Friday, March 20, 2009

DAR; Panas hanya seketika........,






Panas hanya seketika….

Oleh: Hanafiah Man

(sumber;agendadaily)

Majlis memperkenalkan calon Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada para perwakilan Negeri Sembilan di Seremban Khamis malam melakarkan suasana yang cukup menarik.

Ia dilihat sekaligus meredakan ‘ketegangan’ ekoran daripada keputusan Lembaga Disiplin Selasa melarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Ini berikutan berlegarnya berbagai spekulasi termasuk ada yang bimbang berlaku krisis dalam parti kerana tindakan itu.

Tanpa diduga Ketua Menteri Melaka itu muncul pada jam 9.05 malam iaitu 25 minit sebelum majlis berkenaan berlangsung di dewan sebuah hotel di bandar itu.

Melihat kehadirannya itu para ahli UMNO yang berada sekitar lobi hotel berkenaan spontan memberi tepukan gemuruh.

Beliau kemudian berjalan beriringan dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang tiba beberapa minit lebih awal.

Mereka sama-sama masuk ke dewan makan dan duduk di meja bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sampai lebih awal.

Sewaktu majlis memperkenalkan calon dalam dewan,Ali duduk diatas pentas di barisan depan sebaris dengan Muhyiddin dan Muhammad.

Ali terus berada di sekitar hotel itu lama selepas selesai majlis pada jam 10.30 malam dimana beliau kelihatan berbual dan meramah mesra dengan para ahli UMNO yang masih berada di situ.



Kehadiran Ali pada majlis berkenaan bukan sahaja menjadi bukti beliau menerima keputusan tersebut malah apa yang lebih penting, tindakan yang dikenakan ke atasnya semacam sudah dapat diterima oleh para perwakilan dan ahli-ahli UMNO… paling tidak yang hadir di majlis berkenaan.

Kesempatan bertemu dengan beliau selepas majlis berkenaan, Agendadaily tidak melepaskan peluang mengajukan beberapa soalan bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut Ali sendiri.

Antaranya ialah mengenai tohamahan yang menuduh seorang lagi calon Timbalan Presiden yakni Muhyiddin sebagai orang yang bertanggungjawab mempengaruhi keputusan Lembaga Disiplin untuk menyekat ‘kemaraan’ beliau dalam saingan merebut jawatan tersebut.

Menjawab soalan itu, beliau mengulangi pendiriannya menerima keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin.

Lebih menarik apabila beliau dengan tenang dan memperlihatkan kematangan sebagai orang lama berpolitik menjelaskan pendiriannya itu dengan lebih lanjut.

“Lembaga Disiplin…dia jalankan tugas atas arahan UMNO…jadi mereka jalankan tugas sebagaimana diarah…jadi apa yang diputuskan kita kena terima secara terbuka dan berlapang dada.

“Saya terima dengan hati terbuka dan tak perlulah tuduh sesiapa dalam soal ini,” katanya dengan harapan isu tuduhan dan tohmahan tidak akan dijadikan cakap-cakap politik yang boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan parti.

Ekoran tuduhan berkenaan, kini banyak diperkatakan ke mana arah sokongan para penyokong beliau setelah beliau dilarang bertanding.

Ada cakap-cakap yang menyatakan kerana marahkan Muhyiddin, kalangan penyokong Ali sudah tentu akan beralih arah kepada Muhammad yang juga merupakan pesaing bagi jawatan Timbalan Presiden.

Namun Ali memberikan jawapan ringkas sahaja “perwakilan bijak membuat keputusan” .

Ditanya mengenai kehadiran beliau pada majlis berkenaan walaupun telah dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin, jawapan yang diberikan amat menarik.

“Saya datang nak bagi sokongan kepada rakan-rakan yang bertanding. UMNO masih kuat dan bersatu. Habis pertandingan kita akan rapatkan semula barisan.

“Walaupun saya terkeluar awal sedikit, saya tak rasa kecewa…biasa saja. Saya datang nak bagi sokongan dan semangat kepada kawan-kawan…takkan lepas terkeluar (daripada bertanding) saya nak ambil cuti pula,” ujar beliau.

Mengakhiri temubual rigkas itu Ali turut menzahirkan harapannya kepada semua calon yang bertanding.

“Apa yang penting jika menang jadilah pemimpin yang baik dan jika tak berjaya jadilah pengikut yang baik, InsyaAllah parti selamat,” katanya

Terdahulu semasa majlis memperkenalkan calon, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sembilan,Datuk Mohamad Hassan sempat menyentuh mengenai kehadiran Ali.

Menurut beliau, kehadiran Ali membuktikan beliau merupakan pemimpin yang mengutamakan kepentingan parti.

Malah katanya, kenyataan Ali yang meminta para penyokongnya untuk terus memastikan parti kukuh dan bersatu adalah tindakan yang terpuji.

“Pemilihan kali ini bukan yang terakhir..tiga tahun lagi akan da pemilihan parti dan pada masa itu kita berpeluang untuk menawarkan diri sekali lagi,” jelasnya.

Malah semasa memperkenalkan calon Timbalan Presiden, Mohamad secara berjenaka berkata, ‘sebelum ini ada tiga calon tapi Datuk Seri Ali telah menarik diri…biarlah kita cakap berlapik sedikit”. – 19/3/2009

No comments: