Saturday, September 28, 2013

Petronas Dagangan jangan anaktirikan usahawan bumiputera - PPIM


KUALA LUMPUR 25 Sept. - Petronas Dagangan Berhad (PDB) digesa tidak menganaktirikan usahawan bumiputera terutama dalam memberi peluang perniagaan di rangkaian Kedai Mesra Petronas demi mencapai keuntungan semata-mata.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu dilihat tersasar jauh daripada hasrat kerajaan memperkasa ekonomi kaum Melayu dan bumiputera seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Tidak ramai usahawan bumiputera menghantar produk mereka untuk dijual di Kedai Mesra Petronas kerana tidak mampu membayar yuran penyenaraian yang mahal.

"Walau bagaimanapun, kita menerima aduan daripada salah seorang pembekal sedia ada yang sudah membekalkan produk lebih lima tahun lalu tetapi cuba disingkirkan pihak syarikat itu sendiri untuk memberi laluan kepada pengusaha luar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPNBM), Datuk Dr. Mohd Noor Ali Akbar dan Aktivis PPIM, Sheikh Abd. Kareem Sheikh Khadaied.

Menurut Nadzim, aduan diterima pihaknya langsung tidak mencerminkan peranan PDB sebagai anak syarikat di bawah Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang juga merupakan syarikat milik kerajaan (GLC).
Berdasarkan pemantauan pihaknya di Lembah Klang misalnya, kata beliau, terdapat kira-kira lima peratus sahaja usahawan bumiputera yang membekalkan produk mereka di Kedai Mesra Petronas.

"Ini tidak termasuk bilangan premis perniagaan yang diperuntukkan Petronas di gedung beli-belah miliknya seperti Suria KLCC dan Alamanda yang rata-rata disewa peniaga antarabangsa berbanding bumiputera," katanya.

Menurut beliau, Petronas seharusnya mempunyai rangka kerja lebih teliti dalam usaha membantu golongan berkenaan dengan memberi peluang berkembang maju dalam bidang ekonomi.
Sehubungan itu, pihaknya mahu PDB memberi penjelasan berhubung isu itu, selain berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas membela nasib ekonomi bumiputera.


(terimakasih utusan online) Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130926/ek_05/Petronas-Dagangan-jangan-anaktirikan-usahawan-bumiputera---PPIM#ixzz2g8jVADkY
© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: