Wednesday, February 4, 2009

MKT2009; Soal Jawab: Kepemimpinan baru Umno bawa impian orang Melayu






Dr Jamaluddin Jarjis

(SUMBER; BERITA MINGGU 01022009)

PERSAINGAN sengit merebut kerusi Naib Presiden Umno pada pemilihan kali ini sememangnya ketara. Selain bilangan sembilan calon bertanding, faktor kepelbagaian latar belakang dan pengalaman calon turut menjadi tumpuan. Minggu ini, dua lagi calon Naib Presiden yang pertama kali mencuba nasib, memberikan pandangan mereka. Wartawan Berita Minggu, Nurul Adlina Kamaludin dan Rohaniza Idris menemubual Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

BERITA MINGGU; Ini adalah percubaan pertama Datuk Seri bertanding jawatan Naib Presiden. Mengapa baru kini.

Saya berterima kasih kepada bahagian yang mencalonkan saya untuk jawatan ini. Saya percaya ini suara akar umbi yang mahukan pembaharuan seperti yang disampaikan dalam pilihan raya umum lalu.



Umno sedang mencari pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi (MT), Naib Presiden dan Timbalan Presiden yang dapat membantu Presiden Umno membawa pembaharuan kepada parti seterusnya mengharungi era 50 tahun akan datang bagi mencapai impian baru bangsa dan negara.

Memang benar, ini kali pertama saya menawarkan diri. Saya melihat perubahan sekitar di peringkat global dan dalaman serta perubahan demografik negara, juga mesej rakyat dalam pilihan raya umum lalu yang menunjukkan mereka mahukan perubahan.

BERITA MINGGU; Bagaimana peluang Datuk Seri memandangkan saingan lain tidak kurang hebat, malah ada calon lebih kanan dan berpengalaman dan sudah beberapa kali bertanding jawatan ini.

Ini proses demokrasi. Peluang ada atau tidak, kita serahkan kepada kebijaksanaan perwakilan. Apa yang penting, Umno kena ada pasukan yang sesuai membantu bakal Presiden, Datuk Seri Najib Razak.

Sama ada perlu gandingan baru dan lama, berpengalaman atau tidak, semuanya pasti akan di ambil kira perwakilan. Terpulanglah kebijaksanaan perwakilan memilih corak pasukan macam mana mereka mahu untuk membantu ketua pasukan mengharungi perjalanan 50 tahun ke depan.

Kita kena ingat bahawa Datuk Seri Najib adalah pemimpin pertama untuk era 50 tahun akan datang selepas negara merdeka 52 tahun. Umno sudah berjaya membawa Malaysia menjadi negara maju. Negara lain yang sama tempoh kemerdekaan dengan Malaysia, seperti Zimbabwe, Sri Lanka dan Ghana tidak berada di tahap yang kita ada seperti ini.

Cuma kini, pertimbangan untuk menilai pemimpin kena selaras dengan perubahan dunia dan perubahan Malaysia seperti perubahan demografi masyarakat, Contohnya, sekarang ini makin ramai pengundi lebih muda dan ramai tinggal di bandar.

Pemimpin yang dipilih perwakilan untuk bersama pasukan Datuk Seri Najib nanti perlu bijak menangani isu yang dilemparkan kepada Umno. Pasukan ini juga perlu bijak membawa perubahan dan sudah tentu mereka akan berjaya kerana Umno mempunyai rekod yang baik dalam sejarah dan semestinya mengangkat kejayaan dan martabat parti lebih tinggi.

BERITA MINGGU; Tidakkah Datuk Seri melihat sembilan calon yang bertanding itu persaingan sengit.

Perwakilan Umno tahu latar belakang sembilan calon yang bertanding. Setiap calon adalah yang terbaik, ada kekuatan dan keunikan masing-masing. Terserah kepada perwakilan untuk memilih.

Perwakilan tahu, seperti dalam pasukan bola sepak perlu ada posisi yang sesuai. Perwakilan tahu dan dapat menilai gandingan sesuai dan terserah kepada mereka menentukan percampuran sesuai mengisi tiga kekosongan itu.

Biarlah akar umbi yang pilih campuran baru dengan lama atau muka lama saja atau muka baru semuanya. Perwakilan ada kebijaksanaan mereka dan sejarah sudah membuktikan kewajaran dan kebijaksanaan mereka dalam pemilihan lalu.

BERITA MINGGU; Apakah ciri seorang Naib Presiden kerana kini ada calon mempunyai latar belakang politik wang layak bertanding.

Mengikut sejarah, perwakilan Umno amat bijak menyusun dan memilih pasukan yang akan membantu Presiden. Sekarang sudah ada kapten (Datuk Seri Najib), dan kini perwakilan hanya perlu memilih penyerang, pertahanan dan penjaga gol dalam pasukannya.

Kita serahkan kepada perwakilan kerana semua yang dicalonkan layak dan berkemampuan serta berpengalaman, bukannya sehari dua berada dalam politik. Kebanyakannya berada dalam arena ini lebih 20 tahun malah ada yang menjangkau lebih 30 tahun pengalaman.

Semua sembilan calon itu memenuhi ciri Naib Presiden. Cuma sekarang, perwakilan perlu pilih yang terbaik di kalangan terbaik. Pemimpin yang dipilih juga perlu ada kebijaksanaan dan kemampuan menangani ancaman baru seperti perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan globalisasi.

Mereka (pemimpin) juga perlu menangani perubahan dalaman seperti demografi orang Melayu yang ramai tidak sedar bahawa kini majoriti orang Melayu tidak lagi tinggal di luar bandar.

BERITA MINGGU; Bagaimana peluang Datuk Seri berdasarkan jumlah pencalonan yang diterima iaitu keenam dengan 27 pencalonan dan Datuk Seri kini berada di luar Kabinet.

Saya berpendapat biarlah perwakilan membuat pilihan. Mereka juga akan menentukan perubahan yang bakal dilaksanakan Umno untuk 50 tahun akan datang. Untuk itu, mereka (perwakilan) yang tahu siapa yang layak dan terbaik untuk membantu Presiden membuat perubahan dan anjakan.

Perwakilan ada kebijaksanaan, kita sudah berjaya menguruskan kepemimpinan peringkat tertinggi dengan cara yang baik. Ini kebijaksanaan Umno bagi mengelakkan perpecahan dalam parti

Sekarang tugas perwakilan memilih pasukan yang sesuai untuk membantu Datuk Seri Najib selaku Presiden yang sudah tentu akan membawa perubahan dalam Umno.

BERITA MINGGU; Datuk Seri dilihat mempunyai hubungan baik dengan Datuk Seri Najib, lebih-lebih lagi hanya Datuk Seri seorang wakil Pahang. Adakah ini satu kelebihan.

Saya nampak perwakilan memikirkan banyak faktor sebelum membuat pilihan. Isu negeri, kemampuan, keupayaan serta keserasian semuanya menjadi perkiraan mereka. Perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung nanti bukannya kali pertama menjadi perwakilan, mereka sudah dua tiga kali mewakili bahagian masing-masing. Jika ada yang kali pertama pun, cuma tidak sampai 20 peratus.

Perwakilan kini sudah ada banyak maklumat, diperoleh sama ada menerusi media biasa atau media baru seperti internet atau hubungan politik dan setia kawan. Perwakilan bijak menilai.

Perwakilan juga mengenali calon yang bertanding, sudah tahu rekod calon dalam parti dan kerajaan. Mereka tahu sama ada calon itu menteri, bekas menteri, bekas Menteri Besar atau Ketua Menteri. Perwakilan bijak memilih siapa yang sesuai mengisi tiga jawatan itu.

BERITA MINGGU; Pandangan Datuk Seri mengenai tanggapan ahli dan masyarakat sesetengah calon menang kerana menggunakan wang. Tidakkah ia tidak adil kepada mereka yang menang dan kesan 'pembersihan' menerusi tangkapan dan dakwaan rasuah membabitkan ahli pada peringkat bahagian.

Saya nampak isu politik wang bukan perkara baru. Apa yang penting, perwakilan tahu bahawa pasukan baru yang dipilih nanti akan dapat menangani isu politik wang dengan bijak. Mereka juga perlu memilih pasukan yang dapat memenangi cita rasa dan suara hati yang diluahkan baru-baru ini dalam pilihan raya umum lalu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dulu orang Melayu tiada sumber kewangan yang kukuh. Kini, hasil kejayaan DEB dan usaha Umno, ramai orang Melayu hidup senang dan sejahtera. Maka, timbul isu baru seperti politik wang.

Kita tidak mahu wang terus merosakkan pemilihan Umno. Jadi perlu ada pengurusan pemilihan yang baik mengelakkannya supaya tidak wujud gambaran negatif terhadap Umno.

Sebab itu, ada yang mencadangkan supaya pemilihan MT, Naib Presiden dan Timbalan Presiden bukan lagi ditentukan 13 perwakilan mewakili setiap bahagian, tetapi dipilih di kalangan perwakilan cawangan ke bahagian (selalunya 300 hingga 1,000 orang bergantung kepada jumlah cawangan) dan ada pula yang menyatakan mengapa setiap ahli Umno diberikan hak untuk memilih iaitu satu ahli satu undi membabitkan 3 juta.

BERITA MINGGU; Tidakkah pertandingan sengit bagi jawatan ini akan menjejaskan kekuatan parti.

Pertandingan ini satu kejayaan untuk Umno kerana ia membuktikan demokrasi subur dalam parti dan membuktikan kita tidak ketandusan kepemimpinan. Kalau kita ada empat calon merebut tiga kekosongan, jelas Umno tidak ada calon sesuai atau 'tangkap muat' saja. Ini bermakna, selepas 50 tahun merdeka, Umno sudah membina asas yang kukuh untuk pelapisnya dan kini ada sembilan calon bertanding. Ini petanda baik dan kebanggaan kepada Umno selepas 50 tahun merdeka dan mampu memupuk barisan kepemimpinan yang bernilai dan berkualiti.

Ini seperti pertandingan ratu cantik dan itulah yang dinamakan demokrasi. Kalau kita tidak tafsir demokrasi maka orang akan tuduh Umno tidak demokratik. Ini soal menyuburkan demokrasi dalam Umno. Kita perlu ada kebijaksanaan untuk mengimbangi kepentingan perpaduan parti dan penyuburan demokrasi dalam Umno.

Suara akar umbi menentukan supaya jawatan Presiden tidak ditandingi dan ini sudah dizahirkan mereka di hampir semua bahagian dengan mencalonkan seorang saja calon Presiden. Pandangan calon perlu juga di ambil kira, begitu juga suara akar umbi. Akar umbi buat keputusan tidak mahu ada pertandingan untuk jawatan Presiden, kerana takut berlaku perpecahan dalam parti maka ia diterima dan ini berjalan dengan baik.

Untuk jawatan Timbalan, Naib Presiden dan MT berdasarkan kepada pencalonan, kita nampak akar umbi mahu ada pertandingan. Ini penting untuk demokrasi terus subur dalam Umno.

BERITA MINGGU; Benarkah wujud puak dan team dalam pemilihan Umno kali ini.

Saya nampak pemilihan berjalan dengan baik. Setakat ini, tidak ada calon yang membentuk team seperti Team Wawasan dulu, malah tiada kejadian atau unsur negatif termasuk mengumpat atau unsur fitnah terhadap sama sendiri. Ini satu kematangan Umno dan membuktikan kualiti dan keperibadian calon yang menawarkan diri.

Sewajarnya begitu, kerana Umno bukan hanya diperhatikan ahlinya tetapi menjadi contoh kepada rakyat. Umno perlu bangga dengan perkembangan ini. Saya percaya yang menang atau kalah akan terus bekerja untuk memberi sumbangan kepada parti.

BERITA MINGGU; Apa yang boleh Datuk Seri tawarkan jika dipilih Naib Presiden terutama ketika keadaan Umno dikatakan lemah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Saya kurang setuju dengan kenyataan Umno lemah atau sudah malap. Umno kini dalam proses menguruskan kejayaan bagi disesuaikan dengan perubahan terkini seperti perubahan demografik, penyebaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan globalisasi.

Umno berjaya menjadi pelopor kepada Malaysia yang mewujudkan keyakinan daripada orang Cina dan India ketika kemerdekaan dulu. Umno bukan saja membela martabat bangsa Melayu tetapi mampu membela bangsa lain. Resipi kejayaan Umno ini memungkinkan Malaysia merdeka dan mendapat kemakmuran. Malah, Malaysia kini terkenal di seluruh dunia.

Hanya sekarang suasana berbeza dengan zaman merdeka dulu. Kini Umno perlu mengurus kejayaannya dengan perubahan dalaman dan dunia. Umno mempunyai rekod gemilang dalam membangunkan Malaysia serta mengeratkan hubungan kaum.

Untuk 50 tahun akan datang, Datuk Seri Najib akan menerajui pasukan Umno. Oleh itu, beliau perlukan ahli yang ada kebijaksanaan dan kewibawaan. Pada saya, kita perlu mampu memberikan keyakinan baru kepada Umno untuk menempuh 50 tahun akan datang bagi memenuhi cita rasa dan impian warga Malaysia generasi baru.

Umno perlu mengikis tanggapan negatif yang Umno itu lemah. Isu seperti penjenamaan, penguasaan siber dan internet serta isu keadilan sosial perlu ditangani untuk menawan jiwa, perasaan dan hati rakyat Malaysia. Cara Umno mendekati rakyat juga perlu diubah, sebagai contoh tidak lagi mengikut cara tradisional.

Cara menangani pengundi luar bandar berbeza dengan masyarakat bandar. Masyarakat luar bandar masalahnya seperti rumah bocor, tiada air, elektrik, jalan rosak atau mahukan biasiswa untuk anak melanjutkan pelajaran dan bantuan pertanian.

Di bandar masalahnya adalah isu pembuangan sampah, longkang, lif rosak, pengangkutan dalam kawasan perumahan, perkhidmatan masyarakat dan keadilan sosial (ketelusan dan rasuah yang berbangkit daripada cara hidup bandar).

Umno kena relevan bukan hanya kepada masyarakat luar bandar tetapi di bandar. Infrastruktur Umno dan kerajaan perlu diubah. Mengikut rekod, Umno berjaya menangani isu di luar bandar, malah kerajaan mewujudkan Kementerian Luar Bandar untuk menangani masalah mereka. Kini, keadaannya berbeza yang mana lebih ramai orang Melayu tinggal di bandar.

Generasi muda juga tinggal dan bekerja di bandar dan kini lebih terpelajar. Sudah semestinya isu bandar dan keadilan sosial ketelusan dan rasuah makin menarik perhatian mereka. Maka, strategi menangani cita rasa dan hati, naluri orang Melayu di bandar dan lebih muda adalah berbeza daripada strategi untuk luar bandar.

Sekarang ini, jumlah mereka yang miskin di luar bandar berkurangan dan tumpuan perlu diberikan untuk mereka yang susah di bandar. Kita perlu ada strategi dan pendekatan teliti dan khusus untuk membela nasib orang Melayu di bandar. Ada yang bertanya kalau ada Kementerian Luar Bandar, mengapa tidak ada kementerian khusus membela masyarakat Melayu di bandar.

Ini semua perlu kita lihat sebagai satu anjakan perubahan, satu yang baru perlu diberi perhatian oleh Umno. Perkara ini, sudah disuarakan rakyat pada pilihan raya umum lalu. Saya penuh yakin Presiden Umno yang baru akan membuat perubahan ini dan sudah tentu nanti Melayu di bandar akan kembali memberi sokongan kepada Umno dan BN seperti Melayu di luar bandar.

Sekarang ini, sebagai contoh mereka yang berpendapatan rendah di bandar membeli rumah dan terpaksa membayar prasarana. Kini, 30 hingga 40 peratus daripada harga rumah yang mereka bayar itu adalah harga prasarana dan 60 peratus saja harga rumah. Di luar bandar semua kos prasarana dibiayai kerajaan termasuk tanah dikurniakan kerajaan, begitu juga elektrik dan air juga jalan raya.

Oleh itu, kita kena bantu mereka berpendapatan rendah yang tinggal di bandar yang mana kerajaan boleh melaksanakan projek perumahan rakyat secara besar-besaran. Menerusi projek itu, contohnya bagi pembelian apartmen, pembeli hanya membayar harga rumah tetapi tidak prasarana, yang mana tanah dikurniakan kerajaan begitu juga jalan dan prasarana lain.

Ini bermakna, Umno perlu buat anjakan. Kalau dulu membela Melayu luar bandar sekarang Umno membantu dan membela rakyat berpendapatan rendah di bandar. Majoriti berpendapatan rendah ini orang Melayu, dan mengapa tidak bantuan yang sama diberikan kepada bukan Bumiputera yang berpendapatan rendah.

Strategi ini sama seperti strategi membasmi kemiskinan tanpa kaum. Umno bukan hanya membantu orang Melayu tetapi seluruh warga negara termasuk Cina dan India serta kaum minoriti lain juga dibela. Untuk itu, tanggapan yang salah bahawa Umno hanya membela Melayu, dapat dikikis.

Semua ini, saya nampak sudah disuarakan rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu. Saya penuh yakin dengan kepemimpinan baru Umno di bawah Datuk Seri Najib dan pasukan Timbalan Presiden dan Naib Presiden serta MT yang dipilih perwakilan dapat membuat perubahan dan anjakan bagi memenuhi cita rasa, hati dan naluri rakyat Malaysia.

InsyaAllah, impian semua rakyat Malaysia akan menjadi kenyataan.


Cetak artikel | Hantar pada kawan

No comments: