Saturday, May 17, 2008

TataETIKA Pemilihan UMNO

Oleh ZULKIFLI JALIL

''ANDA sebutlah tataetika apa sekali pun, ia tidak akan memberi sebarang makna jika ahli UMNO tidak berpegang kepada prinsip dan adab politik."

Begitu pembuka bicara Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Peraturan UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui Mingguan Malaysia di pejabatnya di Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ungkapan Naib Presiden UMNO itu banyak pengertiannya. Suatu ketika meskipun satu lagi Perhimpunan Agung Khas UMNO diadakan pada tahun 2000, yakni kali ketiga, namun politik wang ketika itu masih berlingkar.

Selepas lima tahun beberapa pindaan dibuat pada perhimpunan itu, gejala itu masih berlaku. Antaranya penggantungan jawatan seorang Naib Presiden parti setelah didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

''Itulah sebabnya untuk pemilihan parti tahun ini, Majlis Tertinggi (MT) pada mesyuaratnya 27 Mac lalu mempersetujui dan meluluskan Tataetika Ahli UMNO yang telah disusun semula untuk diguna pakai dan menjadi panduan kepada 3.2 juta ahli parti.

Kali ini, kita sertakan sekali contoh-contoh kesalahan.

''Tekad UMNO ialah untuk membanteras segala bentuk penyelewengan, salah laku dan penggunaan wang yang boleh meluntur dan melemahkan parti, maka dengan itu istilah politik wang ditukar kepada rasuah/sogokan politik'' kata Muhyiddin.

Berikut antara intipati tataetika tersebut yang diperoleh Mingguan Malaysia:

Perkara 3: Kesetiaan
3.1: Semua ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan:
3.1.1: Patuh kepada perlembagaan dan tataetika ahli
3.1.2: Mengikut perintah-perintah parti
3.1.3: Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti (termasuk keputusan disiplin parti)
Contoh kesalahan:
a) Ahli mempertikaikan atau mengkritik keputusan Lembaga Disiplin secara terbuka tanpa mengikut saluran parti sedia ada.
b) Ahli enggan memohon maaf dan tidak hadir apabila dipanggil atau diminta menjelaskan mengapa tindakan disiplin tidak patut diambil terhadap ahli tersebut oleh Lembaga Disiplin;
c) Tidak menjaga nama baik dan maruah parti dengan bergaduh atau tumbuk-menumbuk antara ahli di sesuatu mesyuarat bahagian/cawangan atau apa jua mesyuarat yang lain;
d) Menjadi calon pembangkang, pencadang atau penyokong borang pencalonan atau melakukan perbuatan yang boleh ditafsir telah menyokong calon parti lawan;
e) Membawa hal-ehwal parti ke mahkamah;
f) Mengkritik pemimpin-pemimpin parti tanpa melalui saluran yang betul atau sedia ada; atau
g) Mengeluarkan kenyataan dan mengkritik keputusan-keputusan parti di dalam media cetak dan elektronik yang mengakibatkan parti dilihat rendah.

Perkara 4: Pengaruh tidak wajar
4.1: Ahli parti dilarang pada setiap masa dengan sendiri atau melalui pihak lain, bagi dirinya, memanipulasi atau tipu helah bagi menghalang, mengganggu atau mendesak seseorang ahli yang lain melakukan sesuatu atau tidak menjalankan tugasnya atau menghalang perlaksanaan haknya di dalam parti dengan bebas atau menafikan hak seseorang ahli.
Contoh:
a) Jika seseorang ahli tidak mengundi mana-mana pihak tertentu, tiada bantuan akan diberikan kepada beliau;
b) Jika seseorang ahli enggan mengundi mana-mana pihak tertentu beliau tidak akan dilantik kepada mana-mana jawatan.

Perkara 5: Salahlaku
l Ahli parti dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut:
5.1: Rasuah/Sogokan politik
5.1:1: Menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti.
Contoh:
a) Menggunakan kedudukan atau kuasanya secara salah dengan membuat janji-janji memberi pangkat, anugerah atau gelaran, peluang perniagaan, bagi mendapatkan undi.

5.1.2 : Memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi atau akan berusaha untuk mendapatkan apa-apa wang atau balasan bernilai untuk seseorang ahli dengan tujuan mendorong seseorang mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti.
Contoh:
a) Memberi wang atau imbuhan untuk tidak menyokong atau mengundi pihak lawan atau pihak lain;
b) Menggunakan wang untuk mendapatkan undi.

5.1.3: Memberi atau menerima atau membenarkan ahli keluarganya untuk memberi atau menerima bagi pihaknya kepada atau daripada mana-mana ahli UMNO yang lain sebarang hadiah, benda atau faedah bagi mendorong seseorang ahli mengundi atau tidak mengundi pada pemilihan parti.
Contoh:
l Menerima sebarang bentuk hadiah atau benda sebagai imbuhan misalnya tambang percuma, kemudahan perjalanan, perkhidmatan, saham-saham, konsesi, kontrak, hiburan, gelaran atau anugerah.

5.2: Menggunakan kekerasan dan ugutan.
5.2.1: Mengancam untuk menggunakan sebarang kekerasan, paksaan dan ugutan bertujuan untuk mengakibatkan kecacatan atau kerugian ke atas seseorang bagi memaksa ahli UMNO atau keluarga mengundi atau tidak mengundi ahli parti lain.
Contoh:
a) Mengancam dan terlibat dengan pergaduhan, bertumbuk dan membaling objek.
b) Mengguna ugutan untuk tidak memberi peruntukan dan projek kepada suatu pihak;
c) Mengancam untuk menarik balik pelantikan ke sesuatu jawatan.

5.3: Penerbitan dan penggunaan media massa, elektronik atau internet
5.3.1: Menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah dan majalah yang mempunyai unsur-unsur menyokong dan memfitnah atau mengandungi kenyataan palsu terhadap ahli yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan untuk mengelirukan seseorang atau mendapat undi atau sokongan bagi pihaknya.
Contoh:
a) Menulis dalam apa jua media cetak atau elektronik terhadap mana-mana calon yang akan bertanding;
b) Membuat sebarang poster atau kad nama yang menunjukkan janji-janji dan sebagainya;
c) Mencela atau memfitnah mana-mana Ahli dengan tujuan untuk memburukkan namanya supaya Ahli tidak mengundi Ahli yang difitnah tersebut;
d) Membuat aduan bertulis, tuduhan, tohmahan, kenyataan atau apa jua bentuk penulisan atau lisan dengan pengetahuan bahawa ianya adalah palsu atau tidak berasas;

5.4: Fitnah
5.4.1: Mana-mana ahli yang mengeluarkan sesuatu kenyataan tentang seseorang yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindarinya atau mengelaknya, maka dia telah melakukan perbuatan fitnah di bawah Fasal 5.7 yang boleh mengakibatkannya diambil tindakan disiplin.
5.5: Majlis dan Pertemuan
5.5.1: Kecuali untuk perhimpunan, pertemuan atau majlis yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan Negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri, ahli-ahli parti dilarang di dalam tempoh pemilihan menganjurkan sebarang perhimpunan dan pertemuan jamuan untuk meraih undi.
Contoh:
a) Calon menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh ahli serta berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen untuk dirinya.
b) Ahli UMNO menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan atau dihadiri ahli UMNO dan berucap bagi pihak lain semasa pemilihan parti.

5.6: Majlis Tertinggi berkuasa menetapkan dari masa ke semasa bentuk dan jenis penyalahgunaan kuasa, wang, sogokan dan sebagainya yang dimaksudkan di dalam perenggan 5.1 hingga 5.5 di atas.

Perkara 6: Derma/bantuan kepada Parti
6.1: Ahli-ahli parti adalah dilarang memberi sebarang bentuk derma, bantuan atau peruntukan atas kapasiti persendirian atau melalui orang lain dengan tujuan untuk mendapat undi.
6.2: Mana-mana ahli yang ingin memberi derma atau sebarang bentuk pemberian lain hendaklah disalurkan menerusi MT atau Badan Perhubungan Negeri yang berkenaan.
6.3: Mana-mana pemberian yang tidak melalui saluran yang tersebut dalam Fasal 6.2 adalah dianggap sebagai melanggar Fasal 6.1.
Contoh:
a) Mana-mana ahli menerima wang yang dikatakan duit minyak atau sedekah setelah menghadiri suatu majlis kempen anjuran Badan Perhubungan UMNO negeri tanpa menyebutkan penderma berkenaan dan ahli itu akan mengambil bahagian dalam perwakilan, ahli itu dianggap telah melanggar Fasal 6.1.

Perkara 7: Pernyataan akhbar atau awam
7.1: Ahli-ahli parti dilarang membuat sebarang kenyataan akhbar atau awam secara lisan atau bertulis, menyebarkan pernyataan akhbar atau berhubung apa-apa dasar atau keputusan parti termasuk keputusan disiplin parti yang boleh merosakkan imej parti.
Contoh:
a) Ahli A mempertikaikan keputusan-keputusan Majlis Tertinggi parti, justeru ia dianggap melakukan perbuatan menghina parti.
b) Ahli A mempertikaikan dan membuat menyataan akhbar tentang prosiding disiplin parti dengan menuduh keputusan tidak adil. Ahli A di sini melakukan perbuatan menghina parti.

Perkara 8: Tingkahlaku sewaktu menjawat jawatan dalam parti
8.1.1: Ahli parti yang memegang sebarang jawatan dalam parti dilarang menyalahgunakan kuasa bagi tujuan persendirian di dalam menjalankan pentadbiran parti.
Contoh:
a) Tidak mahu menerima permohonan Ahli baru di peringkat cawangan/Bahagian;
b) Tidak mahu menerima yuran Ahli
c) Memberi projek atau sumbangan kewangan secara terpilih dan pilih kasih dan tidak meliputi semua Cawangan;
d)Tidak jujur dan telus dalam menjalankan hal ehwal kewangan (seperti menggunakan wang parti dan wang peribadi dianggap serupa);
e) Memindahkan Ahli ke Bahagian lain tanpa Ahli sendiri itu sendiri yang memohon atau bersetuju;
f) Tidak menerima Ahli berpindah ke Bahagian atau Cawangan lain;
g) Tidak memberitahu Majlis Tertinggi jika telah jatuh muflis atau gugur jawatan.
h) Tidak mahu memanggil mesyuarat walaupun korum telah mencukupi kerana kepentingan dirinya sendiri atau pihak lain.

8.2: Tingkah laku sewaktu menjalankan mesyuarat parti.
8.2.1: Ahli yang diberikan kuasa menjalankan mesyuarat di perhimpunan tahunan Cawangan, Bahagian atau Majlis Tertinggi dilarang menyalahgunakan kuasa.
Contoh:
a) menjalankan mesyuarat tanpa notis yang munasabah;
b) Tidak menjalankan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat;
c) menjalankan mesyuarat tidak cukup korum;
d) menjalankan mesyarat di tempat yang tidak ditetapkan (contohnya di dalam bas dan di luar kawasan);
e) menjalankan mesyuarat dengan cukup korum dengan hanya Ahli terpilih sahaja;
f) menjalankan pengundian dengan sistem rakit;
g) berkempen sewaktu membuka majlis atau perasmian bagi calon-calon tertentu.

MINGGUAN MALAYSIA: 11 MEI 2008

No comments: