WEDNESDAY, DECEMBER 04, 2013
A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
TAJUK berita akhbar The Star pada 3 Disember berbunyi “Najib: We must be the people’s party”. Dalam bahasa Melayu “Najib: Kita wajib menjadi parti rakyat”. “Kita” dalam ayat di atas merujuk kepada Umno.
Soalnya, sejak bila pula Umno bukan parti rakyat? Atau, jadi benarlah seperti didakwa oleh sesetengah pihak bahawa Umno sudah menjadi parti orang bangsawan, parti “warlords” dan parti laki-bini.
Itulah yang terserlah ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 5 Mei lalu apabila Mohd Najib begitu menguar-uarkan undi Cina dan India sebagai pemangkin kemenangan Barisan Nasional (BN).
Tetapi yang akhirnya menyelamatkan beliau daripada dihanyutkan oleh tsunami Cina adalah orang Melayu dan Bumiputera di kampung-kampung.
Umno Dahulukan Rakyat?
Berita Harian pula, pada hari yang sama, memetik beliau sebagai berkata kepemimpinan parti “perlu beri isyarat jelas bahawa Umno sentiasa dahulukan rakyat.”
Dalam Mohd Najib berikrar, berjanji mendahulukan rakyat, muka depan The Star memuatkan berita bertajuk “Painful but necessary” (sakit tapi diperlukan) yang merujuk kepada kenaikan 14.89 peratus tarif elektrik bagi Semenanjung dan 16.9 peratus bagi Sabah mulai 1 Januari ini.
Tarif tidak naik di Sarawak kerana negara itu memilih untuk melaksanakan autonominya dengan tidak menurut jejak kerajaan pusat. Sarawak menjana dan mengedarkan sendiri keperluan elektriknya.
BN Sarawak pun tidak serupa dengan BN pusat. Ia terdiri sepenuhnya daripada parti-parti politik negeri. Baru-baru ini, Johor pun menggunakan juga autonominya yang terhad untuk mengembalikan cuti hujung minggu daripada Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu.
Apakah perhimpunan Umno akan menutup mata kepada keingkaran sivil yang sedang dipamerkan oleh negeri-negeri, termasuk yang diperintah oleh BN, terhadap kuasa kerajaan pusat?
Negeri-negeri jelas tambah berani mengambil kesempatan daripada kelemahan kerajaan pusat berikutan PRU 5 Mei lalu untuk melakukan hal-hal yang mereka tidak berani lakukan sebelum ini.
Berubah atau business as usual?
Soalnya, adakah para pembesar Umno dan perwakilan yang berhimpun di PWTC untuk persidangan tahunan parti itu sekarang sedar akan perubahan yang sedang melanda mereka atau bagi mereka, “it’s business as usual”?
Apakah slogan rakyat didahulukan akan terus menjadi pemanis kata dan perwakilan akan memberi ‘standing ovation” kepada setiap patah perkataan yang Presiden ucapkan?
Kalau benar seperti kata Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin bahawa persidangan Pemuda Umno perlu memberi fokus kepada isu rakyat dan kepada peranan kerajaan, melalui agensinya untuk menangani masalah rakyat serta kepentingan Melayu, adakah beliau tahu apakah isu-isu yang mengacau fikiran rakyat?
Adakah Pemuda sedang menyusuri laluan yang sama dengan Wanita? |
Adakah beliau berani bertindak membanteras rasuah, penyalahgunaan kuasa, pembaziran serta kefoya-foyaan pembesar Umno, anak bini dan konco-konco mereka?
Adakah beliau berani menghurai mengapa 1MDB, sebuah syarikat milik negara menghantar RM7 bilion ke syurga cukai (tax haven) Cayman Islands sedangkan kita mempunyai tax haven sendiri di Labuan?
Atau adakah Khairy juga sudah disedut ke dalam lubang hitam (black hole) politik yang tidak ada jalan keluar melainkan kemusnahan dan Pemuda Umno sedang menyusuri laluan yang sama yang menjadikan Pergerakan Wanita bahan senda kawan dan lawan?
Dan adakah Pergerakan Puteri sekadar penyeri majlis sahaja atau menjadi suara lantang generasi baru wanita Malaysia?
Dan adakah Pergerakan Puteri sekadar penyeri majlis sahaja atau menjadi suara lantang generasi baru wanita Malaysia?
Adakah isu mendesak seperti inflasi, pengangguran graduan, rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diilhamkan oleh Amerika, ekonomi Bumiputera yang makin terumbang-ambing dan diskriminasi sektor swasta terhadap pekerja Bumiputera akan mendapat tempat dalam perbahasan?
Cintakan Bangsa, Agama dan Negara atau Cintakan PM? |
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment