ABD JALIL ALI
ABD JALIL ALI








UNTUK santaikan minda anda pada hari kedua puasa, saya suka membawakan lagu satira popular, Bangau, Oh Bangau, dalam versi bulan al-Mubarak. Mula-mula kita tanya Kak Lijah, penjual makanan di sebuah bazar Ramadan di sekitar KL.

“Kak Lijah, kenapa ketul ayam goreng dalam nasi lemak Kak Lijah semakin kecil sedangkan harganya lebih mahal?” Dia akan menjawab: “Harga ayam di pasar Chow Kit naik mencanak macam roket...”

Kalau kita tanya mana-mana penjual ayam di pasar: “Bang, apa hal harga ayam tiba-tiba naik?” Abang yang bersinglet dan nampak bulu ketiak itu akan menjawab: “Abang dapat daripada pembekal pun harga dah tinggi, kenalah jual tinggi juga, kalau tidak kantoi bisnes.”

Kita tanya pula pembekal @ pemborong: “Bos, macam mana awak jual ayam mahal sangat?” Sambil menghembus asap rokok dan mengelap peluh menggunakan tuala kecil Good Morning dia berkata: “Aaiyaa, ini ayam saya angkat ladang mari, harga sudah banyak kuat punya. Tuntu saya kena juan mahan sikit, kalau tidak saya apa mau makan, maa?”

Tanya pula kepada penternak atau pemilik ladang ayam, pasti mereka akan menjawab: “Kita tidak ada pilihan lain, kecuali menaikkan harga. Harga makanan ayam sudah naik berkali ganda, kita terpaksa naikkan produk ladang, kalau tidak meniaga boleh gulung tikar...”

Nyanyian seperti ini kita dengar setiap kali tiba musim perayaan. Tidak kira raya Cina, raya Hindu, raya orang putih, lebih-lebih lagi raya Melayu @ Aidilfitri, ada sahaja kisah bangau, kerbau, katak, dan ular. Akhirnya ular juga yang menang. Tidak siapa boleh menyalahkan ular yang menelan katak, sebab katanya: “Katak memang makanan aku!”

Beberapa hari sebelum puasa kita telah dikatakkan. Seperti yang dilaporkan media, di Alor Setar harga ayam yang biasanya RM6.30 sekilogram, mendadak menjadi RM7.80, naik RM1.50.

Kata seorang peniaga ayam di pasar tersebut: “Kami tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa juga menaikkan harga disebabkan kos tinggi diterima daripada penternak. Malah, kami difahamkan akan berlakunya kenaikan sebanyak 50 sen lagi ketika bulan Ramadan nanti.”

Tidak sahaja di Negeri Jelapang Padi, harga ayam naik juga di tempat lain. Sana-sini ada ular, dan kita juga yang menjadi katak. Memang ada pemimpin yang cuba memperjuangkan nasib katak. Contohnya Roslee Daud, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Terengganu yang memberi amaran kepada peniaga yang menaikkan harga ayam.

“Peniaga yang menjual ayam pada harga terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna akan berdepan tindakan tegas pihak berkuasa,” kata beliau seperti yang dilaporkan media. Ini pun lagu lama juga! Rakyat sudah bosan mendengar kata-kata “tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.” Biasanya kata-kata sahaja yang tegas, tindakan tetap lembap.

Ada lagi kata-kata klise dari Exco Negeri Penyu itu: “Orang ramai juga perlu peka dengan keadaan ini, jika peniaga tetap berdegil, pengguna seharusnya mencari alternatif lain untuk membeli barang lebih murah di pasaran. Jika semua pengguna boikot barang mahal, peniaga akan rugi dan akhirnya mereka menurunkan harga mengikut kadar yang berpatutan.”

Sukalah saya bertanya, kalau harga ayam mahal, apa pilihan yang kita ada untuk menggantikannya? Hendak ganti dengan ikan harganya lagi mahal. Ikan kembung yang menjadi hidangan rakyat biasa pun kini mencecah RM12 sekilogram. Tenggiri, senangin, bawal, sotong, tidak perlu sebut sebab harga macam bedil.

Mengenai boikot barang, cakap memanglah mudah. Bukan pengguna tidak mahu boikot, masalahnya kalau boikot apa yang hendak kita makan? Akhirnya mahal pun kena beli juga sebab kita tidak boleh makan pelepah kelapa sawit atau batang nangka. Dan kita tidak sanggup makan tikus atau monyet.

Setiap kali harga naik, pengguna yang diminta berkorban, dan mencari pilihan lain. Sepatutnya pihak berkuasa bertindak tegas ke atas peniaga, bukan meminta pengguna bersabar. Kita ada menteri jaga ayam, jaga telur, jaga terung, cili, sawi. Tetapi setiap bulan puasa telur dan terung kita sentiasa naik. Dan kita mengulangi lagu Bangau, Oh Bangau