Friday, January 6, 2012

Datuk Salleh Majid yang saya kenali... oleh NORDIN ABDUL MALEK Pengerusi Gabungan ILKS Bumiputera



DATUK Salleh Majid, bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) yang meninggal dunia pada 2 Januari 2012 bukanlah asing bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perniagaan dan ekonomi Bumiputera.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-12, Salleh melihat keadaan politik dalam negara dan tempias ekonomi dunia amat membimbangkan hingga memaksa beliau untuk bersama NGO memperjuangkan isu ekonomi Bumiputera.

Sifat tegas beliau yang kelihatan agak vokal dan serius kadangkala mengundang keresahan sesetengah pihak, terutama apabila beliau berhujah dengan fakta yang kritis. Namun di sebalik sifat beraninya itu, beliau adalah juga seorang insan Melayu yang mempunyai kehidupan rendah diri dan mesra untuk didekati terutama apabila menyentuh tentang kepentingan ekonomi Melayu.

Saya menjadi begitu rapat dengan beliau sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana bersama-sama menggerakkan aktiviti NGO yang melibatkan kepentingan ekonomi Melayu. Namun begitu, ketika menuntut di pusat pengajian tinggi pada awal tahun 90-an dahulu, saya begitu meminati kolum keusahawanan beliau di beberapa akhbar tempatan. Sebagai juara debat ekonomi dan aktiviti penulisan berkaitan keusahawanan peringkat IPT ketika itu, saya tidak akan terlepas untuk memetik pemikiran beliau yang pernah diterbitkan akhbar tempatan.

Ketika saya menceburi perniagaan sebagai peneraju kolej latihan kemahiran swasta, industri kami pernah berhadapan dengan krisis dasar kerajaan yang hampir meranapkan sektor kami suatu ketika dahulu. Dalam satu perbincangan beliau telah memberikan nasihat yang sangat berkesan kepada saya supaya mengenepikan seketika sifat diri sebagai guru dan ahli akademik, sebaliknya berjuang sebagai usahawan tegar yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival perniagaan.

Beliau pernah menasihati saya supaya mencari jalan untuk menemui Perdana Menteri (ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi) setelah segala rundingan kami di peringkat pegawai dan menteri tidak diendahkan. Bagi beliau, usahawan perlu berusaha hingga ke puncak kuasa kerajaan jika pegawai bawahan gagal menyelesaikan masalah. Berbekalkan nasihat beliau saya berjaya menemui Perdana Menteri dan banyak isu kami telah berjaya diselesaikan.

Pada tahun 2009, beliau telah menyatakan minat terhadap konsep perniagaan konsortium kami yang berasaskan sistem collegiate. Lebih-lebih lagi kami satu-satunya inisiatif kluster Ekonomi Bumiputera dalam Komuniti Industri Komersial Bumiputera2 (BCIC-2) yang berjaya dilaksanakan hingga kini sejak Rancangan Malaysia Ke-9. Analisis tentang kami telah ditulis oleh beliau dalam ruangan Saranan Salleh, Utusan Malaysia bertajuk Tenaga Harimau Lonjak Belia Berbisnes pada 1 Januari 2010.

Penyertaan kami dalam pelbagai aktiviti NGO Bumiputera mengakrabkan hubungan. Ketika itulah juga saya mengenali karektor peribadi beliau yang mempunyai jatidiri Melayu yang sangat tinggi. Antaranya ialah beliau tidak berminat untuk membolot kekayaan dengan menggunakan kedudukannya sebagai bekas presiden BSKL.

Allahyarham pernah menceritakan bahawa terlalu banyak tauke Cina yang mempelawa beliau mempengerusikan syarikat mereka tetapi beliau menolak kerana tidak mahu 'diperkudakan'. Beliau pernah meluahkan rasa kecewa apabila ramai bekas pegawai tinggi kerajaan yang bersara menjadi boneka orang lain hingga sanggup dijadikan alat promosi iklan semata-mata mahukan imbuhan bulanan yang tidak seberapa.

Justeru, atas prinsip tersebut juga, kehidupan persaraan beliau adalah sekadar cukup sebagai orang pesara walaupun kadangkala amat perit, apatah lagi untuk menyara keluarga yang agak besar.

Sebagai tokoh masyhur, rawatan di hospital kerajaan yang tidak sebaik hospital swasta dianggap rahmat hingga ke akhir hayat. Pernah suatu ketika saya menganggap bilik rawatan yang disediakan pihak hospital agak kurang selesa tetapi beliau sangat redha.

Walaupun banyak perkara yang sempat dikongsikan dengan saya, ada beberapa perkara penting yang menjadi pesanan terakhir beliau kepada saya. Antaranya ialah menjadikan keusahawanan berasaskan kemahiran sebagai masa depan bangsa Melayu. Arwah mengingatkan saya bahawa hanya keusahawanan akan dapat memartabatkan Melayu.

Atas sebab itulah, beliau mempertahankan agar Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dimartabatkan sebagai institusi khusus mendidik pembangunan usahawan Melayu. Rencana khusus beliau ada disiarkan sebagai antara penulisan-penulisan terakhir beliau.

Pada tahun lalu, beliau pernah memeranjatkan kami apabila beliau seolah-olah mahu bersumpah untuk tidak mahu hadir dalam dialog agensi berkenaan. Pada pandangan beliau ketika itu agensi berkenaan menjadi tidak bermaya kerana tenaga pengurusannya yang lemah berbanding ketika INSKEN di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Semua itu pernah diluahkan dalam Utusan Malaysia.

Jika hendak mengenali jatidiri Melayu beliau, bacalah semua artikel penulisannya. Itulah prinsip dan semangatnya yang mengatasi kepentingan kekayaan peribadi. Apa yang penting juga ialah jasanya yang pernah mengemudi BSKL sebagai instrumen ekonomi yang paling disegani. Cabaran menggerakkan BSKL di peringkat awal penubuhannya bukanlah mudah jika tidak mempunyai strategi cemerlang. Malah BSKL pernah gah di zaman Salleh Majid.

Kepada mana-mana pihak yang pernah dikritik oleh beliau, terus terang saya katakan bahawa beliau meluahkannya dengan penuh keikhlasan. Justeru kita harus menilai isu yang dikritik bukannya mengandai serong apa yang dikritik.

Walaupun NGO ekonomi Bumiputera dan usahawan seperti kami kehilangan rakan seperjuangan, semangat Salleh Majid tetap tersemat jua dalam perjuangan yang mesti diteruskan.

Semoga keluarga beliau tabah dan terus bersatu dalam menghadapi dugaan tanpa Salleh Majid di sisi lagi. Al-Fatihah.
ARKIB utuasan : 05/01/2012

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm)

1 comment:

RH said...

Innalillah...
Datuk Salleh Majid adalah bekas pensyarah saya di ITM pada tahun 1976. Saya amat bersetuju dengan tulisan anda bahawa Datuk mempunyai semangat kemelayuan yang amat tinggi. Apabila beliau memasuki kelas, kami dapat rasakan suatu kelainan dalam proses menimba ilmu. Perkataan2 beliau amat bermotivasi. Beliau menyatakan bahawa orang Melayu perlu berusaha bersungguh2 dalam mencapai kejayaan. Beliau benci dengan sikap cincai orang melayu. Sungguh besar pengorbanannya untuk kita semua. kepada sesiapa yg pernah "terkena" dengan bahasanya yg pedih tetapi tegas, tolong jangan berdendam kerana beliau yg pernah menjadi lecturer saya adalah seorang yg betul2 ingin menolong bangsanya. Pedih juga bila dibahasakan kita, tapi sebenarnya beliau sedang membentuk diri kita dengan semangat yg tinggi. Beliau tidak suka main-main dalam segala kerja yg diamanahkan kpdnya.
Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt.
sekian.