Wednesday, July 9, 2008

Politik: Agong diminta campur tangan, hak bumiputera makin terhakis



Agong diminta campur tangan, hak bumiputera makin terhakis

Oleh hata wahari

KUALA LUMPUR 7 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta campur tangan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera yang semakin berleluasa sekarang.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) membuat saranan itu ekoran tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil kuota biasiswa pelajar-pelajar bumiputera untuk diberikan kepada pelajar-pelajar bukan bumiputera.

Beliau memberitahu, di bawah skim biasiswa JPA yang baru, JPA telah memberikan 700 peruntukan biasiswa untuk pelajar bumiputera kepada pelajar bukan bumiputera.

“Biasiswa JPA kekal sebanyak 2,000 tawaran setahun dan tambahan untuk pelajar bukan bumiputera diambil daripada kuota pelajar bumiputera.

“Ini menjadikan nisbah pemberian biasiswa JPA itu kini adalah 50 peratus untuk bumiputera, 45 peratus untuk bukan bumiputera dan lima peratus lagi kepada lain-lain kaum,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan: “Perkara ini tidak boleh diterima memandangkan nisbah itu tidak adil kerana jumlah penduduk bumiputera di negara ini adalah 67 peratus dan nisbah tawaran biasiswa JPA dulu ialah 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.”

Menurut Khairy, tindakan mengubah nisbah itu adalah satu langkah yang tidak bijak kerana sepatutnya jumlah tawaran biasiswa itu diperbesarkan agar hak bumiputera tidak diambil manakala penambahan tawaran biasiswa dapat diberikan kepada bukan bumiputera.

“Saya harap perkara ini tidak disalahfahamkan. Saya harap semua pelajar yang cemerlang diberi peluang tanpa mengira mereka pelajar bumiputera atau bukan bumiputera tetapi tambahan tawaran biasiswa itu tidak boleh diambil daripada kuota untuk pelajar bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Razali Ibrahim (BN-Muar) ketika berucap membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-9 menggesa kerajaan melaksanakan satu dasar yang memperuntukkan cuti khas kepada rakyat beragama Islam yang ingin mengerjakan haji terutama bagi mereka yang pertama kali menunaikan ibadah itu.

(Petikan dari utusan malaysia selasa 08.07.2008)

No comments: