Sunday, January 4, 2009

Blog Dr. M wujudkan ruangan iklan


ARKIB : 03/01/2009


KUALA LUMPUR 2 Jan. - Bermula tahun ini, blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad http:// www.chedet.cc mula menjual ruangan iklan khusus untuk syarikat-syarikat kecil pada kadar bayaran antara RM300 hingga RM1,000 sehari.

Pembantu Khas bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusof berkata, pengenalan ruangan iklan itu dilakukan atas dua sebab utama iaitu bagi memenuhi permintaan syarikat-syarikat perniagaan yang tertarik dengan bilangan pelayar ke blog tersebut serta menjana kewangan untuk penyelengaraan serta menaik taraf blog berkenaan.

"Dengan rekod pelayar mencecah sehingga hampir 11 juta dalam masa beberapa bulan sahaja, banyak pihak memberikan maklum balas agar ruangan iklan diadakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Blog Dr. Mahathir dibangunkan mulai Mei tahun lalu dan menjadi blog yang paling popular di negara ini hanya dalam masa beberapa bulan sahaja.

Televisyen

Tambah beliau, mengikut perancangan, pendapatan daripada hasil pengiklanan tersebut akan turut digunakan untuk meningkatkan taraf blog tersebut menjadi sebuah laman web interaktif yang mempunyai lebih banyak bahan termasuk televisyen dalam talian dan sebagainya.

"Pengiklanan ini sedang peringkat awal, kita hendak melihat sejauh mana maklum balas yang diterima apabila blog ini benar-benar dibuka untuk tujuan mengiklankan produk seperti yang diminta banyak pihak sebelum ini," katanya.

Katanya, Dr. Mahathir telah memberikan persetujuan agar diadakan iklan dalam blog beliau itu.

Tambah Sufi, setakat ini hanya ada sebuah sahaja syarikat yang mengiklankan produknya di blog tersebut tetapi menjangkakan jumlah itu berkemungkinan akan bertambah tidak lama lagi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tugas pengiklanan untuk blog itu dikendalikan oleh Mutual Digital Sdn. Bhd. dengan ruangan iklan diletakkan di bahagian atas dan tepi blog berkenaan.

Maklumat lanjut berhubung pengiklanan di blog itu boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-2284 4813/4815 atau 4816.

No comments: