Tuesday, January 27, 2009

UMNO; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin


Soal Jawab: Umno perlu pemugaran untuk jadi parti relevan
Oleh Nurul Adlina Kamaludin (BERITA MINGGU 25012009)

Pemimpin generasi muda kena berganding kongsi idea

Pemilihan Umno bagi jawatan Naib Presiden mencuri perhatian kerana sembilan calon akan bertanding. Selain muka lama, calon muka baru memperlihatkan kelebihan apabila mendapat pencalonan yang besar. Minggu ini, dua lagi calon Naib Presiden yang pertama kali mencuba nasib untuk merebut jawatan berkenaan memberikan pandangan mereka. Wartawan Berita Minggu, Nurul Adlina Kamaludin menemubual Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, manakala Rohaniza Idris bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

BERITA MINGGU; INI adalah percubaan pertama. Mengapa Datuk Seri membuat keputusan bertanding jawatan ini?

Saya mahu sama-sama menyumbang kepada kekuatan Umno yang berterusan bagi membolehkan Umno terus diterima rakyat. Bagi saya, ahli Umno perlu diberi pilihan melihat dan menilai semua calon yang menawarkan diri supaya dengan adanya pilihan itu, mereka tidak terikat dengan satu-satu calon.



Ia juga bertujuan supaya setiap yang menawarkan diri itu tahu tanggungjawab, komitmen dan hala tuju parti. Apabila berlaku proses ini mereka terpaksa memikirkan sejauh mana kemampuan untuk menjadi Naib Presiden atau jawatan lain.

Ahli Umno dapat menilai dan memilih mereka yang benar-benar terbaik. Ia bukan sekadar isi kekosongan jawatan Naib Presiden, tetapi meletakkan kepemimpinan yang tepat sebagai seorang Naib Presiden yang relevan, berkesan dan boleh berkongsi untuk mengeluarkan Umno daripada kemelut yang sedang dihadapi. Kerana itulah saya menawarkan diri.

Bukan saya saja, tetapi calon lain turut memikirkan cara mendalam, menunjukkan kehebatan dan kemampuan masing-masing supaya ahli Umno boleh menilai siapa yang terbaik. Pada akhirnya apa yang penting, Umno yang seharusnya menang.

BERITA MINGGU; Apa yang boleh Datuk Seri tawarkan jika dipilih Naib Presiden, terutama ketika keadaan Umno dikatakan lemah?

Saya lebih gemar melihat kita dapat melakukan proses rejuvenate (pembaharuan) Umno. Parti Umno patut belajar melihat kekuatan lama parti yang menyebabkan orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya, melihat Umno sebagai parti yang boleh memberi pembelaan kepada mereka.

Kita juga perlu melihat kepada senario hari ini yang mana Umno wujud dalam zaman ekonomi berasaskan pengetahuan.

Maka, berasaskan pada dua perkara ini, saya berasa Umno perlu melakukan pembaharuan semula. Ini hanya dapat dilakukan dengan memberi tumpuan kepada empat perkara:


Pertama: Integriti dan etika;


Kedua: Memasyarakatkan Umno dan ia perlu dilihat sebagai parti yang rapat dan menepati kehendak isi hati rakyat dan menjadi juara isu rakyat dan masyarakat;


Ketiga: Soal peningkatan ilmu, Umno mesti jadi parti yang menjuarai soal peningkatan kecemerlangan dan perluasan ilmu di kalangan rakyat dan membabitkan golongan intelektual bersama-sama Umno; dan


Keempat: Umno perlu berusaha tingkatkan kecemerlangan orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dipertikaikan atau diragui perlu diteliti semula dari segi pelaksanaannya kerana ramai yang kecewa dengan pencapaian dasar itu. Dalam hal ini, saya berasakan DEB perlu dipertahankan, khususnya bagi matlamat pembangunan semula masyarakat dan mengatasi kemiskinan. Cuma kaedah pengagihannya perlu diberi perhatian. Rakyat kini sudah bijak dan mempunyai banyak maklumat. Rakyat mahu mendapatkan peluang secara adil. Walaupun orang Melayu ada hak keistimewaan, ini tidak bermakna mereka tidak perlu kerja kuat, bersaing atau menunggu bantuan. Ini konsep yang salah.

DEB adalah usaha berterusan dan jangan dinilai dari segi usianya. Kita perlu tunjukkan Umno sebagai parti ada integriti dan etika, tingkatkan ilmu, tiada jurang antara Umno dengan masyarakat dan mencapai kemajuan. Apabila ini berlaku, saya yakin, rakyat akan kembali kepada Umno.

BERITA MINGGU; Apakah faktor negeri boleh menggugat kedudukan Datuk Seri kerana ada tiga wakil Johor, termasuk calon lebih senior sedangkan Datuk Seri dianggap mewakili generasi baru.

Calon Naib Presiden yang ramai dari Johor sebenarnya menunjukkan keupayaan negeri ini menampilkan pemimpin yang layak menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden. Ia juga menunjukkan Johor tidak hanya menampilkan satu calon yang perlu dipilih perwakilan.

Bagi saya, ini tidak menjadi masalah dan perwakilan boleh fikir siapa yang layak berasaskan ciri perlu ada dan dimiliki calon dari Johor. Jadi bagi saya, soal negeri ini tidak memberi masalah.

Soal saya mewakili generasi baru, mungkin dari segi usia. Usia 50 tahun yang saya berasa sebelum ini pada peringkat pemilihan Naib Presiden pernah menyaksikan pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjadi Naib Presiden. Seperti yang kita ketahui jawatan Naib Presiden itu adalah peringkat ketiga parti. Jadi takkanlah untuk peringkat ini, kita mahukan yang sudah lanjut usianya.

Saya juga ingin betulkan fakta, biarpun usia saya muda, tetapi saya sebenarnya sudah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal daripada 1990. Dalam parti pula, saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian sebelum Umno diharamkan lagi, iaitu pada 1987.

Saya juga menjadi Exco Pemuda sejak 1993. Jangan dinilai faktor usia kerana saya bermula pada usia muda atau dianggap terlalu awal. Bukan soal tua atau muda semata-mata, tetapi kemampuan untuk menyumbang kepada kejayaan parti. Jika muda, tapi tiada pengalaman, tidak matang, juga tidak berguna. Begitu juga jika tua, tetapi tidak manfaatkan pengalaman pun, tidak bererti.

Apa yang penting biarlah ahli menilai sama ada kita ini berkemampuan, ada komitmen, daya juang tinggi atau pun tidak dan faham apa yang akan dilalui. Kedudukan yang hendak diambil itu bukan untuk kepentingan diri, tapi sebenar-benarnya ikhlas supaya kekuatan parti ini dapat dikembalikan.

BERITA MINGGU; Datuk Seri mempunyai jawatan dalam Kabinet yang dianggap kelebihan kerana memudahkan mendapat sokongan peringkat akar umbi berbanding mereka di luar kerajaan.

Saya melihat perwakilan Umno sudah bijak dan matang. Jika kita kata orang yang pegang kedudukan ada kelebihan, maka saya ingat semua yang pegang jawatan itu akan bertanding. Tetapi itu tidak berlaku. Bagi mereka yang tiada jawatan dalam Kabinet, buat apa pula mereka menawarkan diri jika berasakan tidak mempunyai kelebihan. Ini sebenarnya bukan satu isu. Mereka yang pegang jawatan kerajaan sebenarnya turut menyokong falsafah dan prinsip perjuangan parti.

Malah kita sebenarnya diukur sejauh mana kemampuan menterjemahkan falsafah dan perjuangan parti itu apabila diberi kuasa memimpin. Itu ukuran yang akan diberi perwakilan terhadap kita. Sama ada kita diterima atau melepasi kelayakan. Mereka yang tidak pegang jawatan dalam kerajaan sebaliknya akan diukur dengan cara lain, mungkin dari segi semangat dan kefahaman mengenai perjuangan, komitmen. Jadi isu ini tidak timbul.

Sebab ada juga yang sebelum ini cakap berkobar-kobar tetapi apabila menganggotai kerajaan, tak dapat laksanakan atau terjemahkan aspirasi parti.

BERITA MINGGU; Datuk Seri dilihat sebagai seorang pemimpin yang serius, tidak suka berjenaka dan kurang mesra. Tidakkah ini menjadi halangan atau jurang pemisah antara pemimpin dengan rakyat?

Saya fikir rakyat, ahli Umno dan negara sememangnya mahukan saya menjadi seorang yang serius. Jika tak serius, sudah pasti satu benda pun tak tercapai dan menggagalkan hasrat dan harapan mereka. Saya perlu serius kerana tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya juga serius.

Sebelum ini tugas (sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) membangunkan aspek keusahawanan di kalangan Bumiputera. Ini kerja serius kerana kejayaan kita melahirkan usahawan, akan membolehkan penyertaan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Tidakkah ini perkara yang tidak serius?

Dan sekarang, saya memegang jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi yang memerlukan soal menentukan rakyat Malaysia menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Apalagi kita berada pada era ekonomi berasaskan pengetahuan. Jika kita tidak dapat membangunkan sumber manusia dan tahap ilmu yang tinggi, sudah pasti merencatkan usaha negara untuk bersaing dengan negara asing. Jika saya diberi tanggungjawab perkara yang serius, tetapi saya tunjukkan yang saya sentiasa buat gelak, bukankah ini boleh menyebabkan orang hilang keyakinan terhadap saya.

Ada tempat kita serius, ada tempat kita boleh relaks. Jadi isu ini tiada masalah. Malah dalam media sejak sebulan lalu, banyak gambar menunjukkan saya ketawa. Jadi saya pun hairan mengapa orang kata saya serius. Apa yang penting, saya memang buat kerja secara serius. Saya menginsafi jika saya gagal, negara saya juga gagal. Jadi saya tidak boleh tidak serius. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak mesra dengan orang ramai dan sedia membantu. Ringkasnya, saya serius tapi mesra. Jadi orang ramai tidak perlu khuatir mengenainya.

BERITA MINGGU; Apakah ciri seorang Naib Presiden kerana kini didakwa ada calon mempunyai latar belakang politik wang turut layak bertanding?

Perkara pokok di sini adalah memahami keadaan semasa dan rakyat. Perlu ada kewibawaan, mempunyai idea yang besar untuk meneruskan pembangunan dan kejayaan negara dan rakyat. Perlu ada integriti dan etika dalam semua perkara yang mahu dibuat. Atas sebab itulah saya kembali kepada perkara asas menawarkan diri, iaitu memberi pilihan kepada perwakilan.

Mereka perlu memikirkan secara mendalam apakah yang perlu menjadi asas dalam pemilihan pemimpin. Pilihan itu memaksa mereka memikir dengan mendalam. Jika berfikir dengan melihat aspek luaran tanpa mengutamakan soal dalaman, maka pemimpin yang dipilih juga lemah. Ini boleh memudaratkan parti. Pemilihan yang dibuat kepada asas yang lemah akan hasilkan pemimpin yang lemah.

BERITA MINGGU; Tidakkah pertandingan sengit bagi jawatan ini akan menjejaskan kekuatan parti?

Perlu diingat proses penawaran diri untuk pilih pemimpin secara demokrasi. Mendengar pandangan ahli biasa. Demokrasi juga menjadi cara pemilihan pemimpin parti dan proses yang perlu dilalui. Perpecahan biasanya berlaku selepas pertandingan. Saya percaya jika pemimpin itu yang tepat dan pemilihannya menepati caranya, maka saya percaya Umno tidak akan berpecah sebaliknya kuat.

BERITA MINGGU; Timbul kebimbangan pemimpin Umno terlalu ghairah berkempen sedangkan tugas lebih penting ialah memperkukuhkan parti untuk menghadapi cabaran pembangkang, terutama di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat?

Saya rasa kempen itu memberi peluang untuk mereka menawarkan diri bertemu dengan ahli Umno, menjelaskan isu semasa dan tindakan yang diambil. Saya tidak fikir tindakan calon berkempen itu salah atau mengabaikan tugas penting memperkukuh parti. Mereka bukannya datang memberikan senyuman semata-mata, tetapi perlu bercakap menjelaskan perkara yang membantu parti dan juga kerajaan.

Saya tidak percaya tindakan ini boleh menyebabkan calon mengabaikan tugas. Sebagai menteri, kita berkempen sepanjang masa kerana proses itu berterusan. Jika kempen pada saat akhir, itu yang rakyat tak faham. Umno pada peringkat bahagian pun perlu bergerak sepanjang masa. Jangan masa nak pilihan raya baru bergerak. Ini menjadi antara sebab Umno kalah. Program berterusan perlu ada bagi pengisian berpanjangan. Ahli parti juga mempunyai peluang bertanyakan secara terus dan mengenali pemimpin. Ini penting bagi memastikan pemimpin ini menjadi pilihan yang tepat.

Pemimpin juga perlu merangka perkara yang relevan kepada ahli. Jika pemimpin tak kenal ahli, macam mana mahu fikirkan perkara keperluan masyarakat serta masalah yang ada di kawasan itu.

Bagaimana peluang Datuk Seri dalam persaingan ini. Datuk Seri juga dilihat akrab dengan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Adakah ini satu kelebihan.

Saya mengakui memang akrab dengan Datuk Seri Abdullah kerana beliau adalah Presiden parti dan saya pula seorang pemimpinnya. Tak masuk akal hanya kerana wujudnya proses peralihan ini, saya mahu menukar pendirian dengan mengakui kami tidak rapat. Saya bukan jenis itu. Beliau kekal atau tidak, saya memang rapat dengannya. Itulah kesetiaan saya dan pendekatan itulah yang akan saya lakukan apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan Presiden parti.

Datuk Seri Najib juga akan mendapat sokongan penuh dan taat setia saya dalam usaha bersama menjayakan parti dan kerajaan. Jadi pada saya, soal ini tidak perlu disorok. Kerana perlu diingat hakikatnya, dalam Umno cuma ada seorang Presiden dan dalam negara cuma ada satu Perdana Menteri. Kita akan sokong satu Presiden dan satu Perdana Menteri.

BERITA MINGGU; Benarkah sekarang sudah ada calon sesama calon membina 'team' untuk memastikan kemenangan?

Wallahualam. Ini disebabkan apabila kita menghadiri perwakilan, kita bukan datang bersama, sebaliknya sebagai individu.

BERITA MINGGU; Pandangan Datuk Seri mengenai tanggapan ahli dan masyarakat sesetengah calon yang menang menggunakan wang? Tidakkah ini tidak adil kepada mereka yang menang?

Setakat ini saya tidak tahu siapa yang menang menggunakan politik wang. Tapi saya hanya mahu katakan perkara ini memang sesuatu yang kita tidak mahu berlaku dalam parti. Saya minta perwakilan mengutamakan dan mempunyai kekuatan diri.

Apabila berdepan pelbagai dorongan di depan mata, mereka perlu mengutamakan asas tepat untuk buat penilaian dan pilihan. Walaupun mungkin ada berlakunya kejadian politik wang, saya juga percaya, berasaskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 dan dua pilihan raya kecil, perwakilan akan ada kekuatan untuk menentukan yang terbaik demi parti.

Saya yakin perwakilan memikirkan nasib bangsa, agama dan negara yang bukan saja untuk masa sekarang, tetapi pada masa depan.



Cetak artikel | Hantar pada kawan

No comments: