Sunday, March 7, 2010

KANCIL, BUAYA DAN POLITIK LAMA


NOBISHA: KANCIL, BUAYA DAN POLITIK LAMA

Pasca PRU12, banyak pihak bercakap mengenai politik baru. Politik baru tu apa? Kalau ditanya kepada 10 orang politikawan, kita ada mendapat 10 jawapan yang berbeza. Kalau ditanya pada cendikiawan, lagi banyaklah tafsiran. Bagi saya, politik baru itu ialah satu proses politik yang lebih berintegriti, dan bersifat “people-centric”. Asas politik baru ialah hujah; bukannya “dirty political tricks”. Ia juga bertunjangkan kepada kebenaran; bukannya kemenangan. Dan, politik baru juga berteraskan kepada ilmu dan maklumat; bukannya bergantung kepada strategi taktikal semata-mata. Seperti yang saya katakan, orang lain mungkin mempunyai pandangan yang berbeza dan saya hormat pandangan mereka.

Adakah kita sudah beralih ke politik baru? Atau, perkataan “politik baru” tidak lebih dari sekadar retorik politik untuk menang pilihanraya? “Politik baru” adalah slogan yang cukup menarik.

Pertama – PAS meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Konvensyen UMNO yang diadakan di UiTM Jengka baru-baru ini. Menurut parti itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan, Idris Ahmad, UMNO tidak seharusnya menyalahgunakan fasiliti milik rakyat untuk tujuan politik.

Pada 7 Mac 2010, Pakatan Rakyat Selangor yang terdiri dari DAP, PKR dan PAS akan mengadakan konvensyen di Dewan Jubli, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Apakah perbezaan antara kedua-dua fasiliti ini? Adakah Pakatan Rakyat boleh berpolitik di Bangunan SUK Selangor, tetapi UMNO tidak boleh berkonvensyen di UiTM Jengka? Adakah ini merupakan kuali mengatakan cerek hitam?

Dalam konteks politik baru, saya fikir ada sesuatu yang tidak kena di sini.

Kedua – Pasca PRU12, pemimpin-pemimpin UMNO bercakap soal perubahan. Saya fahami perubahan itu sebagai politik baru. Bagaimanapun, ada beberapa orang pemimpin UMNO memberitahu saya bahawa mereka bimbang sesetengah pemimpin UMNO yang dulunya ghairah bercakap mengenai politik baru kini mula memperlahankannya. Sebabnya ialah mereka percaya Barisan Nasional boleh mendapat majoriti 2/3 dalam PRU13 kerana PKR kelihatan lemah berikutan beberapa orang Ahli Dewan Rakyat keluar parti itu.

Biar saya katakan bahawa UMNO tidak harus berharap untuk menang dengan kehebatan strategi taktikal semata-mata. Dalam politik baru, UMNO perlu membina kekuatan dalam aspek-aspek yang saya sebutkan di awal tadi. Kelemahan sesetengah pemimpin UMNO ialah mereka tidak belajar dari pengalaman dan tidak mahu berubah dari politik lama kepada politik baru. Insiden Ahli Parlimen PKR keluar parti menjadikan sesetengah pemimpin UMNO percaya bahawa kalau tak berubah pun mereka boleh menang.

Ketiga – Perletakkan jawatan Dato’ Salehudin Hashim dan seterusnya keluar dari PKR adalah satu insiden hitam dalam parti itu. Sedikit-sebanyak ia memberikan kesan kepada kekuatan PKR. Usah masuk kepala di bawah karpet dan anggap ia tidak menjejaskan apa-apa. Saya faham parti itu perlu mengambil langkah-langkah bagi membendung hakisan keyakinan rakyat. Ia bukan saja wajar, tetapi memang perlu dilakukan oleh PKR.

Bagaimanapun, apabila Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan kenyataan rasmi “mendedahkan” bahawa Salehudin pernah ditemuduga untuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perangsang Selangor dan jawatankuasa pemilihan menolak permohonan beliau, maka saya fikir itu bukanlah cara menguruskan isu berasaskan politik baru. Tindakan itu lebih bersifat character assassination; tujuannya ialah untuk membogelkan Salehudin sekaligus menjadikan rakyat tidak percaya kepadanya.

Saya tak pasti adakah tindakan itu akan membuahkan hasil yang diharapkan. Bagaimanapun, dalam konteks politik baru saya mengharapkan PKR mengambil pendekatan hujah lawan hujah. Saya percaya pemimpin PKR mempunyai kekuatan menjawab hujah-hujah Salehudin; bagaimanapun nampaknya mereka memilih untuk menelanjangkan Salehudin dan bukan berhujah dengannya.

Seorang Ahli Parlimen PKR menghantar SMS kepada saya mengatakan beliau tidak setuju dengan tindakan tersebut. Saya tabik spring kepada beliau kerana sekurang-kurangnya masih ada lagi pemimpin PKR yang berpegang kepada asas politik baru.

Saya sebutkan tiga contoh di atas bagi memberikan ilustrasi bahawa politik kita sebenarnya masih belum berubah. Ya, memang ada perubahan tetapi tidak banyak. Kita masih selesa dengan politik lama berteraskan strategi taktikal. Ia berlaku di kedua-dua belah pagar politik.

Mungkin sudah sampai masanya untuk anak-anak muda yang idealis — sama ada di pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional — mengambilalih kepimpinan politik di negara ini dan melakukan perubahan.

Sekiranya tidak, harapan untuk melihat politik baru menjelang PRU13 akan berkecai. Rakyat akan kecewa dan melihat diri mereka diperbodohkan. Ia sama seperti kisah sang kancil yang dikatakan bijak itu hendak menyeberangi sungai. Sang kancil memberitahu buaya-buaya dalam sungai bahawa dia diarahkan oleh Raja Sulaiman untuk membilang kesemua buaya dalam sungai itu untuk membolehkan Raja Sulaiman memberikan mereka hadiah. Maka, beraturlah buaya itu di sepanjang sungai — dari tebing sebelah sini, sampailah ke tebing sebelah sana.

Sang kancil pun melompat ke atas belakang buaya-buaya itu sambil menyanyi: “Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk. Empat, lima, enam dan tujuh, lapan, sembilan dan sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas. Ekor kalian jangan melibas, empat belas, lima belas dan enam belas, perintah Raja Sulaiman ditunaikan lekas.”

Akhirnya sang kancil berjaya menyeberangi sungai; lalu dia berkata, “Wahai buaya-buaya semua, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu? Sekarang kamu bersurailah!” Tatkala itu, barulah buaya tahu bahawa mereka telah ditipu.

Ah, itu satu contoh strategi taktikal politik lama yang klasik. Adakah ini bentuk politik yang mahu dikekalkan?

(SUMBER;http://nobisha.com/home/archives/83)

No comments: