Friday, August 12, 2011

Kerajaan Perlu Hadapi Serangan Melalui Media Baru



10 Ogos, 2011 11:51 AM

Kerajaan Perlu Hadapi Serangan Melalui Media Baru
Oleh Mohd Yusof Saari

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pendekatan konvensional menjawab tohmahan atau menangani isu menerusi akhbar, televisyen dan radio tidak lagi berkesan bagi kerajaan terutama dalam menghadapi serangan pembangkang yang lebih proaktif menerokai dunia siber, menurut dua cendekiawan tempatan hari ini.

Ketua Eksekutif Institut Perkembangan Minda (INMIND) Norizan Sharif berkata kerajaan harus mempertingkatkan kehadiran mereka di internet, khususnya dengan menguasai media baru seperti 'Facebook dan 'Twitter' yang kini cukup dekat di hati rakyat, khususnya generasi muda.

"Kerajaan kena respons kepada media (baru), sekarang tidak respons... kerajaan tak jawab, dalam politik boleh tuduh apa sahaja, jika tak jawab orang anggap ia benar.

"(Ketika ini) Kita tidak nampak kerajaan jawab dalam Facebook, kita tidak nampak inisiatif untuk jawab dalam blog dan Twitter. Kita boleh bandingkan berapa ramai MP (Anggota Parlimen) pembangkang ada dalam Twitter tetapi bagi pihak kerajaan, jumlahnya boleh dibilang dengan jari," katanya kepada Bernama.

Norizan mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Selasa bahawa pembangkang menggunakan media baru untuk menghasut rakyat mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang demi keuntungan politik mereka walaupun pada hakikatnya berita yang dipaparkan tidak benar.

Hishammuddin berkata kerajaan juga sukar menerangkan keadaan sebenar mengenai perhimpunan haram 9 Julai lepas walaupun pelbagai saluran media sedia ada digunakan berikutan meluasnya penggunaan media baru oleh pembangkang.

Norizan, yang turut menulis blog http://www.nobisha.com berkata ketiadaan kerajaan melibatkan diri dalam media sosial telah mewujudkan 'kecacatan' di pihak kerajaan hinggakan isu-isu berbangkit berkaitan perhimpunan haram sukar dijawab dan diperjelas.

Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abd Ghapa Harun berkata penggerak media arus perdana juga perlu mengikis perasaan bahawa mereka masih kuasa dalam memonopoli penyebaran maklumat sedangkan pada hakikatnya monopoli itu telah lama dipecahkan.

"Jadi, yang penting bagi kerajaan kalau berhadapan dengan sesuatu isu, yang pertama mestilah ada ketelusan dalam mengeluarkan maklumat yang berkaitan dengan sesuatu isu kerana kalau maklumat yang dikeluarkan itu betul, maka ini akan menanamkan kepercayaan masyarakat kepada saluran media yang digunakan oleh pihak kerajaan.

"Untuk melawan media alternatif, peningkatan integriti di pihak media arus perdana perlu dilaksanakan sebab mereka kena terima hakikat dalam konteks media hari ini, akhbar-akhbar arus perdana seolah-olah menghadapi krisis kepercayaan atau integriti dan keadaan inilah yang menyuburkan perkembangan media alternatif," katanya.

-- BERNAMA

terimakasih(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=607173)

No comments: