2.0 Banyak yang begitu ringkas, tetapi penuh dengan pengertian dan makna, sungguhpun dalam konteks masa kini ada yang perlu diubahsuai untuk pengertian yang lebih jelas dan tepat.

3.0 ika dihayati makna di sebalik setiap perumpamaan dan peribahasa itu, ia mampu memberi kita panduan dalam tindakan dan kehidupan, di samping memberi kesedaran tentang apa yang baik. Satu daripadanya ialah `jangan dibakar kelambu, kerana pijat seekor’.
Ia memberi erti bahawa jangan dimusnahkan segala yang melindungi kita dan yang baik untuk kita, semata-mata kerana ada masalah atau perkara yang tidak menyukai hati kita. Kelambu melindungi kita daripada nyamuk dan lain-lain serangga yang membawa penyakit. Dan memberi kita perlindungan dan kebaikan.
Pijat pasti ada, jika tilam dan bantal tidak bersih, atau tidak didedahkan secara berkala kepada panas matahari. Atau tidak dilakukan usaha mencari dan membasmi pijat-pijat tersebut.

4.0 Dalam konteks zaman sekarang, kita melihat bagaimana begitu cepat dan senang apa jua kebaikan telah dilakukan, begitu mudah dilupakan semata-mata ada masalah-masalah yang tidak menyenangkan kita. Atau pun yang sememangnya tidak betul. Contohnya dalam konteks kerajaan dan rakyat.
Tidak boleh dinafikan bahawa ada perkara-perkara yang berlaku yang tidak betul dan tidak menyenangkan rakyat. Penyelewengan terus diperkatakan. Dan rasuah masih terdapat dengan kes-kes pelbagai bentuk di ketengahkan untuk pendakwaan.

5.0 Ada juga kes-kes yang masih tertangguh dan ditunggu hasil siasatannya. Ada pula kekurangan-kekurangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam yang menyebabkan kelewatan, kos-kos yang tidak sewajarnya dan juga kerugian pada pihak-pihak tertentu.
Dengan situasi-situasi begini, ada pihak-pihak yang mengutarakan slogan dan kempen menukar kerajaan iaitu membakar kelambu kerana terdapat pijat-pijat yang mengganggu. Dalam suasana politik dan ekonomi dunia yang begitu tidak menentu, serta kesan-kesan proses globalisasi, kestabilan politik dalam mana-mana negara jua, adalah sangat penting.
Menukar kerajaan tidak secara automatik menghilang atau meniadakan, apa jua perkara-perkara negatif yang merupakan masalah. Yang penting ialah dikesan di mana dan bagaimana punca setiap isu tersebut. Dan bagaimana ia bermanifestasi.

6.0 Biasanya setiap isu berpunca daripada sikap manusia, kesilapan, kelemahan, kurang memikir, tamak dan gelojoh dan tidak berpandu kepada prinsip integriti dan amanah serta bertanggungjawab. Kadangkala pegar pula memakan padi dan ada masanya tersalah letak musang untuk menjaga reban ayam.
Tetapi wajar diusahakan proses memperbetulkan, memperbaiki dan membersih. Pijat-pijat wajar dicari cara berterusan dan dibasmi. Jangan dibiarkan beranak-pinak dan bermaharajalela. Tilam, bantal, selimut dan kelambu juga perlu sentiasa dibersihkan supaya tidak lagi mendorong pijat untuk muncul. Dengan itu kelambu akan tetap berfungsi dengan efisien melindungi kita. Tidak perlu dibakar kelambu semata-mata kerana pijat mengganggu.

7.0 Begitu jugalah dengan kerajaan. Tidak perlu ditukar ganti kerajaan yang telah sekian lama menaungi negara dan rakyat dengan sebaik mungkin. Jauh lebih banyak yang positif daripada negatif yang telah dirasai oleh rakyat.
Kerajaan telah mampu menjadi kelambu yang berkesan dan melindungi rakyat dengan baik. Namun akan ada pijat-pijat yang tidak menyenangkan. Usaha sewajarnya fokus kepada membasmi pijat-pijat tersebut.

8.0 Orang tua-tua juga menyebut tentang `hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’. Saya yakin ini diperkatakan dalam zaman di mana negara ini sangat jauh ketinggalan dan dibelenggu oleh pelbagai bentuk penjajahan, sama ada politik ataupun ekonomi.
Sekarang keadaan telah berubah. Kita sudah jauh maju ke hadapan. Kita wajar bersyukur dan menghayati hakikat bahawa negara dan rakyat berada di saf hadapan di antara negara-negara di dunia.

9.0 Yang pentingnya ialah kita jangan hanya nampak kuman di seberang laut dan tidak melihat gajah di depan mata. Dan kita wajar juga menjaga supaya kelambu yang telah berjasa dalam melindungi kita sekian lama dijaga dengan baik, sambil bersama-sama membasmi pijat yang merupakan masalah kepada kita.
Jangan kita bersikap sudah terhantuk baru tengadah, dan jangan dibiarkan nasi menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.