Thursday, July 21, 2011

KEMATANGAN DEMOKRASI MALAYSIA (isu akhbar cina)

Akhbar China Press bertarikh 14 Julai 2011 pada halaman C13 berkongsi pandangan mengenai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0. Artikel dalam ruangan perbincangan umum rakyat yang tidak mencatatkan nama penulis bertajuk ‘Selepas Bersih 2.0 Malaysia nampaknya lebih dewasa dan lebih tegap sedikit.’

Sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai, ramai rakyat yang khuatir kerana sejak dahulu sehingga sekarang, negara kita dikatakan seperti kanak-kanak yang masih perlu dipegang tangan untuk berjalan, dalam mengharungi demokrasi.

Mereka merasa cemas dan risau, jika kanak-kanak terbabit dibiarkan berjalan sendirian dia akan jatuh tersungkur ke dalam longkang. Terdapat juga kebimbangan kanak-kanak itu akan diculik oleh penjahat.

Sebab itu, pada hari perhimpunan berkenaan, rakyat negara ini dan seluruh dunia menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur dan Malaysia. Mereka ingin melihat bagaimana kanak-kanak yang tidak lagi dipimpin tangannya belajar berlari dalam mengharungi demokrasi.

Akhirnya, selepas 9 Julai, semua pihak menyedari bahawa demokrasi di Malaysia sebenarnya sudah matang. Kanak-kanak yang cuba belajar berlari secara sendirian itu, sebenarnya sudah dewasa.

Sifat kanak-kanak yang berpendapat memang wajar rakyat tidak mendapat hak dan keadilan, perasaan senang hati untuk menerima rasuah dan penyelewengan serta rela pemikirannya dilemahkan telah dibuang.

Yang ada hanya sifat-sifat orang dewasa yang mempunyai lebih banyak keyakinan pada diri sendiri.

Maknanya, demokrasi di negara ini bukan lagi ditentukan oleh segelintir pihak, sebaliknya seluruh rakyat sendiri yang akan memperjuangkannya.

Mereka juga membantah amalan rasuah, kerana ia hanya akan menguntungkan pegawai dan kakitangan kerajaan tertentu dan politikus yang tidak bertanggungjawab.

terima kasih (sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm)

No comments: