Saturday, August 8, 2009

SANDIWARA PAS KENA REJECT...



Betul-betul seriuskah PAS Selangor mendesak Ronnie Liu digugurkan daripada jawatan Exco kerajaan negeri ataupun seperti kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Shabery Cheek, semua itu adalah satu sandiwara.

Malah katanya, tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Ronnie Liu akan terus jadi Exco dan akan terus guna kuasanya menghalang mereka yang melaksanakan operasi penguatkuasaan.

“PAS dan DAP akan tidur satu selimut lepas ini,” katanya Khamis ketika mengulas desakan PAS berhubung isu Ronnie mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam, minggu lalu.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, PAS akan bersuara kononnya dia serius tapi tiada apa-apa akan berlaku selepas ini.

Sebenarnya, jika disorot kembali, isu penjualan arak atau membataskan jualan minuman beralkohol di Selangor bukan perkara baru dibangkitkan PAS.

Keputusan berhubung peraturan penjualan minuman keras dan mengurangkan premis judi di lima buah negeri pakatan pembangkang dibuat ketika muktamar tahunan PAS tahun lalu.

Bagaimanapun, kerajaan campuran Selangor di bawah pimpinan PKR menolak usaha PAS Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan jualan arak berkuat kuasa Januari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan alasan keputusan itu terpaksa dibuat kerana penduduk di negeri itu terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Keputusan Khalid ketika itu membuatkan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud turut kecewa.

Malah mengulas perkara itu, Mohamed berkata, PAS tidak mempunyai kuasa ke atas DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun sama-sama berada dalam pakatan pembangkang.

Akhirnya isu itu senyap sahaja sehinggalah Ronnie Liu brtindak seolah-olah semua kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dalam tangannya apabila mengarahkan MBSA memulangkan semula minuman keras yang dirampas Khamis lalu.

Tindak tanduk Ronnie, wakil rakyat DAP itu menyebabkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali tampil pada sidang media mendesak Khalid menukar portfolio Ronnie kerana banyak tindakan Adun Pandamaran itu menimbulkan masalah kepada masyarakat umum.

Ronnie ketika ini adalah Pengerusi Kerajaan Tempatan , Penyelidikan dan Pembangunan manakala Dr Hasan pula Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam

Namun Khalid sekali lagi memilih jalan mudah apabila mengarahkan semua Exconya tutup mulut daripada membicarakan soal tersebut sehingga isu itu dibincangkan Jumaat ini.

Arahan Khalid pastinya cukup mencabar kredibiliti Dr Hasan sama ada beliau akan akur atau terus mendesak Ronnie ditukar portfolio atau digugurkan terus.

Ada pihak mula membuat tafsiran jika Dr Hasan memilih mengikut telunjuk Menteri Besar itu bermakna beliau lebih sayangkan jawatan Exconya daripada memperjuangkan isu yang sememangnya sudah diputuskan oleh Muktamar PAS.

Bahkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada Khamis dipetik sebagai berkata, PAS mahu Selangor menguatkuasakan garis panduan larangan penjualan arak secara terbuka seperti dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu kerana ia membabitkan sensitiviti orang Islam.

Mustafa berkata mengikut garis panduan penjualan minuman keras di Kelantan dan Terengganu, ia tidak boleh dibuat secara terbuka di kawasan yang mempunyai penduduk majoriti Islam.

"Polisi ini sudah kita jalankan khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu tetapi kita tidak tahu polisi di negeri Selangor bagaimana," katanya dalam sidang media.

Dalam pada itu, mengambil kira kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir, parti itu tetap akan mendesak Ronnie digugurkan.

Malah Agendadaily difahamkan, ada kumpulan tertentu dalam PAS Selangor sudah merancang mengadakan perhimpunan aman mendesak Khalid mengugurkan Ronnie selepas solat Jumaat hari ini.

Kini rakyat Selangor khususnya yang beragama Islam sedang melihat kesungguhan PAS memenangi isu tersebut walaupun dalam masa sama, ada cakan-cakap PAS akan kehilangan undi kaum Cina dalam pilihan raya akan datang jika parti itu berkeras dalam soal menyekat penjualan arak di tempat terbuka ini.

Tumpuan juga pada Khalid untuk melihat apakah beliau berani membuat keputusan merombak Exco seperti dicadangkan Naib Presiden PKR, Azmin Ali atau terus menggugurkan Ronnie yang kini jadi liabiliti dalam kerajaan campuran seperti ditegaskan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu Zulkifli Nordin.

Jika Khalid gagal melaksanakan salah satu seperti dicadangkan itu, jelas cakap-cakap selama ini, beliau walaupun Menteri Besar tetapi jadi boneka DAP sama seperti bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

(sumber;http://pilihan-anda.blogspot.com/2009/08/sandiwara-pas-kena-reject.html)

No comments: