Saturday, February 11, 2012

Rakyat bimbang prospek pekerjaan :arkib utusan 09.02.2012



KUALA LUMPUR 8 Feb. – Kebimbangan terhadap prospek pekerjaan menjadi isu utama dalam kalangan rakyat Malaysia mengatasi kerisauan terhadap kenaikan harga makanan dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Isu kenaikan harga makanan berada di tangga ketiga selepas kebimbangan terhadap kedudukan kewangan peribadi, demikian menurut kajian yang dilakukan oleh Nielsen Malaysia.

Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Kow Kuan Hua berkata, di sebalik pertumbuhan ekonomi melepasi jangkaan iaitu 5.8 peratus pada suku ketiga, pengguna masih tidak pasti tentang kesan projek-projek yang dijalankan kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan keupayaan perbelanjaan swasta menepis tekanan faktor luaran.

‘‘Walaupun pakar-pakar ekonomi telah melakukan semakan menaik terhadap unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2011, pengguna di negara ini masih bimbang sama ada kadar pertumbuhan eksport berorientasikan pengeluaran bakal terus meningkat ketika keadaan ekonomi sejagat yang terus mencabar,’’ kata beliau.

Pemerhatian itu diperoleh menerusi Kajian Keyakinan Pengguna Dalam Talian Global Nielsen yang dilakukan pada 23 November sehingga 9 Disember tahun lalu melibatkan 28,000 pengguna dalam talian di 56 negara di seluruh dunia.

Kuan Hua berkata, keyakinan terhadap prospek pekerjaan tempatan dan kewangan peribadi masih tidak berubah dan kekal di tangga kedua dengan 64 peratus daripada responden menyifatkan prospek pekerjaan mereka adalah cemerlang ataupun bagus dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Malaysia kekal di tangga ketujuh di antara 56 negara yang mana penggunanya mempunyai prospek pekerjaan yang optimis.

Kuan Hua berkata, meskipun kuasa beli meningkat satu peratus, tetapi responden yang menyatakan bahawa 12 bulan akan datang adalah bukan waktu yang tepat untuk membuat pembelian telah meningkat lebih tinggi iaitu tiga peratus.

Ini menunjukkan 85 peratus daripada pengguna telah menukar cara berbelanja bagi menjimatkan pendapatan isi rumah berbanding suku sebelumnya, katanya.

Di antara langkah yang diambil pengguna untuk menjimatkan pendapatan isi rumah adalah dengan mengurangkan pembelian pakaian baharu, mengurangkan hiburan di luar rumah, menjimatkan penggunaan gas dan elektrik, menukar jenama barangan runcit yang biasa digunakan serta mengurangkan penggunaan telefon.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm)

No comments: