Tuesday, June 10, 2008

Segamat: Buloh Kasap bagai 'pekan mati'


KEKAL: Papan tanda lama masih digunakan di jalan masuk ke pekan Buloh Kasap.



TERBIAR: Jambatan lama Buloh Kasap yang rosak ketika Perang Dunia Kedua jadi tinggalan sejarah.


LENGANG: Pekan Buloh Kasap kini seperti pekan mati.



Johor: Buloh Kasap bagai 'pekan mati' petikan dari berita harian isnin 09.06.2008
Oleh Paiman Selamat



Kebanyakan penduduk berhijrah cari peluang pekerjaan sesuai, beberapa premis perniagaan terpaksa gulung tikar

SEGAMAT: Pekan Buloh Kasap, di sini seperti sebuah 'pekan mati' apabila kebanyakan penduduknya terpaksa berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan sesuai dan mencari kehidupan yang lebih baik.

Bahkan, pelbagai kemudahan seperti perbankan turut tidak mencukupi selain banyak premis perniagaan terutama kedai makan terpaksa sekadar bertahan manakalanya sebahagiannya mengambil keputusan 'gulung tikar' kerana mencatat kerugian.

Setakat ini, dua kilang iaitu kilang papan lapis dan sebuah kilang elektronik, Mitsumi, kedua-duanya di kawasan Buloh Kasap sudah menghentikan operasinya menyebabkan beratus-ratus penduduk Buloh Kasap dan sekitarnya terpaksa berhenti kerja.

Kilang papan lapis di tepi sungai Buloh Kasap sudah tidak beroperasi sejak dua tahun lalu manakala kilang Mitsumi di Taman Yayasan juga di Buloh Kasap, kini dalam proses penutupan menyebabkan orang ramai terpaksa berhenti kerja dan sesetengahnya mencari pekerjaan di merata tempat.

Malah, daripada kira-kira 3,000 penduduk Buloh Kasap, ada yang terpaksa berpindah ke daerah lain bersama keluarga untuk mencari kehidupan lebih baik.


Difahamkan, selain masalah pengurusan, antara punca utama kilang papan lapis terbabit terpaksa menghentikan operasi di kawasan itu kerana lokasi kilang yang tidak lagi sesuai dan sering ditenggelami banjir.

Seorang penduduk, Marmin Abdullah, 63, berkata keseluruhan penduduk mencadangkan peranan kedua-dua kilang itu diganti oleh beberapa kilang lain yang mengeluarkan produk berbeza untuk menarik orang ramai kembali ke kawasan berkenaan.

"Selain untuk merancakkan ekonomi di pekan ini kembali, ia boleh memberi peluang kepada penduduk mendapat pekerjaan dan menarik pelabur luar melabur ke daerah ini," katanya.

Marmin berkata, beliau juga mencadangkan supaya pejabat Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka cawangannya di Taman Yayasan dalam kawasan Buloh Kasap bagi memudahkan penduduk setempat berurusan.


Katanya, ketika ini, hanya sebuah wakil pos menjalankan perkhidmatan di kawasan berkenaan dan ia tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan Buloh Kasap dan Taman Yayasan yang ramai.

"Selain itu, ketiadaan cawangan BSN di pekan ini menyukarkan kebanyakan pekerja kilang yang biasanya menerima gaji melalui akaun bank berkenaan sehingga terpaksa ke Segamat untuk membuat pengeluaran wang," katanya.

Sementara itu, Mohd Sanid Mohd Zain, 50, berkata selama ini penduduk Buloh Kasap dan Taman Yayasan membayar cukai pintu di Majlis Daerah Segamat (MDS) yang terletak di bandar Segamat, tetapi sejak lima tahun lalu MDS menyediakan kemudahan kaunter sementara di Dewan Raya Buloh Kasap.

"Hanya urusan membayar denda kerana kesalahan meletak kenderaan atau tidak meletak kupon meletak kenderaan perlu membayarnya di MDS," katanya.

Ketua Whip MDS yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Segamat, Zakaria Auda, berkata cadangan membuka kilang di kawasan Buloh Kasap itu disokong kerana memberi faedah penduduk setempat selain menarik orang ramai ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata, contohnya jika kilang Mitsumi menjalankan operasinya semula, ia bukan saja menyediakan pekerjaan kepada penduduk malah menarik pelabur ke daerah ini dan membantu peniaga terutama mereka yang berniaga di gerai makan MDS berhampiran kilang berkenaan.

"Saya juga menyokong desakan penduduk supaya Pejabat Pos dan BSN diwujudkan di Taman Yayasan kerana wakil pos di Buloh Kasap hanyalah cawangan yang kecil sehingga menimbulkan banyak kesulitan kepada pelanggan," katanya.

Bagaimanapun, kemudahan lain di Buloh Kasap tidak banyak ketinggalan dengan kawasan lain seperti mempunyai balai polis, masjid, sekolah menengah, sekolah kebangsaan, sekolah agama, pasar awam dan wakil pos.

Seorang lagi penduduk Mohd Yazid Mohd Noor, 43, pula berharap kerajaan negeri dapat menyediakan kemudahan padang bola sepak di kawasan itu untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas melalui kegiatan sukan berkenaan.

Katanya, akibatnya, peminat bola sepak di sekitar Buloh Kasap tidak berpeluang bermain bola kerana ketiadaan kemudahan itu berbanding sukan lain seperti bola keranjang yang mempunyai gelanggang untuk sukan berkenaan.

"Penduduk berharap pihak tertentu termasuk wakil rakyat di peringkat Parlimen Segamat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap supaya memikirkan masalah ini bersungguh-sungguh disamping berusaha mencari lokasi sesuai untuk membina padang bola sepak," katanya.

No comments: