Friday, April 5, 2013

Inilah harinya: Gendang perang sudah dipalu...


Oleh Zaini Hassan

HARI ini, jika tiada aral melintang, kira-kira jam 11.30 pagi tibalah hari yang kita semua tunggu-tunggukan. Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Terlalu banyak spekulasi yang dibuat mengenai tarikh pembubaran itu.

Sejak setahun lalu semua pihak terpaksa bersiap-siaga kepada tarikh itu.

Pada hari Sabtu ini 6 April, juga difahamkan manifesto BN akan dilancarkan di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Namun ada baiknya apa yang dilakukan oleh PM selama ini. Dia mahu semua pihak bekerja -- bekerja keras kerana baginya pembubaran adalah bila-bila masa, walaupun penantian itu terlalu memenatkan.
Beliau telah berjaya mengangkat dirinya sebagai PM dan Presiden UMNO yang bekerja “siang-malam" bagi menentukan semuanya sempurna.

Hari ini, 3 April genap empat tahun pemerintahan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam.
Hari itu juga banyak signifikannya. Hari ini juga Sidang Jemaah Menteri yang terakhir dan semua anggota jemaah Kabinet akan melakukan ritual terakhir iaitu bergambar beramai-ramai, sebelum pulang ke destinasi masing-masing untuk menentukan kesinambungan negara bagi penggal seterusnya.

Najib telah melakukan segala-galanya. Beliau telah memberi 101 peratus bagi menentukan bahawa kejayaan PRU-13 ini cemerlang. Beliau bukan merayu dan perayu, tetapi telah menunjukkan kepada rakyat beliau seorang ekonomis yang hebat.

Sepanjang rancangan transformasinya, pihak lawan terkunci mulut. Mereka gagal melakukan apa-apa untuk mengkritik pentadbirannya. Sebaliknya janji mereka dalam manifesto PRU-12 gagal dipenuhi.

Rakyat sudah dan akan menerima apa yang sepatutnya mereka terima.

Oleh kerana Najib terlalu sempurna dalam tugasnya mereka cuba membunuh karekternya melalui cara lain. Isterinya diserang habis-habisan.

Namun, Najib terus bekerja keras. Beliau tidak peduli serangan itu. Kerja diteruskan. Para pegawainya juga terpaksa bekerja keras -- juga siang dan malam -- untuk menyaingi pace, rentak laju beliau.
Kempen pembangkang untuk menukar negara ini hanyalah omongan. Konon mahu selamatkan Malaysia.
Kita mahu tanya, mereka mahu menyelamatkan siapa dan apa sebenarnya? Slogan Selamatkan Malaysia adalah permainan reverse psychology (psikologi songsang) Anwar Ibrahim yang cukup pintar dalam permainan itu.

Anwar, jika tersungkur kali ini akan terus lenyap dalam kamus politik negara. Biarpun matlamat menghalalkan cara sekalipun, dia perlu lakukan.

Begitu juga Nik Aziz dan Kit Siang. PRU-13 adalah yang terakhir bagi mereka.

“Mereka harus dikuburkan." Itu kata Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri berusia 86 tahun yang terus dianugerahkan Allah SWT dengan kesihatan yang cukup baik dan akal yang cukup tajam -- walaupun pelbagai kata nesta dilemparkan ke atasnya sejak berdekad.

Walaupun pelbagai solat hajat untuk kemusnahannya dilakukan di padang stadium di Kelantan oleh Nik Aziz, namun lihat siapa sakit, siapa sihat.

Ya Allah, Kau sesungguhnya Maha Adil dan Maha Mengetahui kepada hamba-hambaMu.

Beberapa hari lalu semasa melalui jalan di hadapan Muzium Negara, saya sempat menoleh ke kanan jalan. Kelihatan muncul bangunan-bangunan yang tinggi. Sebuah hotel tersohor di dunia St. Regis sedang dibina menghadap ke bangunan muzium yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah negara itu.

Itulah kemakmuran Malaysia. Jika tidak makmur, mereka tidak akan mendirikan hotel mewah itu di sini.
Kren-kren bangunan masih kelihatan di sana-sini di sekeliling Lembah Klang, yang menunjukkan pembangunan Malaysia terus utuh, walaupun ada pihak yang mahu menyelamatkan negara ini.

Kaum-kaum pedagang yang rata-rata Cina Malaysia terus menerus menjalankan perniagaan dan mengaut untung tanpa rasa takut dan gentar. Keselamatan mereka sentiasa dijagai oleh anggota polis dan tentera, rata-rata bangsa Melayu dan Pribumi.

Orang Cina amatlah beruntung berbumbungkan tanah bumi bertuah ini.

Kita harap mereka akan memberi undi bagi kesinambungan kepemimpinan kerajaan yang sudah memimpin selama 56 tahun ini dengan aman, makmur; walaupun penganalisis politik meramalkan kaum Cina tidak mahu berganjak daripada DAP dan pembangkang.

Namun, orang India dikatakan akan tetap setia dan taat bersama BN.

Seburuk-buruk kerajaan ini yang didakwa pembangkang, ia masih negara terbaik dan terhebat dari dulu hingga sekarang, kata rakan-rakan Arab saya. Orang Arab amat menyanjung tinggi negara ini.
Pernah ketika saya di Dubai, mereka berkata peralatan elektrik dari Malaysia adalah pilihan utama kerana kualitinya cukup baik.

Maksud mereka bukanlah kepada barang elektrik itu sangat, tapi kerana ketaksuban mereka di atas pencapaian dan kemajuan Malaysia dan rakyatnya.

Hari ini Malaysia sudah berbeza. Rakyatnya juga sudah berubah. Orang Melayu bukan orang Melayu dulu lagi. Ramai juga yang bercelaru fikiran. Mereka terlalu taksub kepada perkara-perkara yang tidak menentu.

Sudah ada orang Melayu yang sanggup memotong kemaluan bapanya sendiri (yang menghasilkannya) dan kemaluan dia sendiri kerana terpengaruh dengan cerita dunia akan kiamat beberapa hari lagi.
Dengan kecekapan doktor-doktor nasib baik punainya itu dapat dicantum semula.

Hendak juga kita bertanya kepada dia “apa perasaannya sekarang".

Maka saya percaya dia akan berkata “saya sudah insaf dan tidak taksub lagi".

Begitu jugalah insafnya orang yang cukup dihormati dalam kalangan cendekiawan di negara ini seperti Profesor Datuk Sidek Baba atau Cikgu Sidek.
Beliau sudah insaf kerana selama ini dia mengatakan hanya Anwar Ibrahim sahaja yang betul, orang lain salah.
Cikgu Sidek pernah marah kepada Dr. Mahathir kerana memecat Pak Sheikh itu. Beliau pernah marah Dr. Mahathir kerana menzalimi Pak Sheikh itu. Dia marah kerana orang menuduh Anwar sebagai peliwat dan homoseks.

Kini dengan kehendakNya, Cikgu Sidek sudah berubah. Hari Jumaat yang barakah ini, buat pertama kalinya beliau akan bertemu dan berbincang dengan Tun Dr. Mahathir.

Bertemu dari hati ke hati. Mungkin jauh di dalam hatinya beliau mahu berkata "Tun ampunkanlah aku. Aku hanyalah insan yang kerdil yang tidak kurang daripada kesilapan dan kekhilafan."
“Maafkan saya Tun..."

Begitu juga seorang ahli Ahli Seumur Hidup Pas, C.N Al-Afghani juga akan menemui Tun Mahathir pada hari yang barakah itu untuk tujuan yang sama.
Sebelum ini dalam satu ceramah beliau secara terbuka memohon maaf kepada Tun di atas kejahilannya selama ini.
Pertemuan itu bukan diminta oleh Tun Mahathir, tapi di atas permintaan ikhlas daripada kedua-dua tokoh itu.

Alhamdulillah, ini adalah kuasa Allah. Dialah yang memberi cahaya nur kepada kedua-duanya dan berpuluh-puluh lagi bekas rakan-rakan Anwar untuk sudah dapat menerima yang haq dan meninggalkan yang bathil.
Anwar kini keseorangan. Cikgu Sidek yang bersama-samanya selama 30 tahun telah meninggalkan beliau. 

Dua tahun Cikgu Sidek mencari jawapan kepada “siapa sebenarnya Anwar Ibrahim".
Kini dengan berkat istiharah ke hadrat Allah SWT beliau sudah jumpa jawapannya.
Di atas pentas forum, sudah menjadi kewajipan Cikgu Sidek atas nama Tuhan Yang Esa untuk mendedahkan yang benar: Siapa itu Anwar Ibrahim?
Malaysia oh Malaysia, kau negara bertuah. Keramatmu sungguh hebat sekali.
Hari ini sudah tiba masanya. Gendang sudah dipalu. Trompet perang sudah ditiup.

Jika tiada aral melintang, insya-Allah pilihan raya ialah awal Mei ini.

Ayuh mara ke medan tempur demi Agama, Bangsa dan Negara. Sayangilah Malaysia, ia adalah satu-satunya negara tumpah darah kita ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130403/re_05/Inilah-harinya-Gendang-perang-sudah-dipalu#ixzz2PVtQFcTP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: