Tuesday, January 27, 2009

UMNO; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal


Soal Jawab: Kepemimpinan generasi muda mampu merubah struktur pengurusan Umno
(BERITA MINGGU 25012009)

Parti perlukan penjenamaan semula supaya dapat diterima masyarakat

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Pemilihan Umno bagi jawatan Naib Presiden mencuri perhatian kerana sembilan calon akan bertanding. Selain muka lama, calon muka baru memperlihatkan kelebihan apabila mendapat pencalonan yang besar. Minggu ini, dua lagi calon Naib Presiden yang pertama kali mencuba nasib untuk merebut jawatan berkenaan memberikan pandangan mereka. Wartawan Berita Minggu, Nurul Adlina Kamaludin menemubual Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, manakala Rohaniza Idris bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


BERITA MINGGU; MENGAPA Datuk Seri membuat keputusan bertanding jawatan ini?

Ruang yang ada menyebabkan saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan ini. Tambahan pula, perkembangan politik tanah air dan Umno yang saya lihat sesuai untuk memberikan sumbangan kepada parti dan rakyat.

Lagipun, saya berasakan sudah tiba masa untuk saya melangkah setapak lagi ke hadapan. Lagipun saya sudah mempunyai pengalaman hampir empat penggal dalam Majlis Tertinggi Umno.

Saya berharap dapat membantu Umno memainkan peranan positif sebagai parti yang boleh diterima rakyat. Saya yakin dapat memberi sumbangan lebih besar kepada parti jika dipilih menjadi Naib Presiden.

BERITA MINGGU; Datuk Seri mencatatkan sejarah sebagai ahli Umno Sabah pertama melayakkan diri bertanding merebut jawatan Naib Presiden. Apakah faktor negeri penting kepada calon lebih-lebih lagi kini ada tiga calon dari Johor dan dua dari Negeri Sembilan?

Jawapannya ya dan tidak. Faktor ini boleh menjadi aspek penting tetapi ia bukan menjadi kayu pengukur untuk seseorang itu merebut jawatan ini.

Kemenangan bukan hanya bergantung kepada faktor negeri, ia lebih daripada itu dan saya percaya perwakilan berwibawa dan bijak menilai berdasarkan ketokohan, kewibawaan dan kepemimpinan seseorang calon itu.

Mengikut sejarah pun, tidak mestinya Naib Presiden dipilih mengikut negeri saja, ada banyak calon daripada satu negeri. Memang ada pada satu masa dulu, dua Naib Presiden dari satu negeri seperti Tan Sri Wan Mokhtar dan Tan Sri Yusof Noor.

Faktor negeri turut memainkan peranan kepada pemimpin itu untuk dicalonkan. Saya melihat ruang dan peluang untuk saya mewakili Sabah menyebabkan menawarkan diri. Sebelum ini, ada percubaan daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Osu Sukam menawarkan diri bertanding jawatan sama.

BERITA MINGGU; Bagaimana Datuk Seri melihat peluang memandangkan saingan lain yang tidak kurang hebatnya, malah ada antaranya lebih kanan dan beberapa kali bertanding jawatan ini?

Saya yakin proses peremajaan dalam parti adalah salah satu faktor penting dan perhitungan yang besar daripada perwakilan. Proses meremajakan dalam kepemimpinan ini selaras dan senada dengan keperluan generasi muda dalam Umno ketika ini.

Saya akui persaingan sangat kompetitif dalam pertandingan kali ini, tetapi yakin boleh diterima. Insya-Allah dengan keredaan Allah. Saya melihat ini persaingan sihat dan perwakilan akan membuat keputusan berdasarkan kewajaran dan keupayaan setiap calon itu.

Memang diakui ada calon yang lebih 'senior' dan jauh lebih berpengalaman tetapi proses peremajaan dalam parti perlu dan itu yang dimahukan mereka pada peringkat akar umbi.

BERITA MINGGU; Datuk Seri mempunyai jawatan dalam Kabinet yang menjadi kelebihan kerana memudahkan mendapat sokongan pada peringkat akar umbi berbanding mereka di luar kerajaan?

Tidak semestinya jawatan dalam parti menyebabkan saya boleh dipilih untuk jawatan ini. Saya percaya ia bukannya kayu pengukurnya.

Pernah satu ketika dulu, mereka yang di luar kerajaan turut dipilih menjadi Naib Presiden dan kali ini saya yakin ia tidak dijadikan kayu pengukur oleh perwakilan untuk memilih Naib Presiden.

Perwakilan bijak menilai dan mereka membuat pertimbangan berdasarkan pengalaman, kepemimpinan dan kewibawaan calon.

Pada masa sama, saya mengakui mereka yang berada dalam kerajaan seperti saya selaku menteri ada kelebihan dan ia sedikit sebanyak membantu memperkenalkan dan mempromosi kepada perwakilan.

Tugas sebagai Menteri menyebabkan perwakilan lebih mudah untuk menilai berdasarkan tugas yang dilaksanakan. Namun, saya percaya jawatan Menteri bukannya faktor penentu kemenangan. Jika itu dijadikan kayu pengukur, sudah pasti semua menteri ada peluang yang lebih besar atau layak dipilih menjadi Naib Presiden.

BERITA MINGGU; Jika ditakdirkan menang, apakah keutamaan yang Datuk Seri lakukan sebagai Naib Presiden parti, adakah kepentingan Sabah akan diutamakan?

Saya tidak hanya berkhidmat untuk kepentingan Sabah tetapi Umno keseluruhannya kerana jawatan ini adalah untuk Umno. Saya bukannya bertanding atas tiket Naib Presiden Sabah tetapi merebut jawatan Naib Presiden Umno.

Apabila Naib Presiden Umno bermakna saya bekerja untuk Umno keseluruhannya. Namun, saya tidak boleh menafikan tanggapan bahawa apabila saya dicalonkan untuk jawatan ini, sekali gus ia akan memperkuatkan lagi Umno di Sabah kerana hanya saya seorang calon saja mewakili negeri itu.

Pada waktu ini, perlu ada pembaharuan dalam Umno tanpa mengenepikan hakikat hala tuju dan perjuangannya untuk memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Umno perlukan penjenamaan semula supaya parti ini boleh diterima masyarakat dan generasi baru. Pengstrukturan semula jentera parti pada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi juga perlu dilaksanakan.

Penstrukturan semula ini adalah kekuatan parti bagi memastikan kelompok yang bergeseran tidak menyebabkan perpecahan dan kehancuran kepada parti. Contohnya, pertandingan di bahagian, apabila wujud persaingan merebut jawatan maka ada wujud kelompok tertentu dan timbul pergeseran. Orang kalah kemudiannya akan meminggirkan diri dan meninggalkan parti.

Saya bukan maksudkan tidak perlu ada pertandingan dalam parti. Pertandingan penting untuk parti bagi mendokong demokrasi. Kita perlu ada kaedah dan cara sesuai untuk pemilihan supaya penerapan nilai kesetiaan kepada parti terus subur dan tidak bermusim. Ini bermakna walaupun kalah dalam mana-mana pertandingan kita terus sokong Umno bukannya meninggalkan parti.

Di samping itu, saya menawarkan diri jawatan ini kerana melihat Naib Presiden dapat bertindak sebagai badan pengurusan parti. Sudah sampai, kita mengubah struktur gerak kerja dalam pengurusan parti.

Dalam pengurusan parti perlu ada perancangan dan penyusunan semula, selain penentuan hala tuju bukan bersifat sementara tetapi untuk jangka masa lebih panjang.

Pada masa sama, Umno tidak hanya menumpukan persoalan yang dibangkitkan daripada perkembangan semasa saja. Ketika ini, saya nampak, Umno lebih banyak menghabiskan masa membincangkan isu semasa sehingga terlupa mengenai perancangan masa depan dan hala tujunya.

Hala tuju dan rancangan masa depan perlu disusun dengan rapi supaya Umno terus kekal, relevan dan boleh diterima semua kelompok generasi dan zaman.

Saya melihat di dalam struktur dan dasar yang di ambil Umno kini tidak begitu konsisten. Ketetapan yang di ambil dalam beberapa perkara, dilihat tidak konsisten sebaliknya berbeza-beza.

Contohnya, dalam penentuan hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan dalam parti, sepatutnya perlu ada perbezaan hukuman antara orang yang melanggar etika kerana mempertahankan dan memperjuangkan parti dengan mereka yang mengkhianati parti serta menyokong parti pembangkang.

Konsisten perlu ada supaya Umno terus dihormati dan tidak dipertikaikan di kemudian hari.

Penjenamaan semula bukan bermakna membawa orang baru dan muda dalam parti sebaliknya ia untuk menjadikan parti sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dan khalayak. Penjenamaan semula bukan bererti hanya ada perubahan kosmetik semata-mata tetapi ia diberi tambah nilai mengikut cita rasa semasa.

Kita boleh samakan dengan penjenamaan semula coklat, yang mana coklat itu ditambah nilai dengan rasa baru yang lebih sedap manakala bungkusannya diperlihatkan dengan cara baru yang dapat menarik dan menawan orang untuk memakannya.

Penstrukturan semula bukan bererti hanya menarik suara ramai dalam membuat keputusan atau membawa penyertaan generasi muda semata-mata, tetapi ahli dilengkapkan dengan ciri kepemimpinan, kesetiaan dan perjuangan yang jitu.

Saya juga mahu ketengahkan bahawa Umno adalah parti untuk rakyat Malaysia, ini bermakna Umno bukan setakat berjuang untuk bangsa dan orang Melayu serta agama Islam tetapi untuk rakyat Malaysia seluruhnya.

BERITA MINGGU; Bagaimana dengan peluang Datuk Seri untuk memenangi kerusi Naib Presiden Umno berdasarkan sokongan yang diberikan serta jumlah pencalonan ketiga tertinggi untuk jawatan ini iaitu 82 pencalonan. Malah, Datuk Seri dilihat akrab dengan Timbalan Presiden sekarang, Datuk Seri Najib Razak. Adakah ini satu kelebihan kepada Datuk Seri?

Saya berterima kasih kepada mereka yang mencalonkan saya sehingga membolehkan layak bertanding jawatan ini. Saya mengharapkan sokongan yang sama diberikan sehingga terpilih menjawat jawatan penting ini.

Berdasarkan kepada pertemuan dengan perwakilan di peringkat akar umbi, mereka begitu ghairah untuk mengetahui wawasan dan apa yang bakal saya laksanakan jika terpilih sebagai Naib Presiden. Ini bermakna mereka (perwakilan) memilih pemimpin berdasarkan wawasan dan kebolehan, dan mereka memilih calon yang mereka rasakan boleh membawa perubahan kepada parti.

Mengenai hubungan baik dengan bakal Presiden, itu hanya tafsiran. Tidak semestinya hubungan dengan mana-mana tokoh dalam parti dijadikan kayu pengukur untuk perwakilan memilih pemimpin.

Hubungan baik saya dengan Timbalan Presiden sama juga dengan tokoh yang lain kerana kami pernah bersama-sama dalam Pergerakan Pemuda. Begitu juga dengan Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, hubungan antara kami baik dengan Datuk Seri Najib yang mana beliau menjadi Ketua Pemuda Pahang dan saya pula mengetuai Pergerakan Pemuda Sabah.

Kita tidak boleh lari daripada tanggapan, semua Menteri mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden dan Timbalan Presiden kerana hubungan kerja.

BERITA MINGGU; Benarkah sekarang sudah ada calon sesama calon membina team untuk memastikan kemenangan?

Saya tidak fikir ada team tertentu kerana berdasarkan pencalonan ada sembilan calon. Jika ada team maka tidak akan wujud sembilan calon untuk jawatan ini.

Mungkin ada orang mentafsir sebegitu (wujud team), tetapi saya sendiri tidak mempunyai kumpulan atau bekerjasama dengan kumpulan calon lain.

BERITA MINGGU; Bagaimana pandangan Datuk mengenai tanggapan ahli dan masyarakat mengenai sesetengah calon yang menang menggunakan wang. Tidakkah ia tidak adil kepada mereka yang menang?

Saya yakin perwakilan tidak memilih kepemimpinan berdasarkan wang saja, sebaliknya mereka melihat kepada kepemimpinan, kebolehan, pengalaman serta boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Sebenarnya, tiada parti yang tidak menggunakan wang ketika berpolitik. Wang masih diperlukan dalam politik terutama untuk kempen. Seperti pilihan raya Amerika Syarikat, Barack Obama dan lawannya menggunakan wang yang banyak dalam kempen masing-masing.

Dalam kes Obama dia menang bukan kerana wang, tetapi mereka yang menyokongnya yang mengeluarkan wang untuk memastikan kemenangannya.

Inilah realitinya, faktor politik wang kalau pun ada bukannya membabitkan keseluruhan dalam Umno, Mungkin segelintir saja. Persepsi yang salah mengenai politik wang dalam Umno itu perlu diperbetulkan.

BERITA MINGGU; Adakah pertandingan sengit ini tidak menjejaskan kekuatan parti dan kini timbul kebimbangan pemimpin Umno terlalu ghairah berkempen sedangkan tugas lebih penting ialah memperkukuhkan parti untuk menghadapi cabaran pembangkang, terutama di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat?

Saya tidak nampak pertandingan ini boleh menjejaskan kekuatan parti. Kalah dan menang adalah hakikat yang perlu diterima semua.

Pertandingan mendokong amalan demokrasi. Kesuburan parti akan lebih terserlah dengan adanya pertandingan. Fokus utama saya adalah untuk berkhidmat dan mengutamakan kerja dan tanggungjawab yang diberikan.

Saya akan menggunakan ruang yang ada untuk bertemu perwakilan ketika menjalankan tugas yang diamanahkan. Saya perlu mengetahui apa yang dikehendaki akar umbi dan perwakilan, dalam masa sama perwakilan perlu tahu apa yang saya mahu bawakan untuk Umno. Saya biasanya akan memastikan ruang masa itu tidak menggugat kerja saya sebagai menteri.

Saya berharap untuk menang dan perwakilan buatlah pertimbangan sewajarnya dan pembaharuan dalam Umno dapat disegerakan supaya parti ini terus kekal dan relevan dengan masa dan zamannya.

Cetak artikel | Hantar pada kawan

No comments: