Namun dalam kehangatan manusia menggunakan pelbagai teknologi canggih ini ada pihak yang menerima kesan buruk akibat kebergantungan manusia kepada teknologi. Contoh jelas sudah tentu industri media terutama suratkhabar yang kini semakin suram akibat keghairahan manusia melayari dunia maya. Akhbar kini semakin hilang pembacanya akibat keghairahan manusia menggunakan sepenuhnya teknologi di hujung jari. Maka akhirnya jika dahulu manusia bergantung harap sepenuhnya kepada saluran cetak untuk menghadam maklumat dan sebagai sumber berita yang boleh dipercayai, kini ia semakin diragui.

Kemerosotan edaran yang mana satu ketika dahulu menjadi punca persaingan sengit akhbar-akhbar di negara ini dalam menonjolkan siapa nombor satu dan siapa paling berpengaruh, semakin sukar dibendung. Kalau 20 tahun lepas mereka berbangga dengan edaran mencecah 500,000 hingg 800,000 sehari, tapi kini hanya dalam lingkungan 150,000 atau kurang.

Sememangnya manusia bergantung harap pada teknologi dalam berevolusi. Sejak kebangkitan manusia dalam revolusi industri lebih 200 tahun lalu, teknologi itu sendiri menjadi penanda aras kebangkitan tamadun manusia dan tidak nampak tanda-tanda ia akan berhenti. Begitu juga dalam industri cetak seperti buku dan suratkhabar, jika dahulu hanya golongan elit yang mampu memilikinya namun teknologi menjadikan bahan dunia cetak semakin murah dan mudah dimiliki. Lebih 100 tahun manusia bergantung harap kepada akhbar dalam menjadikan mereka lebih cerdik, bermaklumat dan berani menyatakan pendapat.

Penguasaan

Jika dahulu manusia agak terperangkap di bawah tempurung namun dengan jasa akhbar, manusia berkongsi maklumat, ilmu dan isu semasa. Akhbar juga menyatukan manusia seperti mana peranan Utusan Melayu yang menjadi antara asas perjuangan dalam menuntut kemerdekaan apabila orang Melayu berjaya di satukan melalui peranan akhbar itu dan juga UMNO. Akhbar ini berjaya menyatukan pemikiran orang Melayu ketika itu bahawa penjajah perlu dihalau dan kemerdekaan adalah satu kepastian. Bagaimanapun seiring dengan ledakan teknologi yang pelbagai, peranan dan jasa suratkhabar semakin menipis. Manusia lebih melihat kepada media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Whatsapp sebagai sumber mereka memperoleh berita. Dan lebih teruk lagi kebanyakan berita-berita yang disiarkan di dunia maya ini kebanyakannya begitu diragui keabsahannya. Timbul persoalan apakah jawapan sebenar kenapa manusia semakin menolak akhbar. Apakah akhbar itu sendiri sudah sampai ke penghujung kewujudannya akibat penguasaan teknologi yang semakin ‘menggila’. Masalah utama kepada persoalan di atas adalah medium itu sendiri sudah berubah. Jika dahulu manusia begitu bergantung kepada akhbar hampir dalam kebanyakan urusan kini ia telah diambil alih secara ‘rakus’ oleh media sosial.

Kita lihat contoh mudah tentang peranan industri ini. Jika dahulu manusia hanya bergantung kepada akhbar untuk memasarkan produk, rumah untuk disewa atau untuk mencari orang atau barang yang hilang. Kini semua itu lebih mudah dilakukan di Mudah.com, atau kongsikan sahaja melalui Facebook atau Whatsapp. Malah dahulu jika ada maklumat sulit yang sukar didedahkan, maka akhbar adalah medium terbaik bagi mendedahkan skandal dan salah laku seperti mana yang berlaku dalam pendedahan skandal Watergate melibatkan akhbar seperti The Washington Post, Time, dan The New York Times.

Akhirnya Presiden Nixon terpaksa berundur kerana kredibiliti laporan dan pendedahan akhbar-akhbar tersebut.Namun kini manusia lebih selesa menggunakan medium dunia maya untuk melakukan pendedahan kontroversi dan ‘berani mati’ seperti yang dilakukan oleh Julian Assange dan Patrick Snowden kerana sasarannya, semua orang boleh mengaksesnya dan bukan hanya orang tertentu. Malah manusia kini juga boleh mencipta populariti sekelip mata dengan hanya viralkan apa-apa isu dan perlakuan melalui Youtube, Smule dan pelbagai lagi. Medium ini sememangnya berkapasiti untuk diviralkan sehingga mencecah jutaan penonton, maka hits atau jumlah penonton menjadi keutamaan supaya populariti meningkat berganda-ganda. Namun adakalanya perbuatan manusia di alam maya itu menjadikan mereka dilihat kurang cerdik dan memalukan diri sendiri.

Relevan

Namun itulah tarikan utama kenapa manusia semakin menolak akhbar dalam hidup mereka dan beralih kepada media sosial. Ada pihak yang berpandangan bahawa masalah penurunan edaran akhbar ini hanya berlaku di Malaysia tetapi kenyataan dangkal ini sudah tentu tidak benar sama sekali. Ini kerana AS sebagai negara kuasa besar dunia merupakan yang paling teruk terjejas dengan fenomena ini. Kalau dilihat di AS sahaja puluhan akhbar terutama akhbar negeri ditutup akibat gagal bersaing dengan kebangkitan sosial media. Antaranya The Rocky Mountain News, The Seattle Post-Intelligencer, San Francisco Chronicl, The Detroit News, dan Tucson Citizen yang terpaksa ditutup dan kebanyakannya tinggal beroperasi dalam talian.

Malah syarikat akhbar yang berpengaruh seperti New York Times terpaksa menjual sahamnya kepada antara manusia terkaya dunia, Carlos Slim Helu bagi menjamin operasinya tidak akan terjejas akibat penguasaan media sosial. Malah pemilik Amazon.com yang juga antara orang terkaya dunia, Jeff Bezos kini antara pemilik dalam syarikat akhbar The Washington Post. Negara jiran kita Indonesia juga turut berhadapan dengan masalah sama apabila akhbar seperti Harian Sinar Harapan telah ditutup pada 1 Januari lalu. Malah sebelum itu beberapa akhbar berpengaruh seperti Jakarta Globe, Koran Tempo Minggu, dan Harian Bola juga mengalami nasib yang sama.

Hakikatnya tiada jalan mudah bagi sebuah organisasi akhbar kini untuk terus beroperasi melainkan jalan berliku dan penuh ranjau, hanya untuk memastikan kewujudannya masih kekal relevan. Walaupun ada yang melihat sosial media sebagai ‘musuh’ yang perlu diberi pengajaran, namun realitinya tiada jalan lain kecuali bersama mereka untuk mencipta masa depan yang lebih baik. Apatah lagi tiada pihak yang lebih bagus dalam melakukan kerjanya selain media tradisional kerana merekalah wajah sebenar kewartawanan yang melakukan laporan, rencana dan berita lengkap dalam pelbagai konteks dari sukan ke ekonomi hinggalah politik dan skandal.

Apa yang perlu gabungan kedua pihak ini – media tradisional terutama akhbar dan media sosial sebagai pemangkin kepada pemberitaan yang tepat, kredibel dan telus tetapi pada masa yang sama mampu menjana keuntungan. Ketika ini masih belum ada formula untuk menjayakan kedua gabungan ini kerana akhbar secara atas talian tidak begitu menguntungkan. Nasib industri akhbar melalui episod yang sama seperti industri muzik. Satu ketika industri muzik mencapai kemuncak dengan menjana keuntungan berbilion dolar hasil penjualan kaset dan cakera padat. Namun zaman tersebut berakhir apabila kita dengan mudah memuat turun melalui Internet sekali gus menghancurkan industri tersebut.

Namun bagi industri persuratkhabaran, mungkin medium ini akan berakhir apabila tiba masanya namun tidak bererti semangat dan etika kewartawanan akan turut berlalu. Cumanya platformnya sahaja akan berubah. Perubahan telah berlaku ‘dihujung jari’ namun semangat itu tidak akan mungkin padam.