Friday, April 1, 2011

Talian khas adu harga barang mahal

Talian khas adu harga barang mahal
Oleh Razak Rashid Ghows
bhnews@bharian.com.my
2011/04/01

Majlis Penasihat Harga akan segera ambil tindakan ke atas peniaga

KUALA LUMPUR: Mulai hari ini orang ramai boleh membuat aduan mengenai kenaikan harga barang yang dianggap melampau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui talian 1-800-88-6800 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang baru dikuatkuasakan.

Aduan itu kemudian disalurkan kepada Majlis Penasihat Harga (MPH) yang baru ditubuhkan untuk tindakan lanjut dan jika ada kes, peniaga terbabit boleh didakwa di mahkamah.

Penguatkuasaan undang-undang itu merangkumi semua syarikat dan individu yang menjual barang, menyediakan perkhidmatan dan restoran.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mengikut akta yang diluluskan Parlimen tahun lalu itu, syarikat yang didapati bersalah menjual barangan atau menawarkan perkhidmatan pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran boleh didenda sehingga RM500,000 bagi kesalahan kali pertama.

Bagi kesalahan kali kedua, syarikat sama boleh didenda maksimum RM1 juta manakala bagi individu yang melakukan kesalahan kali pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Individu yang melakukan kesalahan kali kedua pula boleh didenda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Akta baru itu menggantikan Akta Kawalan Harga 1946 yang tidak memberi kuasa kepada kementerian untuk mengambil tindakan ke atas peniaga yang menaikkan harga barang atau perkhidmatan secara melampau.

Ismail Sabri berkata demikian dalam pertemuan dengan pengarang media massa berhubung isu bekalan dan harga barangan di sini, semalam.

Katanya, kementerian akan berbincang dengan MPH bagi menentukan penanda aras bagi harga sesuatu barang.

Mengenai perbezaan kedua-dua undang-undang berkenaan, beliau berkata akta baru itu memberi kuasa kepada kementerian menguatkuasakan kadar harga semua jenis barang dan perkhidmatan tanpa perlu diwartakan seperti akta lama.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Taliankhasaduhargabarangmahal/Article)

No comments: