Tuesday, April 2, 2013

Berpolitik ikut adab - Jakim



KUALA LUMPUR 1 April - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak khususnya parti-parti politik yang dianggotai umat Islam supaya berpolitik dengan cara Islam sebenar iaitu dengan penuh beradab.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, janganlah mana-mana pihak cuba menimbulkan kontroversi semata-mata menurut emosi tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan mereka,
Menurut beliau, adalah tidak wajar mengaitkan Nabi Muhammad SAW sama ada secara lisan atau bertulis dengan sesuatu yang negatif kerana tindakan tersebut boleh dikategorikan umpama menghina, merendah atau mengaibkan baginda.

''Mengandaikan seseorang membuat rakaman video seks kepada seorang yang dihormati sedangkan beliau telah meninggal dunia pun sudah dikira kurang beradab.
''Dan tentunya tindakan mengaibkan baginda dengan perkara negatif adalah tidak bertanggungjawab dan menyalahi adab seorang Muslim," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penolong Setiausaha 1, Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som dalam Twitternya baru-baru ini yang menyebut: Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks baginda pun UMNO akan keluarkan...jahanam UMNO.

Othman menambah, penggunaan terminologi seperti itu perlu dijauhi kerana boleh menjejaskan akidah dan membatalkan pahala seperti tafsiran surah al-Hujurat oleh kebanyakan ulamak.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, Nabi Muhammad SAW adalah bersifat sebaik-baik teladan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkara negatif.

"Tidak sepatutnya Rasulullah SAW dikaitkan dengan sesuatu perkara yang tidak baik. Ini kerana baginda adalah bersifat dengan qudwatul hasanah iaitu ikutan yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan peralatan falak Kelab Falak Sekolah Daerah Sabak Bernam, Selangor di sini hari ini.

Sebanyak tujuh sekolah agama dalam daerah Sabak Bernam yang baharu menubuhkan Kelab Falak di sekolah masing-masing menerima peralatan tersebut yang berupa teleskop, tong khatulistiwa dan kalkulator.

(sumber:terimakasih utusan online)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130402/po_09/Berpolitik-ikut-adab---Jakim#ixzz2PIqksjwO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

Unknown said...

saalam seperjuangan..mohon pautkan blog kecil saya disini..

http://daengselili.blogspot.com/

saya sudah pautkan blog tuan disana..mekasih :)