Sunday, January 4, 2009

UMNO; Bersama Datuk Seri Syed Hamid Albar



Soal Jawab: Pengalaman aset berharga pertingkat kekuatan UMNO



BAHANG pemilihan Umno semakin dirasai. Selain jawatan Timbalan Presiden, pertandingan peringkat Naib Presiden dianggap sengit kerana menyaksikan sembilan pemimpin menawarkan diri. Setiap calon yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing. Minggu ini, dua lagi calon Naib Presiden yang bukan saja dianggap kanan dalam parti dan kerajaan, malah berpengalaman bertanding jawatan ini memberikan pandangan mereka. Wartawan Berita Minggu, Rohaniza Idris menemubual Datuk Seri Dr Rais Yatim, manakala Ziauddin Sharuddin bersama Datuk Seri Syed Hamid Albar.

SELEPAS kali pertama bertanding jawatan Naib Presiden pada 1996 dan kemudian pada 2000, apakah yang menyebabkan Datuk Seri menawarkan diri bertanding kali ini.

Umno semakin lama semakin terputus dengan masa lalu. Walaupun mempunyai orang yang bijak dan berkebolehan, kita perlu menghubungkan parti dengan sejarah dan latar belakang Umno, iaitu pengalaman dan pendedahan supaya wujud kesinambungan dalam parti.



Dalam suasana hendak mengisi kepemimpinan parti dengan tenaga baru dan segar serta ada keupayaan pemikiran, kita perlukan golongan berpengalaman, bijaksana dan memahami sejarah. Ini membolehkan Umno menggunakan kedua-dua kekuatan itu.

Berdasarkan pendedahan dan pengalaman dalam pelbagai bidang, termasuk peringkat serantau dan antarabangsa, saya menawarkan diri untuk memberikan perkhidmatan kepada parti. Saya percaya dapat menunaikan peranan ini kerana saya daripada golongan lama dan berpengalaman.

Saya tidak terikat dengan cita-cita. Saya hanya mahu mengembalikan maruah dan mengukuhkan parti. Jika kerajaan kuat, tetapi parti lemah, akhirnya kita akan hilang kerajaan. Sebaliknya, jika kerajaan berdepan masalah, tetapi parti kuat, insya-Allah kita akan dapat mempertahankan kedudukan dalam kerajaan kerana Umno adalah parti pemerintah.





Sebab itu, ketika ini, saya fikir dalam sisa-sisa hidup ini, ada baiknya kali ini saya menawarkan untuk menghubungkan dengan tenaga dan kesegaran yang ada serta kesihatan yang masih bagus dan dengan pengalaman yang ada untuk bekerja dengan semua golongan.

Saya tidak ada jurang dengan generasi muda kerana saya adalah reformis dan pemikiran saya selalu radikal. Sejak zaman pemimpin dan aktivis pelajar, saya sentiasa tidak bermasalah untuk mendengar dan memahami suara orang muda. Walaupun dianggap sebagai golongan lama dalam Umno, saya boleh mendengar suara yang memberikan semangat baru. Cuma saya fikir kekurangan dalam semangat baru ialah pengalaman. Jika ada tenaga dengan pengalaman, ia adalah tenaga sinergi yang mempunyai hubungan simbiosis.

Apakah kriteria yang perlu ada pada seorang Naib Presiden. Menjadi pelengkap kepada Presiden dan Timbalan Presiden atau bersikap lebih kritis.

Jika hendak menentukan Umno menjadi parti yang kuat, tidak boleh semua orang hanya bersetuju. Bagaimanapun, tidak bersetuju ada hadnya. Kita mesti sanggup memberikan pandangan yang kritis dan mungkin berbeza.

Pada masa sama apabila sudah ada keputusan, kita mesti bersama-sama mendokong keputusan itu. Jika tiada kesepakatan demikian, Umno akan hancur. Masing-masing dengan pemikiran sendiri dan kemudian didedahkan kepada khalayak. Orang akan hilang keyakinan bahawa Umno mempunyai kesepakatan dan perpaduan.

Saya mengambil konsep Islam dalam pemilihan pemimpin, iaitu pemimpin mesti ada beberapa sifat dan paling mustahak adalah amanah yang bukan hanya kepada dirinya, tetapi kepada orang yang dipimpin dan kepada pemimpin lain. Kedua, siddik, iaitu menceritakan kebenaran walaupun pahit sekalipun.

Mesti ada tabligh. Kita mesti mempunyai pendekatan untuk menceritakan apa yang kita lakukan. Jadi orang boleh membina keyakinan. Akhir sekali ialah fatanah atau kebijaksanaan. Bagaimana hebat pun, jika tidak menggunakan kebijaksanaan, kita akan tewas. Dalam mana-mana peperangan, sama ada politik atau konvensional, penentu kemenangan ialah strategi yang tidak akan tercetus tanpa kebijaksanaan.

Tidakkah terlalu ramai apabila sembilan orang bertanding Naib Presiden.

Ada dua perspektif yang boleh dilihat dalam isu ini. Ada yang berpendapat terlalu ramai dan menunjukkan bahawa tidak ada perpaduan di kalangan pemimpin Umno. Pada masa sama, selepas berdepan krisis kewibawaan dan integriti Umno, saya tidak hairan ramai yang menawarkan diri supaya perwakilan mempunyai pilihan terbaik menentukan pemimpin yang akan menjamin masa depan lebih mantap kepada Umno sebagai parti teras kepada pemerintahan negara.

Ramai perwakilan menyatakan bahawa bagus apabila ramai bertanding kerana mempunyai lebih banyak pilihan. Jika begitu sikap perwakilan, kita berharap mereka akan memilih yang terbaik untuk Umno.

Apakah kedudukan dalam Kabinet memberi kelebihan kepada calon, termasuk Datuk Seri.

Saya melihat orang tidak lagi memperkatakan mengenai kedudukan dalam kerajaan. Ahli dan perwakilan lebih melihat kewibawaan dan integriti pemimpin. Oleh itu, sama ada kedudukan dalam Kabinet atau tidak, bukan menjadi perkara utama. Saya percaya mereka akan membuat keputusan berdasarkan keakraban pemimpin dengan akar umbi.

Apabila berjumpa perwakilan, saya melihat mereka mahu mengembalikan pemimpin kepada akar umbi kerana berasakan jurang antara pemimpin dan akar umbi sudah terlalu jauh. Mereka mahu pemimpin turun padang dan berdialog dengan akar umbi. Ramai perwakilan mengadu bahawa ahli dan pemimpin menjadi rapat apabila ada pertandingan. Jika tiada pertandingan, seolah-olah ada jurang.

Oleh itu, Umno mesti kembali kepada pokok perjuangan, iaitu tunjang parti adalah akar umbi yang tidak boleh dipisahkan. Bagaimanapun, bukan akar umbi terpilih. Kadang-kadang akar umbi sama ada peringkat cawangan atau bahagian berpuak-puak dan apabila ini berlaku, mereka yang tidak menyebelahi sesuatu kumpulan tidak dapat mengambil bahagian dalam program akar umbi.

Apakah pencalonan tinggi yang diterima oleh calon bakal menggambarkan jumlah undi yang akan diterima dalam pemilihan sebenar atau keadaan menjadi sebaliknya.

Dalam sejarah Umno, kedua-dua tanggapan ini ada kebenarannya. Pertama, yang mendapat pencalonan tinggi tidak semesti menggambarkan keputusan akhir. Begitu juga yang terendah tidak semesti tertinggal. Kedua-duanya ada kebenaran. Ada masa pencalonan tinggi akan dapat diterjemahkan dan ada masa, calon yang mendapat pencalonan rendah juga menang. Kita perlu bekerja keras untuk meyakinkan perwakilan dan kuasa pemutus adalah di tangan mereka.

Jika menang jawatan Naib Presiden, apa yang akan Datuk Seri akan lakukan.

Saya mahu melihat Umno yang dibina oleh golongan lama diwarisi oleh generasi muda dan dianggap sebagai relevan untuk perjuangan politik Malaysia. Umno perlu terus dihormati dan disegani. Bagaimanapun kita perlu menerima hakikat bahawa sekarang, kegerunan dan penghormatan orang terhadap Umno sudah hilang dan terjejas. Saya melihat ini sebagai tumpuan utama jika menang.

Sebab itu saya bercakap mengenai kewibawaan dan integriti Umno. Kita mahu betul-betul menjadi tonggak dan pemimpin kepada Barisan Nasional (BN). Umno bukan parti perkauman kerana walaupun dianggotai orang Melayu, matlamat kita ialah untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Kita sudah melaksanakannya tetapi sekarang, orang bukan saja mencabar Umno, malah bangsa, agama, budaya serta mengungkit perkara lama.

Tiga calon yang bertanding adalah dari Johor. Ramai melihat tidak mungkin ketiga-tiga calon dari satu negeri akan menang. Ada juga pandangan bahawa seorang Naib Presiden dari Johor sudah mencukupi. Pandangan Datuk Seri.

Ketika penubuhan Umno, kita hendak memadamkan semangat berpuak-puak dan kenegerian. Kali ini, kita bukan memilih negeri, tetapi pemimpin kebangsaan. Yang kita hendak letakkan bukan pemimpin dari negeri walaupun kita datang dari negeri. Saya fikir kriteria pemilihan adalah memilih yang terbaik untuk Umno supaya parti terus menjadi tonggak kepemimpinan negara.

Saya fikir perwakilan tidak membincangkan sangat isu ini, tetapi lebih melihat aspek personaliti, kewibawaan dan sumbangan kepada parti. Lagi pun, kita melihat pertandingan dalam parti komponen BN atau pembangkang, mereka bertanding tanpa mengira negeri.

Malah pada suatu masa dulu, Umno pernah mempunyai ketiga-tiga Naib Presiden dari Johor. Pulau Pinang yang hanya mempunyai beberapa bahagian pada suatu masa pernah mempunyai dua Naib Presiden. Saya harap faktor negeri tidak menjadi faktor yang difikirkan perwakilan kerana kita berada dalam suasana hendak menentukan masa depan parti.

Selepas keputusan pemilihan pada 2000, Datuk Seri mendakwa politik wang masih berlaku tetapi sukar dibuktikan. Apa pandangan Datuk Seri apabila politik wang terus diperkatakan dalam pemilihan kali ini.

Penggunaan wang dalam politik adalah lumrah. Ia adalah amalan sejagat kerana dunia ini adalah berasaskan sistem kewangan. Apa juga yang kita hendak lakukan mesti mempunyai unsur wang. Masalah timbul apabila kita menodai politik dengan menggunakan wang untuk membeli pengaruh atau mendapatkan sokongan. Perbuatan itu salah kerana adalah rasuah politik dan mesti ditentang setiap pemimpin dan ahli parti.

Hanya yang membezakan ialah Umno adalah parti terbuka dan telus. Apa juga yang berlaku dalam Umno, semua orang bercakap dan membincangkan seolah-olah semua parti lain adalah malaikat. Saya fikir yang hendak kita hapuskan ialah rasuah dalam politik. Rasuah tidak semesti wang, ia boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan. Tetapi kalau kita hendak pergi dari A ke B, semua itu menggunakan wang.

Isu lain ialah pertandingan peringkat tinggi, termasuk Naib Presiden, dikhuatiri boleh menimbulkan perpecahan dalam parti. Adakah Datuk Seri bersetuju dengan tanggapan ini.

Saya berharap di peringkat tinggi, kita mempunyai kematangan yang lebih mendalam dan tidak berpuak-puak hingga menjadi assabiyah. Sebenarnya tidak mengapa jika seseorang suka kumpulan itu atau ini, tetapi jangan membawa kumpulan itu berpisah dengan kumpulan lain.

Pemilihan akan datang adalah pertandingan dalam satu keluarga dan bukan bertanding dengan musuh. Kita ada musuh politik di luar Umno dan bukan dalam Umno. Kita perlu fokus kepada musuh politik sebenar dan jangan bermusuhan sesama kita yang akhirnya kita mengalahkan diri sendiri. Saya tidak mahu melihat kita menang tetapi parti hancur.

Cetak artikel | Hantar pada kawan

No comments: