Tuesday, November 25, 2008

PERWAKILAN JUGA TAHU CALON MANA YANG SEDIA SOGOK WANG UNTUK MENANG

PERWAKILAN JUGA TAHU CALON MANA YANG SEDIA SOGOK WANG UNTUK MENANG

November 24, 2008 by admin
(http://www.kpmu.net/2008/11/perwakilan-juga-tahu-calon-mana-yang-sedia-sogok-wang-untuk-menang/)

Begitu ramai perwakilan yang akan membuang undi semasa pemilihan di Perhimpunan Agung Tahunan UMNO bulan Mac nanti telah meluahkan rasa terhina dengan ungkapan Tun Mahathir yang menyebut ada perwakilan tanpa berselindung menghantar SMS kepada calon untuk menuntut wang dan memberi nombor akaun bank sekiranya mereka ingin mendapat undi daripada mereka.

Ada diantaranya berkata, janganlah Tun anggap perwakilan begitu bangsat sekali untuk membuat tuntutan sedemikian kerana dengan membuat tuntutan cara itu dengan sendirinya akan dengan mudah mendedahkan identiti mereka dan boleh diambil tindakan disiplin parti.

Kata seorang perwakilan dengan nada marah itu: “Kalau benar ada perwakilan yang sehingga bertindak ke tahap itu, atau calon yang di’ugut’ sedemikian, mengapa tidak dipanjangkan kepada jawatankuasa disiplin atau kepada BPR sahaja daripada dibiarkan perkara ini berleluasa? Kalau beliau benar-benar mengambil berat terhadap politik wang, Mahathir sendiri patut membuat aduan kepada jawatankuasa disiplin?”

Perwakilan yang tidak mahu namanya disebut itu menambah: “Apa yang kami bimbang adalah ada orang yang sengaja mereka SMS kononnya dia dihubungi untuk tujuan membuat tuntutan. Adalah mustahil perwakilan itu sendiri menghantar akaun banknya kepada calon sedangkan cara itu boleh dengan mudah dicekup.”

Katanya lagi, mungkin Mahathir mendapat tahu perkara ini dari orang-orang yang rapat dengannya yang tidak hairan kalau ianya datang daripada Mukhriz sendiri. Hanya perwakilan sahaja tahu siapa mampu, siapa sedia dan siapa yang memulakan tawar menawar semasa pencalonan berlansung lagi. Kerana itulah mereka berani melanjutkan usaha mendapatkan wang dari mereka yang sudah dikenali sanggup ‘membeli’ pencalonan.

Apa pun bicara Tun yang membuat tuduhan itu kepada pemberita selepas menyertai Siri Wacana Gapena V bertajuk Dilema Melayu anjuran Gapena di sini dua hari lalu, sebenarnya beliau tidak hanya boleh bercakap, tetapi patut bertindak. Kalau setakat cakap sahaja, siapa pun boleh cakap.

Boleh dikatakan begitu ramai perwakilan termasuk dari kalangan pemuda juga terasa terhina dengan ungkapan Mahathir yang mungkin dari desas desus, tetapi tidak berbukti dan tindakan dari pihaknya sendiri. Antara kata mereka, Mahathir pun mungkin pakai dengar cakap orang sahaja kerana di musim ini, ramai ahli UMNO terutama yang menyokong beliau sentiasa membawa cerita negatif terhadap orang UMNO sebagai hiburan kepada Mahathir.

Malah tidak kurang ada yang mengatakan, apakah Tun sendiri tidak pernah sedar bahawa perkara politik wang ini juga berlaku di zaman beliau menjadi presiden UMNO? Apakah Tun tidak tahu langsung bahawa janji-janji politik dan projek itu tidak berlaku di zaman beliau? Adalah mustahil Tun tidak sedar di kelilingnya dulu semasa berkuasa tidak ada langsung unsur politik wang.

Ketulian Tun dalam hal ini sebenarnya sudah lamat hingga ia sudah menjadi budaya politik yang sukar dibendung kerana politik wang gagal dibendung sejak dari zaman Tun lagi. Ia melarat dan kini semua orang sudah celik mata dan akan mencuba nasib mereka melalui wang untuk mendapat kuasa.

Ia samalah dengan keadaan kuota pencalonan yang Tun sendiri perkenalkan dulu. Sebaik sahaja beliau turun takhta, beliau sendiri mencadangkan supaya sistem kuota itu dihapuskan. Apa yang baik untuk beliau semua boleh. Untuk orang lain semuanya tak boleh.

Yang menyelar kata-kata Tun yang menghina perwakilan itu bergema di mana-mana sudut politik di merata tempat hingga ada yang mengatakan perkara-perkara yang tak sedap telinga mendengarnya. Bagi perwakilan yang meluahkan perasaan melalui e-mail dan SMS, kata-kata Tun mengenai politik wang itu hanya satu nyanyian yang mempunyai muslihat yang bermaksud sesuatu untuk kepentingan seseorang.

Yang pasti, ramai perwakilan menyatakan supaya kata-kata mereka disebarkan bahawa bukan semua perwakilan itu bangsat dan tidak mempunyai harga diri. Mereka juga tahu siapa calon yang sedia menyogok tanpa diminta semata-mata untuk mendapatkan undi di hari mengundi nanti.

Oleh Sabrani Muin

No comments: