Sunday, December 30, 2012

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyamakan al-Quran dan Bible berhubung penggunaan kalimah Allah dalam laman sosial Twitternya

Koo Ham hina umat Islam dan al-Quran

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Tindakan terbaru Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyamakan al-Quran dan Bible berhubung penggunaan kalimah Allah dalam laman sosial Twitternya kelmarin, bukan setakat menghina umat Islam malah menghina kitab suci al-Quran.

Sehubungan itu, aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin mahu pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada kerana Koo Ham ternyata telah menyentuh sensitiviti umat Islam.

Bukan itu sahaja, beliau turut menyifatkan perbuatan Koo Ham itu sebagai satu bukti jelas bahawa DAP sememangnya mempunyai agenda selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memperkatakan perkara sama.

“Ini bukan kali pertama Koo Ham membuat kenyataan yang menghiris hati umat Islam. Telah beberapa kali beliau lakukan. Oleh itu kita mahu pihak berkuasa bertindak atas kelancangannya itu.

“Kita juga menuntut Koo Ham menarik balik kenyataan tersebut,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laman sosial Twitter semalam, Koo Ham yang juga Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Just like the Quran, the Bible also use many names to describe God into different circumstances to describe the attributes of God (Seperti al-Quran, Bible juga menggunakan banyak nama untuk menjelaskan tuhan dalam keadaan yang berbeza untuk menggambarkan sifat-sifat tuhan)
.
Koo Ham dalam tweetnya juga meminta pakatan pembangkang ‘bersatu’ apabila berdepan isu tersebut dengan tidak bertelagah antara satu sama lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Hafiz yang juga Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) berkata, desakan berterusan DAP untuk menggunakan kalimah Allah di dalam Bible versi Melayu mesti dihentikan segera.

“Ini soal akidah yang wajib kita pertahankan. Saya serta rakan-rakan di sini akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi menentang permintaan yang melampau ini.

“Paling saya kesal tindakan Koo Ham menyamakan kitab suci al-Quran dengan Bible. Ini merupakan satu bentuk penghinaan daripada Koo Ham. Sekali lagi saya amat berharap pihak berkuasa jangan berdiam diri," katanya.
(terima kasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121230/dn_04/Koo-Ham-hina-umat-Islam-dan-al-Quran)

No comments: