Saturday, April 14, 2012

Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby dipenjara 27 tahun, denda RM894,400 :arkib utusan 13.04.2012



Md. Zaki Othman


KUALA LUMPUR 12 April - Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. dihukum penjara 27 tahun dan denda RM894,400 selepas didapati bersalah atas lima tuduhan rasuah membabitkan penerimaan set perabot dan tiga utas jam tangan mewah berjumlah RM178,880 daripada seorang kontraktor antara 2007 dengan 2009.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ahmad Zamzani Mohd. Zain memutuskan demikian terhadap Md. Zaki Othman, 49, selepas mendapati pembelaan lelaki itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.

Ahmad Zamzani turut memerintahkan tertuduh dipenjara 112 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu dan kesemua hukuman berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh melalui peguamnya, S. Vijayan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zamzani dalam keputusannya berkata, keterangan pembelaan Md. Zaki bersifat penafian semata-mata selain penjelasan tertuduh tidak jujur dan tidak berasas.

''Keseluruhan keterangan Md. Zaki gagal membatalkan anggapan-anggapan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 50(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung menerima rasuah dengan niat,'' kata beliau.

Sebelum itu, Vijayan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyara seorang isteri dan empat anak, sudah berkhidmat di syarikat selama 25 tahun dan hilang pekerjaan selepas didakwa.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Saifuddin Hashim Musaini sebaliknya memohon hukuman setimpal dan adil dikenakan.

Beliau berkata, tertuduh yang bergaji bulanan RM39,000 pada waktu kejadian sepatutnya tidak melakukan kesalahan melibatkan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Mengikut pertuduhan, Md. Zaki didakwa menerima satu set perabot berharga RM33,600 dan seutas jam tangan Rolex RM21,700 daripada seorang kontraktor yang namanya tidak didedahkan bagi membantu melulus dan mempercepatkan kontrak bernilai RM23.9 juta. Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di No. 4, Jalan Austin Perdana 2/11, Taman Austin Perdana di Johor Bahru, masing-masing 10 pagi, 14 Disember 2007 dan 9 malam, 10 Mac 2009.

Bagi kesalahan menerima perabot, dia dipenjara empat tahun dan denda RM168,000 atau penjara 18 bulan manakala kesalahan menerima jam tangan Rolex, dia dipenjara lima tahun dan denda RM108,500 atau penjara 20 bulan. Md. Zaki turut dihukum penjara lima tahun dan denda RM153,000 atau penjara 20 bulan atas tuduhan meminta suapan seutas jam tangan jenama IWC bernilai RM32,980 daripada kontraktor sama di pejabat syarikat The Hour Glass Sdn. Bhd. Lot G1, Ground Floor, Lot 10 SC, Jalan Sultan Ismail di sini pada 13 Mac 2009.

Bagi tuduhan keempat, tertuduh dihukum penjara enam tahun dan denda RM164,900 atau penjara 24 bulan kerana bersetuju menerima seutas jam tangan Hublot bernilai RM60,000 daripada kontraktor terbabit di tempat sama pada pukul 10 pagi, 15 Mei 2009.

Sementara bagi tuduhan terakhir iaitu meminta suapan RM30,600 daripada kontraktor tersebut bagi bayaran tiga set perabot rumah pada 28 November 2009 di Europe Asia Furniture Expo Sdn. Bhd., No. 15A, Jalan Universiti, Petaling Jaya, Md. Zaki dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM300,000 atau penjara 30 bulan.

Kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama-sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Februari tahun lalu itu, sebanyak 29 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

No comments: