1.0 Antara masalah komunikasi dalam kalangan anggota masyarakat moden ialah perbezaan parti politik. Si Mahmud ialah penyokong kuat parti X, dan Si Morad pula penyokong kuat parti Y. Jika mereka tidak bertemu, tidak mengapa. Apabila bertemu, masing-masing berhujah, bahawa parti masing-masing  baik dan betul.
2.0 Dalam keadaan begini, Brian Tracy bertanya, adakah anda mahu yang betul atau yang membahagiakan? Pertanyaan itu dimuatkan dalam bukunya No Excuses. Brian Tracy menyatakan pengalamannya yang elok benar dicontohi. Katanya, ketika dia bersua dengan kawan-kawan baiknya yang berbeza fahaman politik, hal yang berkaitan parti tidak dicakapkan. Banyak sekali perkara lain yang dapat dipilih untuk diperbualkan.

3.0 Brian Tracy menyatakan satu perkara yang amat mudah. Dia berpesan agar janganlah hanya kerana parti politik anggota masyarakat bercakaran. Dia  bukannya orang Malaysia, jadi dia tidak tahu bahawa di Malaysia ada masalah hubungan antara sejumlah orang Umno, Pas dan PKR yang tidak dapat duduk elok-elok dan berbual-bual molek-molek.

4.0 Sebahagian orang  MIC, DAP dan MCA pun tidak selesa untuk minum kopi bersama-sama. Mereka terlupa bahawa politik sebenarnya mainan orang atasan yang mahu terus di atas, dan sejumlah yang ‘kurang atas’ mahu naik lebih atas. Orang kuat pembangkang mahu jadi kerajaan. Rakyat biasa akan kekal di tahap lama.

5.0 Sesiapa yang mengambil masa sejam dua merenungi politik, akan disedarinya bahawa politik memang berkaitan dengan orang atasan. Jika seseorang yang aktif itu orang bawahan, cita-citanya ialah untuk jadi orang atasan juga, atau bergantung kepada orang atasan.

6.0 Orang-orang yang sedang memulakan aktiviti politik akan mencari jalan agar dikenali orang atasan. Jika dia merasakan dirinya lemah dia akan menolong calon wakil rakyat, selaku  calon orang atasan.

7.0 Renungilah. Jika ada program Umno, peserta yang datang akan bersalaman dengan pemimpin Umno yang mengetuai program itu. Akan dicakapkan apa-apa, misalnya dirinya ketua cawangan. Demikian juga jika PKR melaksanakan program.
8.0 Akan ada sejumlah penyokong yang berdiri tercegat di tempat akan dilalui pemimpin atasan PKR, yang dijangka menjadi pemimpin negara. Diperkenalkan diri, misalnya dia ialah pemimpin cabang. Pemimpin besar tersengih, dalam hati muncul fikiran, “Kamu tolong aku ni ikhlas ke hipokrit? Jika hipokrit pun tak apa, belum tentu aku akan tolong kamu.”

9.0 Dalam hal seperti di atas, kegiatan politik boleh berjalan terus. Masalah yang hendak ditekankan dalam konteks ini ialah ahli-ahli yang berlainan parti menyangka masing-masing di pihak benar. Siapakah benar antara parti-parti yang akan berlawan? Ini ialah soalan retorika Gerald Jampolsky: “Do you want to be right, or do you want to be happy?”

10.0 Jika kita memilih untuk bahagia, janganlah kita terlalu merasakan kita di pihak yang benar. Ini berkaitan politik jenis biasa, seperti DAP, MCA, MIC, Umno, Pas dan PKR. Mungkin pada satu masa akan muncul parti politik yang hanya menyokong kebenaran, tidak memikirkan jawatan. Pada masa itu, bolehlah kita berkata, “I want to be right.”

11.0 Sebelum muncul parti politik yang pemimpinnya ikhlas (iaitu  betul-betul mahu menjadi nelayan atau khadam), kita kenalah menghargai  persahabatan tanpa menyinggung pegangan politik kepartian. Dunia moden tidak begitu mengizinkan kemunculan pemimpin yang mengetepikan kebendaan.

12.0 Dalam dunia moden, ilmu selalu digunakan untuk menaikkan keluarga dan kawan-kawan. Oleh itu, pemahaman terhadap hakikat persekelilingan hendaklah dipertajam. Persahabatan dan persaudaraan perlu kekal, biarpun parti berlainan. Setiap orang yang menyertai atau menyokong satu-satu parti politik sewajibnya sedar, di sekitar kegiatan politik ialah hasutan-hasutan.

13.0 Para penyokong politik rata-ratanya ialah mangsa hasutan. Saya menyedari hal ini kerana membaca tulisan Hishamuddin Rais. Ketika kita memarahi pihak yang menghasut, kita juga sedang menghasut. Jika kita menolak satu hasutan, kita sebenarnya menerima hasutan lain. Itu berterusan.

14.0 Dalam menghadapi suasana seperti di atas, fikiran dan perasaan hendaklah berada di dalam kotak-kotak yang wajar. Perasaan teman-teman tidak usah disinggung.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/fahaman-berbeza-hubungan-tetap-baik-1.113458)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.