Saturday, September 28, 2013

Salahkah bumiputera dibantu?

SAYA tidak akan sesekali melupakan jasa seorang guru yang berbangsa Tionghua semasa menuntut di sekolah menengah. Guru saya ini telah mengajar selama 35 tahun di sekolah tersebut yang mana hampir seratus peratus berbangsa Melayu dan bumiputera. Dia tidak pernah merungut, berkira mahupun mengajar ala kadar meskipun anak- anak muridnya berlainan bangsa. Paling tidak dilupakan, guru saya ini sanggup mengajar kelas persediaan petang tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Tidak keterlaluan dikatakan, beliaulah antara individu yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil jurusan perakaunan selain keluarga saya. Meskipun bekas sekolah menengah saya ini berpindah dari Seremban ke Senawang pada tahun 2002, beliau tetap mengajar anak- anak bumiputera sehinggalah di saat akhir hari persaraannya pada tahun 2007.

Saya benar-benar tersentuh dengan dedikasi kerjanya yang tidak pernah menganggap kami anak-anak muridnya sebagai “orang luar" meskipun berlainan bangsa. Beliau juga tidak pernah menyentuh atau mengungkit hak-hak bumiputera di hadapan kami meskipun kami semuanya adalah kaum bumiputera yang rata-ratanya berlatar belakangkan keluarga miskin.

Kami diajar dengan sebaik mungkin. Begitu juga, kami dibantu sepenuhnya oleh kerajaan. Bantuan yang diberikan tidak usah cakaplah. Serba serbi dibantu. Kalau mengharapkan kewangan keluarga, rasa-rasanya saya terpaksa berfikir dua kali untuk bersekolah di situ.

Selepas tamat belajar di sekolah menengah, ramai di antara kami dihantar ke luar negara. Kerajaan bantu sebaik mungkin anak- anak miskin seperti kami. Kami bertuah kerana “terpilih" dibantu oleh kerajaan sehinggakan ada di antara kami sudah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sememangnya, kerajaan telah banyak membantu kaum bumiputera. Mereka ini bukan sahaja bergelar CEO, malahan ada yang menjadi jutawan dan hartawan. Sudah sampai masanya mereka menyumbang kembali kepada golongan miskin sebagaimana mereka telah dibantu oleh kerajaan sebelum ini.

Malangnya, ada dalam kalangan mereka ini sudah tidak nampak daratan, bahkan ada di antaranya malu melihat kaum bumiputera dibantu. Mungkin sudah terlalu lama berada di seberang laut, maka, membuatkan mereka terlupa di manakah daratan.

Dibantu pula oleh segelintir pihak bukan bumiputera yang tidak puas hati dengan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera, maka usaha kerajaan ini menjadi kebimbangan pula kepada mereka. Tidak sebagaimana guru saya yang dinyatakan di atas, segelintir pihak ini terus menerus mempertikaikan hak keistimewaan kaum bumiputera.

Salahkah kaum bumiputera dibantu? Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu kaum yang masih ketinggalan? Benar, bukan semua kaum bumiputera yang miskin, ramai juga yang sudah berjaya tetapi jangan lupa, lagi ramai yang perlu dibantu.

Saya cukup hairan apabila ada yang berhujah seolah-olah tidak wajar membantu kaum Bumiputera. Alasan yang diberikan tidak selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE). Saya tidak nampak, membantu kaum bumiputera tidak konsisten dengan MBE. Objektif MBE untuk menjadikan ekonomi Malaysia mampan, keterangkuman dan rakyatnya berpendapatan tinggi.

Bagaimana MBE boleh tercapai jika kaum bumiputera yang mewakili lebih 60 peratus populasi rakyat Malaysia secara puratanya berpendapatan rendah? Atau kita mahu lihat sebagaimana berlakunya di Amerika Syarikat (AS), jurang pendapatan rakyat termiskin dan kaya semakin melebar?

Bagaimana pula MBE dikatakan sebagai keterangkuman sekiranya majoriti rakyat Malaysia masih ketinggalan dari segi pendapatan, kurang memiliki aset dan tidak mendapat pendidikan yang terbaik? Adakah ekonomi Malaysia akan mampan jika kedua-dua objektif MBE ini iaitu, keterangkuman dan rakyatnya berpendapatan tinggi tidak tercapai?

Hujah pihak yang menyatakan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera tidak konsisten dengan MBE langsung tidak boleh dipakai. Terdapat juga hujah yang mengungkit-mengungkit bahawa cukai juga dibayar oleh kaum lain, maka GLC bukanlah hak bumiputera tetapi hak kaum lain juga. 

Usahlah mengungkit-mengungkit atau berkira sangat, kalau kita terlalu mengungkit, orang lain juga boleh mengungkit.

Selama ini, kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum lain. Malahan, diberi pelbagai bantuan. Periksalah berapa banyak bantuan diberikan. Hasil kerajaan bukan terletak pada cukai syarikat sahaja tetapi juga royalti minyak Petronas yang majoriti pekerjanya adalah orang Melayu dan bumiputera yang bekerja bertungkus lumus dengan begitu dedikasi bagi memperoleh hasil untuk negara dan rakyat Malaysia.

Kalau nak diungkit-diungkit lagi, sejauh manakah kaum bumiputera benar-benar dilayan dengan baik apabila bekerja di syarikat-syarikat yang bukan milik bumiputera? Adakah gaji dan peluang kenaikan pangkat dilayan secara adil ke atas kaum bumiputera berbanding kaum bukan bumiputera?

Bagaimana pula dengan fakta bahawa betapa ramainya kaum bukan bumiputera yang menduduki rangking terkaya di Malaysia? Adakah mereka menjadi kaya tanpa bantuan kerajaan dan kaum bumiputera? Tiada siapa di antara mereka yang boleh menafikan fakta bahawa kerajaan yang berteraskan kaum Melayu dan Bumiputera inilah yang banyak membantu mereka menjadi hartawan, jutawan dan bilionair. Begitu juga, tiada siapa yang boleh menyangkal betapa kerajaan telah banyak membantu kaum bukan bumiputera selama ini.

Jadi, apa masalahnya dengan tindakan kerajaan yang mahu membantu kaum bumiputera? Tindakan kerajaan berpaksikan keperluan, keadilan dan kesaksamaan. Analoginya cukup mudah, kalau seorang bapa mempunyai sepuluh orang anak, dan empat daripadanya telah berjaya, manakala enam lagi masih memerlukan bantuan dan sokongan bapanya, adakah mereka ini tidak layak dibantu?

Bapa tersebut boleh sahaja berlaku kejam dengan tidak mahu mempedulikan nasib keenam-enam anaknya tetapi sanggupkah dia? Tepuk dada tanya selera. Maka, sebagai “bapa" yang bertanggungjawab dalam keluarga yang besar, kerajaan berhak membantu kaum bumiputera sebagaimana kerajaan selama ini banyak membantu kaum bukan bumiputera.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan,
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.


(terimakasih sumber: utusan online)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130926/re_03/Salahkah-bumiputera-dibantu#ixzz2g8lyMvFV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

HOT NEWS !!! PRK SUNGAI LIMAU !!! INILAH PELUANG DATUK MUKHRIZ TUNJUK KEMAMPUAN KEPADA RAKYAT !!!



Pulangnya Tan Sri Azizan Razak ke rahmatullah,bermaksud berlakunya kekosongan bagi DUN Sungai Limau.kekosongan kedua sejak PRU13 berakhir,selepas DUN Kuala Besut yang kosong selepas kematiannya penyandangnya,berjaya dipertahankan BN Ogos lepas.

Menarik dalam PRK Sungai Limau nanti,Pengerusi Perhubungan BN Kedah yang baru,merangkap Menteri Besar,Datuk Mukhriz Mahathir akan turut memimpin BN buat pertama kalinya sebagai Jeneral dalam kempen pilihanraya kecil yang dijangka sengit itu nanti.BN sudah pasti mahu melengkapkan penguasaan di Parlimen Jerai dengan merampas DUN Sungai Limau dari PAS setelah kawasan parlimen itu sendiri berjaya dirampas melalui calonnya Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam PRU13 yang lepas,selain BN berjaya mengekalkan 2 kerusi DUN yang lain (Gurun dan Guar Cempedak). 

Kejayaan ataupun kegagalan BN dalam kempen tersebut nanti,pasti memberi kesan kepada peluang Mukhriz dalam persaingannya untuk merebut salah satu jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang bakal diadakan bulan depan.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh dielak kerana,walaupun dilantik sebagai Menteri Besar sebaik BN diumumkan berjaya kembali berkuasa di Kedah Mei lepas,Datuk Mukhriz bukanlah yang mengetuai jentera kempen BN di Kedah pada waktu itu,sebaliknya Pengerusi Perhubungan BN sebelum beliau,Datuk Ahmad Bashah.Walaupun dalam masa yang sama,tidak dapat dinafikan faktor pencalonan beliau sebagai Menteri Besar Kedah yang baru sebelum itu, turut memainkan peranan yang tidak kurang besar dalam mencapai kejayaan tersebut.Tapi kali ini situasinya jelas berbeza,mahu tidak mahu Mukhriz perlu menerima hakikat bahawa corak pentadbirannya berbanding dengan yang lama sudah boleh dilihat dan dinilai rakyat Kedah amnya dan pengundi Sungai Limau khasnya.

Disamping itu,kali ini Mukhriz akan turut berhadapan dengan isu-isu nasional seperti kenaikan harga minyak baru-baru ini yang pasti akan dimanipulasi sehabis mungkin oleh pembangkang,seolah-olahnya kalau PAS berjaya mengekalkan kuasa di DUN Sungai Limau dalam kempen PRK itu nanti,harga minyak akan diturunkan serta merta seperti mana janji Anwar Ibrahim dalam buku Jingga.Tidak juga,tapi pembangkang peduli apa, yang penting pada mereka ialah menang pilihanraya dan mengekalkan kuasa. 

Mungkin kalau ada yang boleh membantu sedikit sebanyak ialah sikap terpuji Datuk Mukhriz yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda permusuhan dengan Allahyarham Azizan apabila sering kali kelihatan melawat bekas Menteri Besar tersebut sejak Allahyarham mula jatuh sakit.Malah pentadbiran Mukhriz juga secara terbuka mengumumkan akan membantu Azizan sepanjang menjalani rawatan,sesuai dengan kedudukkannya sebagai bekas Menteri Besar.

Pendekatan mulia yang dipilih Mukhriz ini mungkin sedikit sebanyak boleh membantu kempen BN nanti,disamping faktor calon dan isu-isu nasional yang lain seperti yang dijelaskan di atas.Justeru,yang nyata PRK Sungai Limau nanti pasti akan menjadi medan tempur politik yang menarik selepas PRU13.Kempen kali ini bukan setakat persaingan mencari pengganti Allahyarham sebagai ADUN,tapi juga untuk Datuk Mukhriz membuktikan kebolehannya sebagai pencatur politik yang berjaya dan tidak setakat bergantung kepada populariti bapanya,Tun Mahathir Mohamad semata-mata.

Pendek kata,Datuk Mukhriz ada terlalu banyak yang nak dibuktikan,kepada rakyat Kedah dan pengundi Sungai Limau terutamanya,selain ahli-ahli UMNO sendiri.

APA KATA ANDA ???

RENUNG-RENUNGKAN

Petronas Dagangan jangan anaktirikan usahawan bumiputera - PPIM


KUALA LUMPUR 25 Sept. - Petronas Dagangan Berhad (PDB) digesa tidak menganaktirikan usahawan bumiputera terutama dalam memberi peluang perniagaan di rangkaian Kedai Mesra Petronas demi mencapai keuntungan semata-mata.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu dilihat tersasar jauh daripada hasrat kerajaan memperkasa ekonomi kaum Melayu dan bumiputera seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Tidak ramai usahawan bumiputera menghantar produk mereka untuk dijual di Kedai Mesra Petronas kerana tidak mampu membayar yuran penyenaraian yang mahal.

"Walau bagaimanapun, kita menerima aduan daripada salah seorang pembekal sedia ada yang sudah membekalkan produk lebih lima tahun lalu tetapi cuba disingkirkan pihak syarikat itu sendiri untuk memberi laluan kepada pengusaha luar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPNBM), Datuk Dr. Mohd Noor Ali Akbar dan Aktivis PPIM, Sheikh Abd. Kareem Sheikh Khadaied.

Menurut Nadzim, aduan diterima pihaknya langsung tidak mencerminkan peranan PDB sebagai anak syarikat di bawah Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang juga merupakan syarikat milik kerajaan (GLC).
Berdasarkan pemantauan pihaknya di Lembah Klang misalnya, kata beliau, terdapat kira-kira lima peratus sahaja usahawan bumiputera yang membekalkan produk mereka di Kedai Mesra Petronas.

"Ini tidak termasuk bilangan premis perniagaan yang diperuntukkan Petronas di gedung beli-belah miliknya seperti Suria KLCC dan Alamanda yang rata-rata disewa peniaga antarabangsa berbanding bumiputera," katanya.

Menurut beliau, Petronas seharusnya mempunyai rangka kerja lebih teliti dalam usaha membantu golongan berkenaan dengan memberi peluang berkembang maju dalam bidang ekonomi.
Sehubungan itu, pihaknya mahu PDB memberi penjelasan berhubung isu itu, selain berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas membela nasib ekonomi bumiputera.


(terimakasih utusan online) Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130926/ek_05/Petronas-Dagangan-jangan-anaktirikan-usahawan-bumiputera---PPIM#ixzz2g8jVADkY
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Saturday, September 14, 2013

Teks Ucapan Penuh PM Pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera


KUALA LUMPUR, 14 Sept — Berikut adalah teks ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor :
Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada perjuangan Melayu dan Bumiputera yang tiada pernah hentinya.
2. Terlebih dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13… untuk terus menerajui kepimpinan negara. Apa yang lebih mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
3. Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun tohmahan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh 5 tahun akan datang,…. demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
4. Setelah selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.
5. Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan……, Yes… indeed!!!… we hear you… we hear you loud and clear.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
6. Sejak negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963, Sabah dan Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia. Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua, kita akan menyambut genapnya lima puluh tahun, perayaan jubli emas Malaysia, yang InsyaAllah akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota Kinabalu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
7. Menyonsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus penduduk. Orang Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.
8. Semasa Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua juga kira Melayu, malah muallaf bertakrif Melayu, waima…. Mamak dan Malabari pun……. dah serap ke Melayu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
9. Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, 7.6 peratus bilangan daripada rakyat keseluruhannya.Unjuran terkini, setakat 2012, menganggarkan warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang, yang mana Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9 peratus.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
10. Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b.
11. Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
12. Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik-baik oleh semua pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti
Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020.
13. Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
14. Tawarikh dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan pro-aktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
15. Jika dihimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB telah diperkenalkan pada tahun 1971, oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayahanda saya, untuk menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei 1969.
16. Begitulah Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
17. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
18. Sejak merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi demi Melayu dan Bumiputera, antaranya, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR. Perdana Menteri Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkan Permodalan Nasional Berhad dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.
19. Seperti yang kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, yakni Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
20. Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkanModel Baru Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi.
21. Selain itu, secara dasarnya, Model Baru Ekonomi memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan atau growth with equity, bagi mempastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara.
22. Manakala, Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 yang lalu hingga 2015 nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini, adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
23. Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus.
24. Apa yang ingin saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah amat penting, kerana, pertama, dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
25. Melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah meningkat. Misalnya, pendapatan purata bulanan isirumah Bumiputera telah naik daripada 172 ringgit pada tahun 1970an kepada 4,457
ringgit pada tahun 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam jangkamasa 42 tahun.
26. Kadar kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012. Pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.
27. Selain itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional, terutamanya golongan bertauliah seperti doktor-doktor perubatan, para jurutera dan para peguam sudah menghampiri peratusan komposisi kaum.
28. Ini membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah awal telah berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. Jelasnya, sepanjang lebih 4 dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
29. Namun begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang ketaksamaan pendapatan antara etnik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera padanisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.
30. Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Effective control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada sekitar 10 peratus. Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro.
31. Lantaran yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan……. atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini…., maka, …. pada hari ini…….., Kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.
32. Perjumpaan penuh bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Masyarakat Bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya…….. Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi utama.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
33. Seperti kita maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam dalam negeri dan luar negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan pasaran.
34. Untuk tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan.
35. Dalam aspek ini juga, program re-skilling akan dipergiatkan. Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan. Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif.
36. Kedua, kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah.
37. Ketiganya, bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.
38. Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera, Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
39. Sehingga kini, had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru, bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham.
40. Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
41. Bumiputera masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial. Sebagai contoh, dalam tahun 2012, transaksi rumah kediaman yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan nilainya hampir 18 bilion ringgit atau 26 peratus.
42. Pada sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan secara teratur atau terbiar menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi rendah. Justeru, bagi
mengoptimakan nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat.
43. Peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutamanya di lokasi strategik di seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
44. Di samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat Bumiputera untuk memiliki rumah adalah rendah dan ditambah lagi dengan harga pasaran rumah yang semakin meningkat. Ke arah memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
45. Manakala menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan, bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera semakin meruncing.
46. Lantaran itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkan untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.
47. Bersabit hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Keempat : MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
48. Sebagaimana kita maklum, perniagaan dan keusahawanan merupakan aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Walau bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan tersebut masih rendah disebabkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi termasuk teknologi pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses kepada dana dan modal serta pasaran produk yang terhad.
49. Dalam mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana pula, peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang menerima akan bertambah, termasuk di Sabah dan Sarawak.
50. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300 juta ringgit untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu orang pada tahun 2015 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
51. Pada kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana tambahan sejumlah 700 juta ringgit kepada TEKUN Nasional. Bilangan usahawan TEKUN Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270 ribu pada tahun 2013, kepada 370 ribu pada tahun 2015.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
52. Bagi menyahut keluhan usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses ke pasaran, maka, saya akan mengarahkan semua Kementerian dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah berasaskan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan mampan.
53. Seiring dengan itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar.
54. Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor tenaga, manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
55. Dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini juga, saya mahukan semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang dianugerahkan kepada vendor. Ini wajiblah dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kepada CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing.
56. Sehubungan itu, suka saya kongsikan dalam sektor minyak dan gas antara sekarang sehingga tahun 2017, PETRONAS sedang dan akan menjalankan beberapa projek utama dalam sektor upstream dan downstream. Melalui projek-projek tersebut, kita merangkakan supaya syarikat-syarikat Bumiputera mendapat manfaat daripada kontrak yang bernilai 20 bilion ringgit setiap tahun untuk kerja-kerja perkhidmatan di sektor upstream dan downstream.
57. Jangka hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya mengambil masa selama 25 tahun atau lebih. Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop kerja kritikal bakal diwujudkan dan dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
58. Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang berpotensi dan mempunyai nilai tambah tinggi. Dalam konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.
Tuan-Tuan dan Puan-puan,
59. Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi pemangkin bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya. Oleh itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS akan mengambil inisiatif untuk mengenalpasti secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.
60. Sebagai langkah untuk mempastikan peluang syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk bersaing pada masa hadapan pula, dasar Carve-out akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain di bawah kementerian serta GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam projek MRT di mana sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit telah dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera terpilih secara meritokrasi.
61. Sebagai contoh, empat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
62. Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu mempunyai minat yang tinggi serta passionate dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau.
63. Untuk tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik dinamakan sebagai Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau ringkasnya SUPERB akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat start-up. Bagi tujuan itu, dana sebanyak 100 juta ringit akan diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun.
64. SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga 500 ribu ringgit kepada entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar.
65. Pemilihan entrepreneur-entrepreneur Bumiputera ini adalah berdasarkan merit dan akan dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur di kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru yang terpilih akan turut mendapat perkhidmatan mentoring daripada entrepreneur yang sudah berjaya tersebut.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kelima : MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
66. Sebagaimana yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi. Oleh itu, bagi mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian akan diperkemas dan diperkejap untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif dan konstruktif.
67. Untuk itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.
PENUTUP
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
68. Menjiwai kepentingan dan perjuangan Bumiputera, saya ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan.
Bahawasanya:
“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
69. Wasiat ini sangat terang lagi bersuluh. Ia telah menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan Sarawak pabila Malaysia dibentuk 50 tahun yang lalu.
70. Kendatipun begitu, bagi pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak, agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa.
Ladies and Gentlemen,
71. Certainly!… We are doing what is fair,… we are doing what is right…, and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain.
72. Sayugia, yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana kekayaan baru. Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat diraih serta dirasai oleh semua golongan sebagai rakyat Malaysia secara adil dan saksama.
73. Bahkan, kerukunan kita telah diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai negara palingstabil dan aman di dunia……………, Begitulah istimewa dan uniknya Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
74. Pucuk pangkalnya, hendak saya pertegaskan bahawa kita adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira apa jua latar belakang samada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam.
75. Kita juga tidak seperti sesetengah pelaku politik, yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerun dan memesongkan pemikiran rakyat.
76. Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiar dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam…. Barang dijauhkan oleh Allah jua…..
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
77. Sebagai mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan kita berhimpun di sini bukan untuk saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk suka-suka……… Seperti slogan yang popular, UiTM Dihatiku…. makanya, Universiti Teknologi MARA ini sangat dekat di hati kita, sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cukup membanggakan.
78. Bahkan….., masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada Perhimpunan Agung tahun 2005………, saya telah mengumumkan supaya enrolmen pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang tahun 2015. Kini,…… Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang.
79. Pagi ini pula………, saya ingin mengumumkan hasrat peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baru di seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
80. Demi Melayu……, Demi Bumiputera…….., Saya ingin mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah 1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk Matching Fund nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
81. Kita juga sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang tinggi kepadaTERAJU bagi menakhoda agenda pembangunan Bumiputera. Kini, untuk membestarikan lagi TERAJU, sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah saya sendiri sebagai Perdana Menteri, dengan diketuai oleh seorang Menteri atau Pegawai Eksekutif bertaraf Menteri.
82. Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU. Begitulah juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru saya wujudkan tadi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
83. Sebagai payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan. Keahliannya pula bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang releven akan diundang. Majlis yang penting ini, akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari itu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
84. Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini….., kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana,…… selagi ada bulan dan bintang,………. selagi hayat dikandung badan,…………. survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila.
85. Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.
HIDUP MELAYU…….. HIDUP BUMIPUTERA…….. HIDUP MALAYSIA…….
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.
(terimakasih sumber:http://www.umno-online.com/)

Saturday, September 7, 2013

Pemilihan Umno: Antara Watak dan Dasar oleh A Kadiar Jasin


PEMILIHAN kepemimpinan Umno semakin panas. “Hot” kata bahasa jalanan anak-anak muda dewasa ini.

Tetapi, umpama kereta api, adakah yang panas itu kepalanya (locomotive) atau gerabaknya yang berisi penumpang yang “gumbira” (meminjam bahasa P. Ramlee) dan kargo yang berharga?

Kalau kepalanya saja yang “hot” tetapi penumpangnya moyok, meragam, meluat, menyampah dan tidak sabar turun atau mahu lokomotif baru menarik mereka pun tidak berguna juga.

Kereta api wap KTM panas, bising dan berasap. Saya nostalgi. Inilah kereta api zaman muda saya.

Tetapi setakat hari ini, apa yang dilaporkan oleh media massa memberi gambaran pemilihan kepemimpinan Umno adalah mengenai kepala kereta api.

Mungkin saya terlepas pandang. Yang saya baca hanya seorang sahaja daripada banyak orang yang menawarkan diri sebagai calon dilaporkan bercakap mengenai gerabak, penumpang dan muatan iaitu Mohd Ali Rustam yang berkata dia mahu memperjuangkan semula asas penubuhan Umno.

Kalau setakat hendak memilih kepemimpinan dan mencari ganjaran peribadi jangka pendek, tidak perlulah ahli Umno bersusah payah memeras otak. Pilih saja yang koceknya dalam dan prinsipnya cetek.

Apa Orang Umno Mahu?

Tetapi kalau mereka mahu kepemimpinan yang berjiwa perjuangan dan mampu menebus semula maruah parti dan kembali memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara, mereka perlulah memilih yang lebih baik.

Kalau mereka mahu orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain diberikan peluang untuk membebaskan diri mereka daripada terus menjadi warga ekonomi kelas tiga, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang cerdik, berani, berilmu dan berwawasan.

Kalau mereka berasa dasar pertumbuhan ekonomi yang disertai oleh pembahagian adil seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) baik untuk mereka, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang tidak “apologitic” memperjuangkan hak majoriti.

Soalnya (soalnya), akan adakah dalam barisan calon Umno nanti orang seperti itu? Atau, seperti kata P. Ramlee, walhasil balik asal itu pasal tak hasil.

Masih adakah lagi pewaris Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Tun Dr Mahathir di kalangan kepemimpinan dan calon pemimpin Umno dewasa ini?

Masih pedulikan kepemimpinan Umno kepada kedudukan orang Melayu dan Bumiputera lain yang berupa majoriti dalam kelompok 40 peratus rakyat jelata terkebawah dalam arena ekonomi?

Selepas menyalahkan kehambaran pencapaian Barisan Nasional kepada tsunami Cina, adakah Mohd Najib dan kepemimpinan Umno akan mengucapkan terima kasih kepada orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah kerana menyelamatkan BN dan Umno pada 5 Mei lalu dengan memberikan mereka apa yang telah diabaikan?

Apakah Mohd Najib akan membentangkan agenda Melayu, agenda Bumiputera dan agenda rakyat miskin yang lestari (sustainable) sebelum atau ketika Perhimpunan Agung Umno kali ini?

Gila "Wow Factor" Lagikah?

Atau adakah Mohd Najib dan barisan penasihatnya (yang sama panjang kereta api kontena Butterworth-Padang Besar) akan terus melaksanakan strategi “war room” PRU 2013 mereka yang tidak menjadi?

Kereta api berlokomotif diesel angkut kontena. Selamat, jimat, cepat.

Apakah mereka masih terus mencari “wow factor” yang mereka harap akan memberikan mereka faedah jangka pendek kerana mereka perlu mempertahankan jawatan atau mahu mendapatkan jawatan dalam parti?

Adakah mereka akan memberikan gula-gula seperti biasa dan melaksanakan dasar-dasar yang tidak lestari semata kerana mahu cepat menuai hasil?

Kalau “faktor wow” yang mereka mahu, jawapannya mudah saja – turunkan harga petrol dan diesel 30 sen seliter dan umumkan BR1M ketiga sebanyak RM1,000 atau lebih sebelum penamaan calon 28 September dan pengundian 19 Disember ini.

Kepada para bekas Menteri, para bekas Adun dan MP, para pemikir yang idealistik dan kepada semua yang kerap bermimpi di siang hari mengenai agenda Melayu dan agenda “growth with equity” nasihat dua sen saya mudah saja.

Kalau ada orang menjanjikan kita segelas air, kita jangan percaya sehinggalah kita minum dan tidak mati keracunan. Moralnya jangan mudah sangat percaya dan wajib sentiasa ada penawar racun berbisa.

Isyak-Allah kita selamat, bangsa kita selamat, negara kita selamat dan agama kita selamat dan orang Melayu boleh berkata “I am Malay first” tanpa diherdik oleh orang bukan Melayu.

Akhir kalam, adakah aspirasi Tun Abdul Razak masih mengalir dalam darah daging Umno?

Kuasa, kata beliau, terletak di tangan masyarakat Melayu dan untuk memanfaatkan kuasa itu, orang bijak di kalangan orang Melayu haruslah terdiri daripada elit yang ditentukan oleh kebolehan, sikap dan komitmen kepada negara keseluruhannya. Kelas, kelahiran dan wang bukanlah faktor utama”.