Thursday, October 11, 2012

Kaji semula had laju memandu di negara ini


ARKIB UTUSAN : 10/10/2012

 Eye on the road: A camera is seen in Putrajaya as part of the AES test in over 10 locations. 




1.0 Saya ingin memberi pandangan mengenai kadar had laju jalan raya di Malaysia, terutama di lebuh raya dan jalan bandaran sempena dengan pengenalan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

2.0 Saya rasa kadar had laju sekarang perlu dikaji semula dengan mengambil kira keadaan semasa seperti teknologi kenderaan yang canggih, jalan raya baik dan sebagainya.

3.0 Seingat saya, kadar had laju jalan raya di Malaysia tidak pernah berubah sejak sekian lama. Sebagai perbandingan, kadar had laju jalan raya di Amerika telah dikaji semula pada tahun 2005. Kadar had lajunya telah dinaikkan daripada 55 batu sejam (bsj) kepada 70 bsj bagi lebuh raya.

4.0 Walaupun begitu, kebiasaannya pemandu di Amerika akan memandu 10 hingga 20 peratus melebihi kadar had laju tanpa disaman walaupun pegawai trafik berada di tepi lebuh raya. Tetapi awas jika memandu di kawasan bandar, mereka amat serius menyaman pemandu yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

5.0 Saya mempunyai pengalaman bertahun-tahun memandu di Amerika dan tidak pernah disaman kerana memandu sekitar 20 peratus melebihi kadar had laju di lebuh raya. Sebaliknya saya pernah disaman oleh pegawai trafik di Malaysia hanya kerana memandu 115 km/j di kawasan had laju 110km/j.

6.0 Hakikatnya agak sukar untuk kita memastikan kita mematuhi had laju sepanjang masa kerana ia boleh mengakibatkan hilang fokus memandu kerana asyik melihat meter had laju.

7.0 Oleh itu, saya sarankan agar pemandu diberikan kelonggaran sebanyak 20 peratus daripada kadar had laju (jika kadar had laju sekarang dikekalkan) memandangkan kenderaan sekarang mempunyai teknologi canggih. Di sesetengah lebuh raya Malaysia, ada yang menetapkan kadar had laju sekitar 60 hingga 70km/j. Pada saya ini amat tidak sesuai dan menyiksa pemandu.

8.0 Bagi sesetengah negara Eropah, kadar had laju di lebuh raya adalah sekitar 80 bsj. Ini tidak bermakna saya menggalakkan pemandu kita memandu laju atau saya mengharapkan kerajaan berbuat seperti di Lebuhraya Autobahn di Jerman di mana tidak ada kadar had laju ditetapkan.

9.0 Dalam pemerhatian saya, sikap pemandu adalah faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya seperti memandu di lorong kecemasan (pemandangan biasa di kawasan lebuh raya Utara-Selatan ke Senawang-Seremban), memandu perlahan di lorong kanan, memandu dengan sebelah tangan (trend sekarang tangan dijulurkan keluar tingkap dengan rokok di jari), sering menukar lorong dan memotong barisan (termasuk di terowong SMART).

10.0 Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memasang sistem AES ini. Walaupun terlambat tetapi lebih baik daripada tidak ada. Sistem serupa telah lama dipraktikan di Singapura dan ia amat berkesan.

11.0 Juga saya sarankan dengan pemasangan ini, pihak berkuasa boleh menyaman pemandu yang suka membuang sampah dari kenderaan terutama botol air mineral di bahu jalan agar kita dapat mewujudkan persekitaran bersih di sepanjang jalan dan lebuh raya kita.
(PAK TUANilai, Negeri Sembilan)


terimakasih: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121010/fo_02/Kaji-semula-had-laju-memandu-di-negara-ini#ixzz28wPmHzXr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

Anonymous said...

Perlu dikaji semula kerana di tempat tempat tertentu had laju nya sangat tidak munasabah!