Tuesday, July 5, 2011

BERSATULAH MENENTANG MUSUH SEBENAR by Hibatullah Yusof Al-Haj


on Monday, July 4, 2011 at 1:51pm


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



PENDAHULUAN



Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT. Apa sudah jadi? Ada di kalangan orang-orang Islam sendiri beria-ia benar mempertahankan hasutan Ambiga sedangkan telah jelas beliau adalah seorang yang menentang Islam. Maka mereka ini gunakan segala dalil yang mereka tafsirkan menurut hawa nafsu untuk menggambarkan bahawa berkawan dengan musuh-musuh Islam dibolehkan malah digalakkan. Janganlah mudah jadi keliru. Sekiranya kita mahu perjuangkan Islam, janganlah pula menyokong orang yang memusuhi Islam dan yang ditaja oleh golongan yang memang bertujuan memecah-belahkan umat Islam.


SUDAH BERAPA LAMA ANDA KENAL AMBIGA?


Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam terutamanya orang Melayu di negara ini kerana beliau adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001 untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.



Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga telah mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.



Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincangkan dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan daripada orang Islam, namun Majlis Peguam yang diterajui oleh Ambiga tetap meneruskan forum tersebut.



Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan Datuk S. Ambiga dilihat cuba menjadi 'superhero' dengan tindakannya mengetuai penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini. Penganjur mahu mencari publisiti dengan menjatuhkan imej negara pada kaca mata dunia sekaligus akan mendapat publisiti. "Tindakan itu juga seolah-olah dia (Ambiga) mahu menjatuhkan imej kerajaan di luar negara dengan mengadakan perhimpunan yang tidak mendatangkan faedah," katanya.



ANCAMAN DARIPADA 14 TUNTUTAN IFC TERHADAP UMAT ISLAM



1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.



2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali ke agama asal mereka(murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.



3.Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.



4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam



5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang.



6. Seseorang atau pasangan suami-isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak penjagaan anak.



7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya..



8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.



9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.



10. Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.



11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.



12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.



13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.



14. Sepatutnya islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.



Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuai oleh Ambiga.



Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datin Paduka Prof. Dr. Ramlah Adam berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan perlembagaan negara.



“Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit daripada pihak polis maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak,” katanya kepada Bernama.



Tegasnya, keperluan menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran yang betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik dan bukannya mengadakan demonstrasi haram.



Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr. Zainal Kling pula menyifatkan golongan yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin termasuk Ambiga.



Katanya, mereka terlampau mengikut parti tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing.



“Lebih baik buat tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan NGO. Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik) terutama orang awam tentang kacau bilau dalam parti seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka,” katanya.



Zainal menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi “kekotoran” dalam parti pembangkang.



“Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau bilau, huru hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara,” katanya. — Bernama.



NASIHAT TUN MAHATHIR



1. Kita tak dapat nafi bahawa berdemonstrasi mempunyai tempat dalam pengamalan demokrasi.



2. Saya baru kembali dari lawatan ke Mesir. Seperti kita semua maklum satu demonstrasi besar di Kaherah telah berjaya menjatuhkan Kerajaan Hosni Mubarak.



3. Tetapi kesan demonstrasi tidak terhad kepada kejatuhan Kerajaan. Ekonomi Mesir merosot dengan amat teruk. Mesir, yang banyak bergantung kepada pelancongan mengalami kemerosotan 80 peratus semasa demonstrasi berlaku. Hari ini pun pelancong belum kembali dan banyaklah hotel yang kosong.



4. Serangan terhadap polis adalah satu jenayah. Sudah tentu jika polis diserang, maka polis terpaksa menggunakan kekerasan. Jika polis guna kekerasan maka ini akan dijadikan isu oleh yang berdemonstrasi.



5. Mungkin kerana ingin mengelak daripada tindak balas maka polis diarah berundur dan tinggalkan tempat demonstrasi tidak dikawal. Keadaan ini merbahaya kerana orang awam tidak mendapat perlindungan polis lagi.



6. Sudah tentu pemulihan ekonomi terganggu. Pelancong tidak kembali dan jauh sekali pelaburan oleh pelabur tempatan dan asing. Pengangguran bertambah dan yang miskin menderita bertambah.



7. Walaupun demonstrasi diterima dalam demokrasi, ia tidak boleh diguna dengan sewenang-wenangnya. Jauh daripada memberi manfaat kepada rakyat, ia menambah masalah bagi rakyat.



8. Pihak tertentu merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 9hb Julai ini. Apakah benar demonstrasi ini bertujuan untuk membersihkan proses pilihanraya?



9. Jika disemak tuntutan yang dibuat lebih merupakan tuduhan terhadap Kerajaan dan bukan tuntutan sebenar. Tujuannya ialah untuk memburukkan Kerajaan supaya meraih sokongan dalam pilihanraya akan datang.



10. Walaupun pengurusan pilihanraya di Malaysia mempunyai beberapa kelemahan tetapi hakikatnya di Negara ini parti lawan boleh menang. Demikianlah pentadbiran pilihanraya di Malaysia sehingga pada tahun 2008 parti lawan dapat menawan lima buah negeri, satu wilayah dan berjaya mengurangkan ahli Dewan Rakyat sehingga tidak tercapai matlamat dua pertiga seperti yang biasa dimenangi oleh parti Kerajaan.



11. Bandinglah dengan pilihanraya di Negara-negara lain termasuk jiran terdekat kita di mana parti bukan Kerajaan tidak dapat wakil dalam dewan sama sekali. Yang menang daripada parti lawan akan dituduh dengan pelbagai tuduhan dan dihadapkan ke mahkamah. Maka mahkamah pun menghukum mereka salah dan tidak dapat mengambil tempat mereka dalam dewan. Ada yang dibenar masuk tetapi tidak berani bercakap. Kalau bercakap tidak akan dilapor dalam media.



12. Ada pula diwujudkan kumpulan pembangkang dalam parti Kerajaan. Ini adalah satu sandiwara politik.



13. Dalam pilihanraya yang baru lepas pun banyak tekanan digunakan oleh Kerajaan berkenaan. Sebab itu jumlah calon pembangkang yang menang amat kecil.



14. Malangnya terdapat di Malaysia parti yang berasas dari parti negara jiran ini yang ingin supaya negara ini juga menerima contoh pentadbiran negara jiran. Seperti dengan parti di negara jiran, pada mulanya janji dibuat untuk mendirikan Kerajaan yang baik dan adil. Apabila sahaja rakyat memberi kepercayaan jenis pemerintahan yang didirikan jauh berbeza daripada yang dijanjikan.



15. Memang pun ada sekatan tertentu di negara ini terhadap kebebasan liberal yang didapati di negara barat. Sekatan ini diperlukan kerana mengelak daripada huru-hara berlaku.



16. Pada 1969 berkempen dibenar sepenuhnya iaitu enam minggu. Pada masa kempen, parti politik menggunakan perkauman untuk menarik sokongan. Parti-parti Kerajaan pun terpaksa menggunakan soal perkauman. Balas-membalas berkenaan isu ini dalam kempen menyebabkan ketegangan antara kaum-kaum. Dengan itu berlakulah 13 Mei yang berdarah.



17. Untuk mengurangkan kemungkinan kempen membakar hati, maka dikurangkan masa berkempen. Lagi pun parti pembangkang berkempen sepanjang masa. Perhimpunan dalam rapat parti pembangkang lebih kerap daripada parti Kerajaan. Demikianlah kebebasan di Malaysia.



18. Tidak ada sebab kenapa demonstrasi perlu diadakan di negara ini. Wakil Rakyat parti lawan begitu ramai. Jika kajian perlu dibuat berkenaan undang-undang dan pengurusan pilihanraya, peluang yang banyak terdapat dalam dewan-dewan untuk membangkit dan membahas perkara-perkara ini. Tetapi peluang-peluang ini tidak digunakan sepenuhnya. Sebaliknya demonstrasi hendak diadakan. Apa tujuannya? Membersihkan pilihanraya atau mencuba memburukkan imej parti Kerajaan.



19. Di Mesir saya ditanya kenapakah pentadbiran negara Islam tidak ada yang baik. Saya terpaksa mengaku yang orang Islam mudah diperalatkan.



http://chedet.co.cc



TITAH KHAS YANG DI PERTUAN AGONG MENGENAI BERSIH DIKELUARKAN OLEH ISTANA NEGARA PADA 03/07/2011 JAM 8:40pm



KUALA LUMPUR 3 Julai — Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.



Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:



Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.



Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.



Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.



Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.



Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.



Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran’.



Hakikatnya, demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.



Sebaliknya, kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.



Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara. — Bernama



KESIMPULAN



Pada hemat saya, mesej di atas sudah jelas. Ada baiknya berpesan-pesan agar kita tidak tersasar dari landasan perjuangan sebenar. Pepatah Melayu ada menyebut "Marahkan nyamuk kelambu dibakar". Itu adalah peringatan agar kita bijak dalam bertindak dan jangan menghancurkan perpaduan umat Islam hanya kerana isu remeh yang sengaja dibesar-besarkan oleh musuh Islam. Fikir-fikirkanlah.



_________________________________



Semoga Allah SWT merahmati kita semua.



سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم



Susunan Hibatullah Yusof Al-Haj

terima kasih(sumber;https://www.facebook.com/home.php#!/notes/hibatullah-yusof-al-haj/bersatulah-menentang-musuh-sebenar/235877589764578)

No comments: