Sunday, July 13, 2008

Berita: Sekali kencing dapat 77 sen


ARKIB utusan: 07/07/2008

Sekali kencing dapat 77 sen

CHENNAI 6 Julai – Setiap kali kencing, anda mendapat upah. Bunyi mengarut, tapi ini berlaku.

Di Tiruchi, India Selatan, orang ramai diberi upah bagi menggalakkan mereka kencing di bilik air. Setiap kali seseorang masuk ke bilik air untuk kencing, mereka menerima 10 paise (RM0.77). Akhbar Times of India hari ini melaporkan bahawa penduduk di Musiri, sebuah bandar kecil dekat Tiruchi, mendapat manfaat daripada idea kreatif itu yang dilakukan oleh sebuah persatuan, Society for Community Organisation and People’s Education (SCOPE).

Ini idea serampang dua mata – menggalakkan rakyat kelas menengah rendah menggunakan bilik air dan air kencing yang terkumpul digunakan untuk penyelidikan bagi menguji sama ada ia boleh menjadi baja yang bagus.

“Kebanyakan kami mula menggunakan bilik air untuk kencing hanya selepas bilik air ecosan (eco-sanitation) dibina di daerah itu... rakyat sekarang mula menyedari manfaat kesihatan dan tidak lagi kencing di tempat-tempat terbuka.

“Kini kanak-kanak juga tidak lagi kencing di tempat terbuka, terima kasih kepada insentif 10 paise,” kata S. Rajesekaran, 42, seorang pencuci lori.

Pengarah SCOPE, M. Subramaniam berkata, idea itu timbul tahun lepas apabila Universiti Pertanian Tamil Nadu menghubungi persatuan itu untuk menjalankan penyelidikan menjadikan air kencing sebagai baja.

Menurut laporan, sesebuah keluarga di daerah itu menerima kira-kira Rs30 (RM2.30) setiap bulan daripada skim tersebut.

Ini situasi menang-menang – ketika penyelidikan mendapat sejumlah air kencing asli, kira-kira 250 liter, penduduk kampung pula mendapat upah dalam bentuk wang, lapor Times.

– Bernama

No comments: