Wednesday, June 24, 2009

Skrip 'wayang perpaduan' dedah PAS bukan lagi parti survival orang Melayu





Oleh: ROSLAN BIAN

PAS menutup cerita ‘wayang perpaduan’ yang skripnya ditulis Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Penamatnya pada Isnin, apabila PAS bersama sekutu mereka, PKR dan DAP sepakat menuduh idea pakatan perpaduan itu adalah fitnah, tohmahan jahat serta usaha terdesak UMNO dan Barisan Nasional.

Kononnya kerajaan terdesak dan tergugat dengan pembangkang yang semakin mendapat dukungan rakyat.

Sekaligus, ketiga-tiga parti itu mengulangi komitmen untuk terus memperkasakan pembangkang bagi membentuk kerajaan yang akan datang.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula pada petang sama menunjukkan dirinya yang sebenar apabila turut menuduh UMNO mempolitikkan isu kerajaan perpaduan manakala media perdana membesar-besarkannya.

Apakah Menteri Besar Kelantan itu mahu jadi sesumpah yang kerap berubah warna bila berdepan musuh?

Jika Ahad Nik Aziz yang selama ini keras menentang idea yang diluahkan Hadi tetapi kata beliau sudah beristiqamah dan mahu idea kerajaan perpaduan ikut saluran yang betul kenapa petang Isnin istiqamahnya mulai terpesong?

Antara jawapannya kenapa beliau mulai berlembut dengan kenyataan Ahad mungkin kerana selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Barangkali ada yang tersirat disebalik kenyataan lembut Nik Aziz itu tambahan pula, Anwar bukanlah calang pemimpin jika tidak sentiasa memikirkan tindakan yang boleh memberi manfaat kepada pembangkang termasuk dirinya.

Ada yang berpendapat, Nik Aziz bertindak demikian kerana khuatir pemimpin PAS dan ahli yang bersetuju dengan idea Hadi tidak akan menyokong kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

Dalam PAS sebelum ini timbul desas desus kononnya kumpulan yang menyokong gagasan Hadi tidak dibenarkan turun ke Manek Urai malah poster Presiden PAS itu dikatakan juga tidak akan dipasang ketika berkempen.

Para pemerhati politik berpendapat, sebab ini ada benarnya berdasarkan kenyataan Nik Aziz selepas perjumpaan khas di ibu pejabat parti itu petang Isnin.

Selepas selesai membaca kenyataan empat baris berhubung perjumpaan itu yakni menyalahkan UMNO, menyokong keputusan pemimpin atasan PKR dan DAP yang menolak idea kerajaan perpaduan serta menarik balik kecaman terhadap Nassharuddin Mat Isa berkaitan isu itu, Nik Aziz menegaskan:

“Selepas ini semua pemimpin PAS yang ada akan turun kempen di Manek Urai,”.

Kenyataan itu merujuk kepada Hadi, Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh dan Datuk Dr Haron Din yang hadir perjumpaan tersebut.

Pengumuman Nik Aziz itu tidak terkandung dalam kenyataan empat baris yang diedarkan kepada media selepas perjumpaan itu.

Nampaknya, PAS amat bimbing berdepan UMNO di Manek Urai.

Umum tahu, ketika parti itu nampak mulai pecah dengan idea kerajaan perpaduan serta tewasnya geng Erdogan pada pemilihan dalam muktamar PAS baru-baru ini, sekutu mereka, PKR dan DAP mulai meragui PAS.

Mahu atau tidak, demi mendapatkan sokongan PKR dan DAP di Manek Urai, Pas akhirnya memilih membelakangkan masa depan orang Melayu dan Islam di negara ini dengan menolak idea kerajaan perpaduan.

Kenyataan Mahfuz dengan analogi bahawa 'UMNO kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pembangkang menampakkan betapa pemimpin PAS mulai riak dan takbur.

Kerana riak juga Nik Aziz semalam mahu UMNO minta maaf sebagai salah satu syarat menjayakan perbincangan kerajaan perpaduan.

Ada pemerhati yang berpendapat sebenarnya ada hikmah disebalik keputusan PAS menolak idea yang dibuat pemimpin mereka sendiri.

Walaupun ianya bukan ibarat meludah ke langit, tetapi ianya membuka pekung di dada pemimpin PAS dan membuktikan bahawa parti itu bukanlah berjuang untuk orang Islam dan Melayu di negara ini.

Barangkali mereka masih berpegang bahawa kerjasama dengan UMNO yang mempunyai komponen daripada parti orang Cina dan India adalah ‘kafir’.

Bagi PAS, merekalah paling arif hukum hakam agama dengan pemimpin yang tidak pernah buat salah.

Kini PAS samalah macam PKR dan DAP.

Pengundi di Manek Urai kini boleh menilai perjuangan sebenar parti yang sudah mulai terkeluar daripada landasan perjuangan yang pernah dipertahankan pemimpin terdahulu termasuk allahyarham Datuk Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil sepanjang hayatnya dikatakan tidak pernah menutup pintu rundingan termasuk dengan UMNO tetapi Nik Aziz adalah pemimpin PAS yang cukup phobia dengan usaha perpaduan ini. Dan Isnin semua skrip wayang kerajaan perpaduan –lengkap sudah!

Dalam erti kata lain, kini PAS tidak lagi boleh dianggap parti yang boleh menjamin survival orang Melayu.

Dan UMNO walaupun dilihat lemah, sebenarnya masih mampu memastikan nasib orang Melayu terus terbela.-22/6/2009

Perpaduan...boleh 'tutup kedai'

Idea penubuhan kerajaan perpaduan asalnya terpacul daripada mulut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.Ia telah melalui polimek yang berlarutan.Isnin hasil dari mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang di bangunan Parlimen semua sudah bertukar.Apa yang dapat disimpulkan ialah idea kerajaan perpaduan ‘sudah boleh tutup kedai’.

Berdasarkan satu kenyataan yang yang ditandatangani oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga Lim Kit Siang mewakili DAP selepas mesyuarat hampir satu jam setengah itu, pakatan pembangkang menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Menurut kenyataan pimpinan pembangkang keputusan berkenaan dibuat kerana mendakwa idea kerajaan perpaduan adalah fitnah dan tohmahan jahat UMNO yang terdesak.

“Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat,” kata kenyataan itu.

Serentak dengan itu, pembangkang mengulangi pendirian mereka untuk mengukuhkan pakatan sedia ada bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang akan datang.

Bagaimanapun pemimpin pembangkang menjelaskan, mereka mengambil sikap terbuka dan bersedia bertemu dengan pemimpin BN bagi bincangkan isu-isu berkepentingan nasional seperti usaha pemulihan ekonomi serta pembubaran DUN Perak dan menjalankan pilihan raya segera di negeri itu bagi selesaikan ‘rampasan kuasa’ di Perak.

Menjelaskan pendirian PAS, Presidennya, Hadi berkata, cara UMNO membicara soal kerajaan perpaduan seolah-olah hanya untuk melunakkan parti itu dan membawa PAS untuk meninggalkan pakatan pembangkang.

“Tidak ada (kerajaan perpaduan) kalau ikut cara (UMNO) itu,” katanya. – 22/6/2006

Berita sebelum ini: Pembangkang mula bincang perpaduan...kes Anwar juga disentuh

Pakatan Pembangkang mengadakan mesyuarat tengahari Isnin yang antara lain difahamkan membincangkan cadangan perbincangan mengenai perpaduan dengan UMNO yang dilontarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun mesyuarat berkenaan tidak dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang menjadi tumpuan ekoran kenyataannya selama ini yang dilihat pro kepada perbincangan perpaduan dengan UMNO.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Agendadaily, mesyuarat berkenaan juga antara lain akan membincangkan isu kes liwat Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengenai ketidakhadiran Nasharuddin, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub beritahu Agendadaily, Timbalan Presiden PAS itu hanya akan hadir mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat parti itu, malam Isnin.– 22/6/2009


PAS akan mengadakan mesyuarat untuk redakan ketegangan


PAS, yang kini berhadapan dengan apa yang boleh dikatakan suatu krisis, bersiap sedia mengadakan siri mesyuarat dengan rakan pakatan parti pembangkang dan pucuk pimpinan tertinggi bagi meredakan ketegangan berhubung cadangan perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Pemimpin parti itu berkata sekurang-kurangnya empat mesyuarat dijadual diadakan, bermula dengan mesyuarat pertama dengan rakan dalam pakatan PAS-PKR-DAP di Parlimen pada tengah hari Isnin.

Mesyuarat itu, yang juga yang pertama di kalangan gabungan parti pembangkang selepas Muktamar PAS awal bulan ini, akan menjadi venue bagi parti berkenaan menyatakan pendirian jelas tentang isu perbincangan perpaduan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu Bernama, selain beliau sendiri, PAS akan diwakili oleh Presiden parti Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dan dua naib presidennya.

Selepas itu, satu mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat PAS akan diadakan di ibu pejabat baru parti di Jalan Raja Laut pada pukul 8.30 malam.

"Lazimnya, kami akan berbincang dengan panjang lebar... ini pastinya akan menjadi suatu mesyuarat yang lama," kata Mustafa.

Beliau enggan mendedahkan butiran mengenai mesyuarat itu tetapi sumber dalaman parti menyatakan, mesyuarat itu antara lain akan membincangkan mengenai bagaimana hendak meredakan keadaan berikutan cadangan kerajaan perpaduan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan yang naik berang dengan perkara itu.

Nik Aziz meminta Nasharudin meletak jawatan daripada parti dan menyertai Umno jika beliau terus mendesak meneruskan idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

Selain daripada dua mesyuarat berkenaan, satu mesyuarat membabitkan Nik Aziz, Nasharudin dan Abdul Hadi turut dicadangkan bagi membincangkan perbezaan pendapat berhubung isu perbincangan perpaduan.

Mustafa tidak menyatakan bilakah mesyuarat itu akan diadakan tetapi menurut pemimpin parti, ia dijadual diadakan minggu depan.

Nik Aziz kini disertai 10 Anggota Parlimen PAS, yang diketuai Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Md Ramli, membantah gagasan kerajaan perpaduan, yang dikemukakan oleh Abdul Hadi.

Sumber dalaman parti berkata PAS juga merancang mengadakan permukiman khas pemimpin tertinggi parti selepas pilihan raya kecil Manik Urai bulan depan sebagai langkah mengukuhkan perpaduan parti.

Permukiman dua hari itu dijadual diadakan mulai 18 Julai di satu tempat yang tidak didedahkan, dengan Ketua Penerangan parti yang baru dilantik, Idris Ahmad, diberi tanggungjawab untuk menganjurkan acara itu.

Idris enggan mengulas perkara itu apabila dihubungi Bernama.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan sayap parti secara online

Harakahdaily.net, Idris menyatakan ketegangan sebagai satu ujian kematangan kepimpinan.-20/6/2009



Printable Version | Email to a Friend
(sumber;http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a)

zmsegamat; teringat kat AMANAT HAJI HADI

Amanat Haji Hadi
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.


Amanat Haji Hadi Awang merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985[1].

Sedutan ucapan ini adalah seperti berikut:


Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.


Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Komentar

1.0 Menjelang Pilihan Raya Umum Malaysia 1982, Ustaz Abdul Hadi Awang dilihat sebagai pemimpin pelapis parti PAS yang akan menerajui pucuk pimpinan PAS satu hari nanti

2. Ucapan ini selaras dengan buku yang ditulis oleh Said Hawa, antaranya berjudul Jundullah Tsaqafatan wa Ahlaqan

3.Pada tahun 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amanat tersebut sebagai bertentangan dengan Islam

4. Kebimbangan amanat tersebut memecah belah masyarakat Islam timbul lagi pada tahun 2001 dan satu perjumpaan dibuat di antara Hadi dan Majlis Fatwa

5.Selepas Pilihan Raya Umum 2008, PAS (yang diterajui oleh Hadi) dan DAP yang majoritinya masyarakat Cina dan bukan Islam; serta Parti Keadilan Rakyat bersama-sama mendirikan kerajaan di Perak dan Selangor setelah pakatan mereka berjaya menafikan majoriti mudah Barisan Nasional

(sumber;http://ms.wikipedia.org/wiki/Amanat_Haji_)

No comments: