Thursday, December 1, 2011

CALON memang senjata utama untuk menang PRU -(asampedas)

Thursday, December 1, 2011

Setelah “pencen sementara” cerita politik, hari ini saya teruja menulis balik. Yelah memandangkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sedang rancak berlangsung.

Saya amat tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Timbalan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan sidang perwakilan Wanita dan Pemuda kelmarin.

Dalam ucapannya yang berkobar-kobar itu Muhyiddin mengingatkan UMNO bahawa Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 adalah ibu segala pilihanraya yang akan tentukan jatuh bangunnya orang Melayu dan calon adalah senjata untuk menang.

Tidak ada yang tersirat atau tersurat daripada kenyataan itu. Ia adalah satu kenyataan yang JELAS. Tetapi soalnya apakah kenyataan Muhyiddin itu akan dipandang serius atau masuk telinga kanan, keluar telinga kiri? Adakah masih ada yang tak faham atau pura-pura tak faham selepas ini?

Kenyataan Muhyiddin itu mengukuhkan lagi pendirian yang sebelum ini sering dilaungkan oleh Perdana Menteri dan presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, iaitu untuk menang PRU, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kena letakkan “winnable candidate”.

Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam ucapan dasarnya ada mengatakan dia menyerahkan nasibnya kepada Presiden bila tiba masanya. Malah Shahrizat berkata dia pasrah kepada qada’ dan qadar. Adakah ini bermakna dia sudah sedar dia bukan winnable candidate? Wallahualam.

Apakah maksud Shahrizat apabila dia ungkapkan kata "bayangkan apa akan jadi pada parti jika 1.3 juta ahli wanita mogok? Tidak kah ia berbunyi seperti satu ugutan kepada pemimpin supaya mengekalkannya atau menunjukkan sikap angkuh dan yakinnya dia mendapat "backing" penuh dari Wanita?


Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pula dalam ucapannya berkata, dia berharap menerusi konsep winnable candidate tiada lagi calon dipilih atas dasar simpati dan pakai kabel, sebaliknya perlu merit dan keupayaan.

Adakah Khairy bercakap setelah “mengukur baju di badan sendiri”, yelah, mungkin berdasarkan pengalaman dirinya sendiri ketika Pak Lah menjadi PM? Hmmmmm. Wallahualam.

Ikhlas ke Shahrizat dan Khairy ketika membuat kenyataan-kenyataan itu? Atau mereka ada maksud yang tersirat dan tersurat?


Bagi saya, jika Muhyiddin betul-betul bermaksud CALON adalah SENJATA untuk menang PRU akan datang, janganlah pilih CALON yang KALAH dalam PRU yang lalu sebagai calon dalam PRU ke-13.

Pemimpin mesti cuba letakkan diri mereka di tempat pengundi buat seketika. Cuba bayangkan perasaaan anda sebagai rakyat biasa yang mengundi, jika orang yang anda sudah tolak (tidak pangkah) dan kalah pilihanraya, dilantik sebagai Menteri atau Senator? Selepas itu, bila dah dapat jawatan, semakin menyombong dan malas nak turun padang serta tak ada masa nak dengar denyutan nadi rakyat?

Di mana dia janji “Rakyat Didahulukan?” Jadi, Datuk Najib dan Muhyiddin kenalah walk the talk!

Kepada pemimpin UMNO pula, kenapa tak contohi langkah gentleman Tan Sri Koh Tsu Koon yang membuat keputusan tidak mahu bertanding dalam PRU akan datang kerana mahu menyelamatkan parti Gerakan?

Kenapa pemimpin UMNO tak contohi tindakan gentleman Datuk Seri Chua Soi Lek menolak sebarang jawatan kabinet walaupun memenangi semula kerusi presiden MCA kerana mahu menumpu perhatian mengukuhkan parti MCA?

Jika pemimpin UMNO sayangkan parti, mereka patut sanggup berkorban dan mengetepikan kepentingan diri.

Anda mungkin boleh mendabik dada, melaung-laungkan anda mendapat sokongan ahli parti, tetapi dalam PRU nanti, apakah ahli-ahli parti yang melaung menyokong anda itu akan mengundi di kawasan anda? Ingatlah, diterima atau disokong oleh ahli parti tidak bermakna kita juga akan diterima atau disokong oleh rakyat.

Rakyat sekarang sudah bijak. Kalau zaman dulu, UMNO begitu kuat, letak siapa sahaja, asalkan rakyat tengok lambang dacing sahaja mereka pangkah.

Tetapi sekarang, rakyat sudah bijak. Mereka tahu dalam mana-mana parti ada wakil yang bagus dan tak bagus. Rakyat sekarang tak pangkah ikut parti, tapi ikut personaliti. Maka, calon mesti mempunyai personaliti yang disenangi rakyat. Calon mestilah mendengar denyutan nadi rakyat. Mesti rajin turun padang, tak sombong dan tak berlagak.

Inilah masanya pemimpin UMNO/BN buktikan bahawa rakyat benar-benar di dahulukan!

By Noor Hasilah Ismail at 4:01 AM
Labels: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Khairy Jamaluddin, Koh Tsu Koon, Perhimpunan Agung UMNO, PRU 13, PWTC, Shahrizat Jalil, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Umno

terimakasih(sumber;http://noorhasilahismail.blogspot.com/2011/12/calon-memang-senjata-utama-untuk-menang.html)

No comments: