Thursday, June 6, 2013

Hikayat BN parti tunggal::Suatu hikayat buat renungan bersama

1.0 BACALAH dengan minda yang terbuka pepatah lama karangan orang dulu kala. Tentu banyak yang tersirat di dalamnya meskipun tidak ramai yang memahaminya kerana sudah terlalu moden adanya sehingga kehilangan jati diri dan rupa bangsa. Maka tentulah sukar untuk memahami duduk perkara dan buah bicara Melayu yang begitu hebat susun aturnya.

2.0 Arakian maka berlarilah semua para pembesar ke seluruh negara apabila melihat huru hara bakal menjelma. Sudah gemuruh bunyi garuda, sudah gegak gempita seantero benua bahawa malapetaka sudah menunggu hanya bala belum tentu bila ketikanya.

3.0 Ditanya oleh memanda menteri kepada sekelian pembesar negara bagaimana keadaan cuaca dan duduk bangun rakyat jelata semua?

4.0 Tanpa ragu, melompat-lompat seperti kera kena belacan para pembesar memberi laporan bahawa semuanya dalam sejahtera wahai mamanda. Janganlah bimbang, rakyat sangat gembira, hidup bagaikan dalam syurga loka. Makanan melimpah ruah, ayam itik penuh di kandang, padi beras penuh di gudang. Rakyat jelata semua jelas kekenyangan hingga mata puteh bundar dan buntang.

5.0 Mafhum aula sungguh gembira menteri memanda apabila mendengar perkhabaran itu. Lantas apakah yang riuh rendah dan gegak gempita di hujung sana soal memanda lagi. Oh, itu sebenarnya itu kumpulan pedagang yang datang menumpang kasih dan melulur sayang dari ka. Ada si Kitul dan juga ada Sang Li Po juga turut serta.

6.0 Lantas kerana rakyat jelata sudah cukup semua, moleklah juga kita tumpukan perhatian kepada mereka yang ke mari menumpang kasih. Berikanlah segala bantuan selagi terdaya walaupun tidak diminta oleh mereka kerana kita ini memang terkenal sebagai pemurah yang melimpah ruah sehingga tidak luak susu sebelanga, tidak surut air di sumur jika sekadar dikongsi dengan mereka. Berikanlah selagi mereka mahu.

7.0 Gagasan satu negara kita kongsikan juga, tidak mengapa kerana mereka itu tamu kita. Kena muliakan dan berikan perhatian. Bangsa kita sudah senang lenang, campaklah sebiji benih di belakang kandang nescaya esoknya tumbuh subur hingga menjadi ladang. Tentulah ayam di kepuk tidak mati kelaparan dan itik di air tidak akan mati kehausan.

8.0 Melopong dan terngangalah sekelian rakyat jelata, bila mana memanda menteri terus-terusan memberi tanpa henti kepada para tamu itu adanya. Malah tanpa diminta, diberi juga. Lalu fikir mereka barangkali hanya untuk sementara sahaja. Mungkin ada nazarnya sebab beroleh kebajikan atau mimpi terpijak batu permata berjuta-juta. Lantas ditanya rakyat jelata kepada pembesar daerah, pembesar negeri dan juga pembesar negara apa makna ini semua.

9.0 Lantas kata para pembesar itulah perkongsian pintar namanya. Hak kita biar diberi sama rata, hak mereka tentulah mereka akan jaga sebab sudah jauh mereka berkelana dari benua nun jauh di sana ke negara kita. Berikanlah kesenangan kepada mereka sebab nanti mereka lebih gembira untuk tinggal bersama kita. Makan bersama malah disuapkan pula adanya.

10.0 Makin melopong lagilah rakyat marhaen yang sudah sekian lama tidak disapa. Malah jalan ke desa juga sudah terlupa agaknya.

11.0 Sahibul hikayat mengirim pesan dan menitip khabar pada memanda menteri katanya sudah terlupakah kami di sini sana hingga atap tiris sini sana, anak perut kembung angin sahaja, nak santap untuk hari ini pun susah sungguh rasanya entah esok lupa bagaimana pula. Kenapa gah benar memberi, tidak kasihankah kepada kami, segala bakti telah kami beri tapi kami dipandang sepi. Perkiriman dikhabarkan pada pembesar, tidak disampai kepada memanda sebab bunyinya berbeza sudah tentu nanti dimurka.

12.0 Purnama berlalu pergi, sudah sekian lama dinanti umpama elegi dalam sepi. Harapan hanya tinggal harapan, yang ada di hadapan cuma kegelapan. Tidak dilihat lagi semarak kasih kepada pertiwi, malah segala harapan luntur di bawa angin sepi.

13.0 Memanda menteri amatlah gembira, sebab rakyat makin makmur adanya. Dikhabarkan lagi bahawa rakyat tersangatlah menyayangi memanda menteri yang sentiasa dipandang tinggi kerana seluruh negara diberikan perhatian yang berlebihan sehingga tidak ada lagi ruang untuk berbakti dan memberi sumbangan. 

14.0 Sudah lebih dari kecukupan, sehingga ramai pula yang ditimpa musibah akibat terlalu senang hidup mereka. Kerana itu perlu berhati-hati untuk memberi lagi sebab dikhuatiri mendatangkan musibah kepada rakyat sendiri. Yang buncit perutnya ditakuti busung, yang besar kenderaannya khuatir tidak muat di aspal sana. Malah sudah ramai yang mata, hidung dan telinga mereka juga tersumbat akibat terlalu senang dan mewah adanya sampai terpaksa menyumbat segala macam lebihan ke segenap ruang yang berlubang.

15.0 Memanda menteri bertanya lagi, di mana pula perlu dilawati, siapa pula patut diberi bantuan duniawi.
Dicarilah orang bijak pandai, maka dipalu genderang riuh rendah merata-rata sehingga ke tepi belantara. Akhirnya datanglah sekumpulan kera mengadap memanda menteri dan terus menangis dan merayu katanya mereka kekurangan susu.

16.0 Kasihan sungguh memanda menteri yang tulus orangnya sangat hebat kasihnya pada rakyat jelata. Lantas dititahkan kepada pembesar yang turut serta, segeralah kalian berkejar mencari susu untuk si kera ini kerana terlalu sedihnya wajah dan kurusnya tubuh, dan kuningnya kulit dan sebahagian mereka pula sudah hitam seperti terbakar matahari kerana terlalu kuat berusaha untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.

17.0 Lalu dicarilah segera si ibu dan bapa penyusuan, kerbau lembu rakyat juga diambil bagi memenuhi keperluan kera di hutan. Melompatlah rakyat marhaen anak yang di pangkuan juga sudah kering susuan, hanya mengharap ternakan bagi mengganti susuan.

18.0 Hijau kuning mata, berdesing juga telinga, rambut lebat juga gugur semua. Apakah ini maknanya, berikan betis mahukan paha. Ini sudah terlebih agaknya siapalah punya angkara.

19.0 Di kalangan rakyat jelata, ada Luncai namanya. Amat santai orangnya, bila ditanya apa cara mahu dipinta hak kita apa guna bernegara bila mana terlepas semuanya. Lantas dijawab oleh si Luncai 'biarkan biarkan, biar terjun dengan labu-labunya'.

20.0 Memanda menteri semakin leka, hingga seluruh negara dilawatinya kerana kebajikan ingin diberi. Katanya biarlah kita korbankan jiwa raga asalkan rakyat gembira umpama hidup dalam syurga meriah sungguh siang malamnya sentiasa umpama sedang berpesta. Berarak dan berusunglah ke sini sana.

21.0 Sudah kering air mata, sudah kurus anak di pangkuannya tapi terpinggir tidak dipeduli. Para kera semua hebat sungguh mutakhir ini adanya. Besar tubuh menjangkau enau, habis dilanggar kalau tidak ketepi, pengsan atau boleh mati jika tidak dituruti.

22.0 Beginilah onarnya mereka, berdusta setiap masa, mengadu domba tanpa sebarang rasa, malah terasa hebat sungguh adanya kera memanda menteri percaya umpama dipusing seperti roda dan terkesimalah dulu kini dan selamanya.

23.0 Bukalah mata segera, bukalah minda sentiasa, jauhkan sengketa kerana sangat merbahaya. Jurang dalam menunggu kita, rakyat marhaen tidak lupa akan segala auta umpama kancil dan pelanduk nampak serupa tapi ia tetap berbeza. Hanya jauhari mengenal manikam mereka meskipun jenisnya berbeza.

l PENULIS ialah Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130602/re_03/Suatu-hikayat-buat-renungan-bersama#ixzz2VKNd2Zfz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: