apabila memproses data peribadi mana-mana subjek perlu mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau tidak hilang atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan;


prinsip penyimpanan - sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yangdiperlukan;


prinsip integriti data - setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses;


prinsip akses - seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh memperbetulkan datanya itu supaya terkini.


"Dengan adanya prinsip tersebut, akan wujud keyakinan di kalangan pengguna, pengamal e-dagang, kemudahan rangkaian dan bukan rangkaian bahawa maklumat peribadi mereka adalah dilindungi," katanya.


Bagaimanapun, katanya di bawah perundangan itu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dikecualikan daripada aplikasi akta itu bagi memberi ruang dan hak untuk kerajaan menggunakan data peribadi asas seseorang untuk diproses susulan maksud pentadbiran yang sah di sisi undang-undang.


Rais berkata, APDP berkomplimentari dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bertujuan menjaga kepentingan rakyat daripada segi integriti dan keselamatan data peribadi seseorang.


Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata, kewujudan perundangan itu antara lain akan dapat membantu Malaysia menjadi pusat komunikasi dan perdagangan elektronik, lokasi pelaburan dalam industri dan multimedia yang menarik serta rakan perdagangan antarabangsa yang boleh memberi jaminan perlindungan data peribadi mengikut piawaian antarabangsa.


Katanya, kini terdapat lebih 100 negara yang telah dan sedang memperkenalkan perundangan perlindungan data peribadi masing-masing.

(sumber;http://malaysiaaktif.my/v2/index.php/News/State/Tujuh-Prinsip-Ulung-Dalam-Akta-Perlindungan-Data-Peribadi.html)

`````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````

Enam Hak Pengguna Lindungi Data Peribadi

    February 9, 2012

No Comments


KUALA LUMPUR – Akta Perlindungan Data Peribadi yang diluluskan pada Jun 2010 memberikan enam hak utama kepada pengguna di negara ini bagi memastikan data peribadi mereka tidak disalah guna oleh pihak berkepentingan.

Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya Prof Abu Bakar Munir berkata enam hak yang diperuntukkan kepada pengguna ialah sesebuah organisasi perlu memberitahu sama ada telah memproses data pengguna itu atau tidak, mempunyai hak untuk mengakses data itu, membetulkan serta membatalkan kebenaran untuk memproses data mereka.

Selain itu, beliau berkata pengguna juga boleh menghalang organisasi terbabit daripada menggunakan data peribadi itu sehingga boleh menyebabkan gangguan dan juga hak untuk menghalang pihak tertentu daripada memproses data peribadi bagi tujuan pemasaran secara langsung.

“Di United Kingdom, hak ini sentiasa digunakan oleh para artis dan selebriti di mana dalam satu kes, Naomi Campbell membawa kes seorang jurugambar akhbar ‘Daily Mirror’ ke mahkamah kerana menyiarkan gambar supermodel itu di dalam akhbarnya tanpa kebenaran sehingga menyebabkan tekanan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Personal Data Protection Act 2010: To Comply Is To Know pada seminar kesedaran perlindungan Data Peribadi 2012 di sini Khamis.

Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 telah diluluskan oleh Kabinet pada Jun 2010 bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam transaksi komersial oleh pengguna data untuk mengadakan perlindungan kepada data peribadi individu itu, dan dengan itu, melindungi kepentingan individu berkenaan.

Menurut rang undang-undang itu seseorang pengguna data yang melanggar peruntukan Seksyen 5(1) telah melakukan satu kesalahan dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda RM200,000 atau kedua-dua sekali.

Seksyen itu memperuntukkan bahawa pemprosesan data peribadi oleh seseorang pengguna data hendaklah mematuhi prinsip perlindungan data peribadi iaitu prinsip am, prinsip notis dan pilihan, prinsip penzahiran, prinsip keselamatan, prinsip penyimpanan, prinsip integriti data dan prinsip akses.

Dalam sesi soal jawab, Abu Bakar berkata data peribadi seseorang hanya boleh disimpan dalam tempoh tertentu sahaja.

“Data boleh disimpan untuk sesuatu tujuan dan sekiranya tujuan dipenuhi maka data itu harus dihapuskan. Ini bermakna tidak boleh simpan data untuk selamanya.

Seminar yang berlangsung sehari ini dihadiri 400 peserta terdiri pengamal undang-undang serta pegawai agensi kerajaan, sektor swasta dan juga pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO). – BERNAMA

No comments: