Saturday, March 2, 2013

Tindakan ke atas penceroboh tanpa kompromi





PEKAN 1 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kumpulan penceroboh di Lahad Datu ditumpaskan setelah mereka menembak mati dua anggota keselamatan dalam insiden serangan pagi ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin telah diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk mengambil apa sahaja tindakan yang perlu tanpa ada lagi sebarang lanjutan masa kepada kumpulan berkenaan.

‘‘Apabila mereka telah mengakibatkan anggota kita terkorban, maka kita tidak perlu beri apa-apa lagi tempoh masa. Tindakan yang diambil perlu mengikut keadaan dan situasi yang difikirkan wajar oleh pasukan kita yang telah diberi kuasa sepenuhnya.

‘‘Kumpulan ini mesti ditumpaskan sama ada mereka menyerah diri ataupun terima apa juga akibat daripada tindakan yang telah dilakukan," tegas beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Pekan di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, berdasarkan maklumat daripada Ketua Polis Negara, insiden yang berlaku itu di luar jangkaan sama sekali kerana kumpulan penceroboh terlibat telah mara 1.5 kilometer dari tempat yang mereka berkumpul selama ini dan itu sesuatu yang tak diduga oleh pasukan keselamatan negara.

Katanya, dalam pertempuran secara mengejut itu, polis telah kehilangan dua anggota manakala tiga lagi cedera dan laporan yang diterima, kumpulan penceroboh itu pula kehilangan 10 hingga 12 anggota.
‘‘Apa yang berlaku sekarang ini, kita telah menambah kekuatan kita dan mereka berada dalam keadaan dikepung sepenuhnya.

‘‘Apa yang akan berlaku selepas ini, tindakan tertentu akan diambil. Ini merupakan keputusan yang hanya boleh dibuat pimpinan ground commanders, mereka diberi mandat sepenuhnya," jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Najib, beliau sedih dengan kejadian yang berlaku di Lahad Datu kerana apa yang diharapkan iaitu mengelakkan sama sekali sebarang pertumpahan darah sama ada di pihak yang menceroboh dan apatah lagi jika berlaku ke atas anggota pasukan keselamatan.

Ditanya pihak mana yang memulakan serangan, Najib berkata, kumpulan penceroboh yang mula melepaskan tembakan dahulu.

Katanya, sekarang ini kumpulan berkenaan telah dikepung sepenuhnya.

Berhubung spekulasi mengatakan terdapat pemimpin kumpulan penceroboh yang terbunuh dalam insiden itu, Najib berkata: ‘‘Mayat itu kita kena kenal pasti dahulu, setakat ini kita belum buat pengesahan.’’

Ditanya pihak yang mengetuai operasi di Lahad Datu, Perdana Menteri berkata, polis terlibat dalam barisan pertama dan tentera di barisan kedua.

‘‘Tetapi polis juga terdiri daripada pasukan VAT 69 yang cukup berpengalaman," ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130302/je_01/Tindakan-ke-atas-penceroboh-tanpa-kompromi#ixzz2MKwTOB7I
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(terimakasih;sumber dari http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130302/je_01/Tindakan-ke-atas-penceroboh-tanpa-kompromi(

No comments: