Thursday, June 12, 2008

Elaun Keraian PM, TPM, Jemaah Menteri dipotong




Rebat dibayar mulai Sabtu
Petikan dari berita harian selasa 10.06.2008
Oleh Abdul Razak Raaff


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Elaun keraian PM, TPM, jemaah menteri dipotong 10 peratus ringan beban rakyat

PUTRAJAYA: Pembayaran rebat kepada pemilik kenderaan persendirian yang dijadual bermula 1 Julai, akan mula dibayar Sabtu ini bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.

Mesyuarat Majlis Menangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini semalam, turut memutuskan elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri, dipotong 10 peratus mulai 1 Julai ini.

Selain itu, cuti berbayar bagi menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini boleh dinikmati untuk ke sebarang destinasi, kini dihadkan kepada destinasi dalam negeri dan rantau Asean saja dengan tempoh tidak melebihi seminggu.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menganggar memperoleh penjimatan tambahan RM2 bilion menerusi pengurangan perbelanjaan awam, termasuk pemotongan elaun keraian jemaah menteri.

Beliau berkata, penjimatan itu akan digunakan bagi menyalurkan semula kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.



Abdullah berkata, Perbendaharaan akan menyelaraskan butiran mengenai jumlah pengurangan elaun berkenaan dan tindakan bagi melaksanakannya dengan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, Perbendaharaan juga mengeluarkan pekeliling mengenai cara pengurangan perbelanjaan, terutama berkaitan perjalanan luar negara, penggunaan hotel untuk sebarang majlis serta menangguhkan perbelanjaan yang masih dalam perancangan.

Mengenai bayaran rebat kepada pemilik kenderaan persendirian, Perdana Menteri berkata, pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan pada April dan Mei tahun ini boleh mendapatkan bayaran berkenaan di pejabat pos mulai Sabtu ini.

Beliau berkata, maklumat terperinci mengenai prosedur berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Minggu lalu, Abdullah mengumumkan pemilik kenderaan berkuasa 2,000cc ke bawah, pikap dan pacuan empat roda yang berkuasa 2,500 cc ke bawah akan diberi rebat RM625 setahun, manakala pemilik motosikal berkuasa 250cc ke bawah akan dibayar RM150 setahun.

Abdullah berkata, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menambah kuota diesel yang boleh dibeli dengan kemudahan kad fleet untuk pengusaha pengangkutan awam.

Di samping itu, katanya, senarai kenderaan yang layak untuk menerima diesel subsidi itu akan diperluaskan meliputi bas pekerja dan teksi menggunakan petrol.

"Namun, kita belum memutuskan jumlah kuota diesel yang akan ditambah supaya tambang bagi pengangkutan awam dapat dikekalkan," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk menaikkan elaun bagi menambah baik liputan jaringan jaminan sosial.

Katanya, treshold pendapatan akan ditingkatkan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada elaun berkenaan dan maklumat terperinci mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa seminggu.

Pada sidang media itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 9, Tahun 2008 yang ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan diedarkan semalam, yang menyenaraikan beberapa langkah penjimatan, iaitu:
• Membekukan pewujudan jawatan baru kecuali jawatan tertentu dan kritikal termasuk yang terbabit secara langsung di bidang pendidikan, kesihatan dan penguatkuasaan.
• Melarang penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan, badan berkanun kecuali bagi memperkemaskan struktur organisasi tanpa membabitkan jawatan baru atau mengurangkan bilangan tenaga kerja.
• Mengehadkan tugas rasmi ke luar negara kepada persidangan dan mesyuarat antarabangsa yang penting dan bilangan pegawai pula tidak lebih tiga orang dengan seorang menteri boleh membawa tiga pegawai kementerian ketika tugas rasmi di luar negara, manakala timbalan menteri cuma boleh membawa dua pegawai.
• Ketua Setiausaha tidak dibenarkan menyertai bersama dalam rombongan menteri untuk tugas rasmi di luar negara, kecuali mesyuarat berjadual.
• Penggunaan kemudahan hotel hanya dibenarkan bagi mesyuarat persidangan, seminar dan bengkel antarabangsa manakala semua kursus, latihan dan bengkel yang dianjurkan dihadkan dan diadakan dengan menggunakan kemudahan sedia ada.
• Sewa ruang pejabat baru, tambahan, perpindahan pejabat ke bangunan lain dan membuat pengubahsuaian pejabat sedia ada tidak dibenarkan.
• Sebarang perbelanjaan bagi pembelian aset termasuk kereta, perabot, komputer dan pelbagai kelengkapan pejabat lain yang belum komited hendaklah ditangguhkan manakala pembelian bahan percetakan dan alat tulis dikurangkan.
• Bagi aset sedia ada, kerja penyelenggaraan hendaklah dilaksanakan secara optimum supaya dapat menjimatkan tenaga dan mengurangkan perbelanjaan dalam tempoh jangka masa akan datang.
• Majlis dan upacara keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan, mesyuarat, penyampaian hadiah, perasmian bengkel, kursus hendaklah dihadkan dan jika perlu dibuat pada tahap sederhana dan tidak membabitkan perbelanjaan besar, dan
• Bekalan pakaian bagi majlis dan upacara pelancaran tidak dibenarkan dan pemberian cenderamata tidak digalakkan tetapi jika perlu dihadkan kepada buku, kraftangan dan produk makanan tempatan.

Perdana Menteri berkata, langkah penjimatan perbelanjaan awam itu dibuat berikutan peningkatan kos akibat kenaikan harga bahan api.

"Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan merasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini," katanya.

Harga petrol mencecah AS$138 setong di pasaran dunia dan memaksa kerajaan mengstruktur semula subsidi minyak, menjadikan harga runcit petrol kini RM2.70 seliter, naik 78 sen berkuat kuasa, Khamis lalu.
Cetak artikel | Hantar pada kawan

No comments: